Isnin, 17 September 2018

MENGGUNUNG - Helmi Effendy

Andai diteliti karya penulis ini pasti kita akan dapat melihat karya beliau seakan mempunyai hubungan antara satu dengan yang lain walaupun secara tidak lansung. Nama-nama seperti Eurasia dan Universiti Tun Dr Mahathir pasti akan ditemui dalam karya-karya beliau yang lain. Begitu juga dengan beberapa watak seperti watak-watak dari novel Dari Alam Lain turut diselitkan dalam novel ini. Mungkin ini strategi penulis bagi menarik lagi peminat baharu serta menanamkan di dalam minda mereka akan karya-karya lain beliau.

Namun dalam novel ini kerap juga penulis mempromosi diri dan karya sendiri melalui penyataan beberapa nama novel-novel beliau yang pastinya akan diiringi dengan nama penulisnya sekali. Beliau bahkan pergi lebih jauh dengan adanya HE Universe Theme Park, sebuah taman tema yang mengambil sempena nama beliau dengan pengisiannya adalah permainan-permainan atau hiburan yang mengikut tajuk-tajuk novel beliau. Bagi hamba penulis tidak perlu terlalu mempromosikan dirinya. Karya-karya beliau sudah agak mantap dan hamba percaya bahawa beliau sudah mula mengumpul lingkaran pembacanya yang tersendiri.

Menggunung amat seronok untuk dibaca dan diikuti. Penuh dengan elemen seram dan suspen. Namun di episod-episod akhir ia terlalu ganas dengan banyaknya adegan pembunuhan serta penceritaan yang semakin karut. Karya ini bolehlah dianggap sebagai gabungan pelbagai filem seram yang pernah kita saksikan di panggung wayang atau di televisyen namun dengan acuan tempatan.

Penulis menggunakan sekumpulan anak muda remaja yang masih bersekolah sebagai watak-watak utama penceritaan. Setiap watak mempunyai gaya dan personaliti yang tersendiri. Walaupun watak Izzat mungkin dilihat sebagai watak utama, namun dari segi penceritaan hamba lihat setiap watak mempunyai penceritaan yang seimbang serta boleh berkait dengan watak-watak yang lain. Memandangkan ia sebuah kisah seram, penulis boleh sahaja menjadikan watak Izzat yang merupakan watak utama turut berpengetahuan dalam alam ghaib, namun ia diberikan kepada watak Kamarul, seorang yang nampak berpengetahuan walaupun hanya berguru dengan sebuah kitab lama sahaja. Begitu juga dengan watak yang lain, ada yang kaki bermasalah, tomboy, cantik dan ayu, bijak, tegas dan garang, semuanya diadun dengan baik sekali. Novel ini sarat dengan elemen pengorbanan, persahabatan dan kesetiaan yang disampaikan melalui penceritaan watak-watak tersebut.

Menjadikan sebuah tempat yang bernama Menggunung sebagai paksi berlaku pelbagai peristiwa pelik, peristiwa-peristiwa berkenaan berkait dengan sebuah laman web bernama Dari Alam Lain (Nama sebuah novel beliau-promosi secara tak lansung). Posting di laman web ini sekiranya memberikan keyakinan kepada pembacanya akan menyebabkannya menjadi realiti. Well dalam dunia cyber hari ini tulislah apa-apa posting sekalipun waima yang paling mengarut pasti ada yang akan percaya. Sekurang-kurangnya ada tiga peristiwa besar iaitu pontianak dan jirat cina, bomoh Tok Anjang dan percubaan pembunuhan empat waris Menggunung sebelum diikuti dengan peristiwa-peristiwa ngeri di sebuah pusat peranginan. Kesemua permasalahan ini dapat diatasi hasil daripada gabungan kepintaran kesemua lapan watak utamanya. Walaupun begitu penulis tidak menggabungkan kesemua watak itu sebagai satu geng terus di awal cerita. Pada awal cerita hanya watak Izzat, Megat Azizan, Najirah dan Kamarul sahaja yang bersama sebelum satu demi satu watak lain dibawa bersama hasil daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku. Jangan tanyakan logik di dalam pembacaan novel ini. Sememangnya banyak yang tidak logik dan hamba percaya ia sekadar hiburan yang tidak perlu diambil serius.

Ada beberapa perkara kecil yang hamba rasa penulis perlu perhatikan agar penulisan beliau semakin mantap. Pernah dengar istilah 'menduku kepala'? Penulis ada menggunakannya di beberapa tempat. Hamba tidak tahu istilah ini yang hamba biasa dengar dan tahu ialah 'meluku kepala'. Betulkan hamba jikalau hamba yang silap. Begitu juga dengan istilah lari langkah seribu. Istilah ini biasanya digunakan untuk menggambarkan seseorang lari dari sesuatu sama ada kerana takut ataupun untuk mengelakkan daripada ditangkap. Namun penulis menggunakan istilah ini dalam perlawanan bolasepak menggambarkan bahawa bola sedang dikejar. Begitu juga dengan beberapa perkataan moden yang digunakan dalam perbualan manusia di kurun ke 15 yang hamba terlupa mencatatnya.

Bagi yang tidak minat untuk membacanya melalui bentuk fizikal, boleh sahaja membacanya di laman web Wattpad. tetapi membaca buku sebenarnya lebih seronok daripada membaca di skrin. Kalau nak pukul lalat, boleh saja hempaskan buku itu, tetapi kalau nak hempaskan lappy atau tablet rasa tak berbaloi pula :-D.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...