Selasa, 19 Mac 2019

DARI BANGI KE SEOUL - Dr Mat Rofa Ismail



Walaupun buku ini dipromosikan sebagai sebuah buku travelog, namun secara keseluruhannya ia tidaklah begitu. Buku ini lebih sarat sebagai sebuah buku ilmiah berbanding sebuah catatan pengembara. Dan walaupun tajuknya seolah satu pengembaraan ke bumi Korea, ia tidaklah berapa nampak sebegitu. Bahkan kisah ke Korea hanya mewarnai beberapa bab awal buku ini sahaja dan selepas itu ada beberapa lagi kembara penulis khususnya ke Indonesia dan Selatan Thailand.

Catatan pengalaman penulis ke Korea bolehlah diibaratkan sebagai satu catatan penuh kesedihan. Ini kerana di awal kembara lagi penulis telah diuji Allah dengan pulangnya isteri beliau ke pangkuan-Nya kerana sakit. Penulis yang sepatutnya membentangkan kertas kerja di sebuah persidangan telah tidak dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut atas sebab peristiwa ini. Melalu catatan beliau sehingga ke majlis pengebumian, hamba mendapat banyak pengetahuan baru tentang pengurusan kematian jenazah Muslim di Korea. Jenazah isteri beliau merupakan rakyat Malaysia yang pertama dikebumikan di sana memandangkan polisi kerajaan Korea yang tidak membenarkan jenazah warga lain disemadikan di bumi tersebut. Tetapi atas bantuan masyarakat Korea dan Kedutaan Malaysia, segala urusan telah dipermudahkan. Sebagaimana lazimnya pusara orang Korea yang terletak di atas bukit ataupun gunung, begitulah juga dengan kawasan perkuburan Muslim di Korea yang berada di kawasan yang serupa. Penulis sekali lagi ke Korea lebih kurang dua bulan selepas itu untuk menziarahi kembali pusara isteri beliau dan kali ini beliau berpeluang untuk menyambut Ramadhan di sana.

Setakat itu sahaja kisah di Korea. Lokasi lain selepas itu adalah di Indonesia dan Selatan Thailand. Namun bukanlah kisah pengembaraan yang diceritakan atau menjadi tumpuan utama penulisan. Memandangkan penulis tidak berkesempatan menyampaikan kuliahnya di Korea, maka beliau cuba menulis akan 'kuliah' tersebut di dalam buku ini. Ia merangkumi ilmu tentang falsafah, sains tabii, matematik, metafizik, etika, prinsip ketersebaban : barat dan Islam, tauhid dan sebagainya. Begitu juga dengan kisah perjalanan beliau ke Indonesia dan Selatan Thailand yang lebih banyak diisi dengan pelbagai tulisan ilmiah khususnya berkaitan sains serta tokok-tokoh ulama' nusantara. 

Membaca tulisan Dr. Mat Rofa, bagi diri hamba secara peribadi, memerlukan kesabaran dan konsentrasi memandangkan tajuk yang dibincangkan biasanya agak berat. Ini amat bersesuaian dengan status beliau sebagai seorang ahli akademik. Penulis mempunyai sifat menyampaikan dakwah yang amat tinggi dan amat bersemangat untuk melaksanakannya. Hamba berdoa agar syakhsiah seperti ini banyak lagi dilahirkan di nusantara seterusnya dapat menyumbang kepada ummah dengan lebih bermakna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...