Selasa, 29 Januari 2019

WHO MOVED MY CHEESE - Dr. Spencer Johnson

Buku ini nipis sahaja ketebalannya. Kalau tidak kerana beberapa ulasan, kisah di sebalik tabir serta kisah pertemuan kawan-kawan sekolah pada bab pertama dan ketiga, ia boleh sahaja diselesaikan dalam masa kurang 20 minit. Bab kedua buku inilah yang menjadi pokok kepada penceritaan Who Moved My Cheese.

Who Moved My Cheese adalah kisah kehidupan dalam dunia Maze dengan memaparkan hanya empat watak sahaja iaitu dua ekor tikus bernama Sniff dan Scurry dan dua orang manusia kecil (jikalau boleh dipanggil manusia) bernama Haw dan Hem. Keju adalah satu metafora terhadap apa yang manusia inginkan dalam hidup ini. Ia boleh sahaja menjadi kehidupan, pekerjaan, cita-cita, wang dan apa sahaja. Manakala empat watak ini pula sebenarnya mewakili sifat atau perangai yang ada pada mansuai itu sendiri. Namun antara keempat-empat watak ini, tumpuan utama adalah kepada watak Haw.

Buku ini adalah tentang keberanian untuk melakukan perubahan, keberanian untuk mencari, mencuba atau meneroka sesuatu yang baru. Buku ini kerap menyebut, bayangkan apa yang akan kita lakukan sekiranya kita tidak takut. Ya, ketakutanlah antara penyebab manusia takut untuk berubah. Kita takut untuk mencuba pekerjaan yang baru kerana telah selesa melakukan kerja yang sedia ada, kita risau atau takut perkara yang baru mungkin akan lebih memudaratkan. Ketakutan ini kadangkala menyebabkan kita rela 'mereput' di situasi sedia ada tanpa mengetahui apa yang akan kita dapati sekiranya kita melakukan perkara yang baru. Permasalahan manusia inilah yang dibawakan oleh keempat-empat watak di atas. Sesudah membacanya kita boleh bertanya akan diri kita, siapakah diantara empat watak ini yang mewakili diri kita. Namun yang paling penting apakah dengan membaca buku ini ia dapat membuka minda kita tentang erti keterbukaan dan keberanian di dalam meneroka sesuatu. Ini kerana sekiranya selepas membaca buku anda masih di takuk lama bermakna anda membaca kisah keju ini tidak lebih sebagaimana anda membaca kisah-kisah dongeng sebelum tidur yang akhirnya akan pergi bersama lenanya anda di pembaringan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...