Isnin, 17 Februari 2020

HAURA - Ramlee Awang Murshid



Sekiranya pembaca mengharapkan RAM menghidangkan menu thrillernya kepada anda seperti  biasa, usahlah kecewa kerana kali ini RAM menulis sebuah kisah cinta! Ya, beliau menulis kisah cinta. Namun usah risau, beliau tidak menulis kisah cinta meleleh air hidung. Jiwangnya tidak terlalu karat bahkan ditulis sepertimana lazimnya beliau menulis kisah-kisah thrillernya. Bayangkan sebuah kisah cinta dalam acuan penulisan kisah thriller! Kerana itu seperti lazimnya, RAM masih berteka teki dengan pembaca tentang siapakah si fulan dan si fulan. Tentunya apabila anda membaca ringkasan Haura yang terdapat di kulit belakang novel, anda akan dapat merasakan betapa suspennya kisah ini nanti. namun apabila telah membaca keseluruhan novel hamba merasakan penulisan ringkasan tersebut lebih bersifat bombastik untuk menarik perhatian pembaca - dan ia berjaya! (juga berjaya merabakkan poket kita :-D ).

Sebenarnya kisah dalam Haura ini mudah sahaja - Adam Fahmi syokkan Waheeda, Waheeda pun begitu juga, Mereka tiada jodoh - Waheeda bertunang dan bernikah dengan Faizal, Adam Fahmi bertemu Jessica, Beliau syok dengan Jessica sehingga berlakunya perkahwinan. Namun kesemua itu tidak menjadi nadi dalam penceritaan. Kisah sebenarnya adalah apabila Jessica hilang ingatan akibat satu kejadian yang melibatkan beliau dengan penjenayah dan usaha Adam Fahmi untuk memulihkan ingatannya. 

Dalam menjalankan usaha memulihkan beliaulah RAM membentangkan cabaran yang perlu dihadapi oleh Adam Fahmi sambil imbas semula kejadian-kejadian lalu yang membentuk sebuah rantaian penceritaan. Jessica secara total tidak ingat atau kenal lansung dengan Adam yang telah menjadi suaminya. Bahkan beliau mempunyai rasa tidak senang dengan orang Islam serta mengaitkan mereka dengan keganasan.

Islamophobia menjadi satu elemen yang mewarnai penceritaan novel ini. Walaupun meletakkan ringkasan kejadian berdarah di dua buah masjid di New Zealand, Haura sebenarnya tidak terlalu berkait dengan tragedi tersebut. Rasa tidak senang kepada Islam juga hanya disentuh melalui beberapa watak namun sudah memadai untuk mewakili pandangan secara umum segelintir manusia yang bersikap fanatik dan memandang Islam dengan curiga.

Namun RAM harus berhati-hati dalam perkara yang melibatkan fakta. Kisah ini berlaku sehari selepas kejadian di New Zealand yang berlaku pada 15 Mac 2019. Pada permulaan penceritaan, RAM telah meletakkan penceritaan yang bertarikh 9 tahun sebelum tragedi. Jadi hamba assume pada 2010. Ayat yang pertama menceritakan watak Fahmi yang menaiki Grab. Grab hanya bermula pada 2012. Begitu juga dengan kisah yang berlaku sebelum 2010 itu apabila RAM bercerita tentang Fahmi dan Waheeda yang dating di Bangi Gateway. Pada 2010 Bangi Gateway belum siap lagi! Mungkin hamba silap - dan kalau silap tolong betulkan hamba.

Perjalanan Adam bagi mengembalikan semula ingatan isterinya adalah sesuatu yang seronok untuk dibaca. Dah lama rasanya hamba tak dapat kenikmatan sebegini membaca novel RAM, sebagaimana novel-novel lamanya seperti Tombiruo, Ranggau, Hatiku di Harajuku dan ADAM. RAM bagi hamba lebih cekap menulis kisah masa kini berbanding fantasi masa silam seperti Anding Ayangan. Yaa... pandangan hamba mungkin berbeza dengan pengikut fanatik RAM. Hamba bukan fanatik RAM walaupun hampir semua bukunya hamba beli. Bila fanatik, yang tidak enakpun dibilang sedap. Sikap peminat sebegini boleh sahaja menghancurkan diri penulis yang akan merasakan karya beliau tetap mantap seperti sediakala. Hamba harap karya RAM selepas ini bakal mengekalkan momentum seperti di dalam Haura dan silalah menulis kisah thriller kembali.

Mujurlah kisah Haura ini ditulis oleh RAM. Andaikata ia ditulis oleh penulis novel cinta yang lain, tajuknya bisa sahaja menjadi 'Suamiku Chef Nasi Lemak', 'Teh Tarik Cinta', 'Minah Salleh Itu Isteriku', 'Nasi Lemak Buat Jessica', 'Puan Polis Dan Abang Nasi Lemak' dan lain-lain tajuk meleleh lagi!




Sabtu, 15 Februari 2020

QISAS - Hasrul Rizwan



Pehhhh tamat juga membaca trilogi novel ini dengan tajuk akhirnya berjudul Qisas. Tidak dinafikan bahawa membaca siri kedua (Tuhan) terasa macam anti klimaks, sebab dalam siri kedua itu penumpuan adalah kepada kisah Joe dan bukannya kembar Adam dan Akhil. Cerita Joe yang ala-ala Back To The Future itu hanya terlalu sedikit kaitannya dengan kisah kedua kembar ini. Hanya di penghujungnya sahaja nak menunjukkan bahawa Joe membawa khabar dari masa hadapan - Adam dan Akhil bakal dibunuh!

Jadi Qisas adalah tindakan yang dijalankan oleh kedua kembar tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Joe. Mereka harus terlebih dahulu menamatkan riwayat bakal pembunuh mereka sebelum mereka sendiri dibunuh. Untuk itu mereka harus kembali semula ke Kuala Lumpur bagi mengatur perancangan. Malangnya ketika mereka sedang berurusan dengan sebuah bank, telah berlaku rompakan yang menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan. Walaupun dilepaskan polis, mereka telah menjadi perhatian pihak berkuasa tersebut kerana ulah mereka yang kelihatan mencurigakan.

Tapi mereka tiada alasan untuk menamatkan nyawa seseorang tanpa sebab. Justeru mereka menggunakan qisas sebagai 'lesen' untuk membunuh setelah mendapat 'keizinan' daripada keluarga mangsa yang pernah dibunuh oleh bakal para pembunuh kedua kembar itu (ha ha jangan pening kepala membaca tulisan ini. Anda perlu cari novel ini juga).

Novel ini rasanya yang paling banyak menggunakan bahasa kasar berbanding dua novel sebelumnya. Ia ada unsur jiwang sedikit apabila Adam dan Maria bertemu kembali serta ada unsur sedih apabila ada ahli keluarga mereka yang terkorban. Namun tanpa kedua beradik ini sedari, perbuatan mereka membunuh bakal pembunuh mereka adalah satu kesilapan yang besar. Kerana perbuatan yang kedua mereka cetuskanlah sebenarnya yang menyebabkan mereka dibunuh. Seandainya mereka tidak mengendahkan mesej daripada Joe dan tidak pergi memburu pembunuh mereka, kebarangkalian tragedi yang besar ini tidak akan berlaku.

Ketiga-tiga novel ini amat memuaskan hati hamba selaku pembaca. Tidak banyak novel sebegini dihasilkan memandangkan genre jiwang karat masih merajai jiwa peminat buku. Hamba looking forward untuk membaca lain-lain buku oleh penulis ini di masa yang akan datang.



Selasa, 4 Februari 2020

TUHAN - Hasrul Rizwan



Di dalam siri pertama trilogi ini, Murtad, watak Joe telahpun dibunuh oleh Akhil dan seterusnya dibuang ke dalam sebuah cenuram. Namun dia belum lagi mati. Seorang profesor yang lari daripada ancaman zombi sambil membawa seorang wanita yang baru diselamatkannya telah menyelamatkan Joe. Namun dia mempunyai rancangan lain untuk Joe dan wanita berkenaan.

Jadi dalam siri kedua ini segalanya adalah mengenai kisah Joe, Joe yang telah mati dibunuh kerana tidak lagi mempunyai pegangan agama dan menjadi seorang atheis. Ketika Joe ditemui, telah berlaku satu wabak yang menyebabkan manusia menjadi zombi. Tidak diterangkan apa yang terjadi selepas itu - bagaimana mereka menyelamatkan diri - apakah yang telah dilakukan oleh profesor berkenaan, kerana selepas itu pembaca terus dibawa ke masa hadapan di sebuah planet bernama Kepler-22B.

Tahun itu ialah 2162 dan Joe dibunuh pada 2013. Ketika sedar, beliau terikat pada sebuah katil dan dapat melarikan diri. Yang menghairankan beliau adalah semua penghuni planet tersebut mempunyai wajap mirip beliau yang hanya dibezakan dengan warna pakaian mereka sahaja. Tiada seorang wanitapun di planet berkenaan. Rupanya Profesor Rahman telahpun mengklonkan Joe sehingga tercipta sebuah tamadun di planet itu. Melalui watak seorang klon yang kemudiannya dinamakan Ben oleh Joe, beliau mula mendapat maklumat sedikit demi sedikit. Oh ya, Joe digelar 'Putera' - ayah kepada seluruh klon di sana!

Well ceritanya panjang. Ia adalah pelarian Joe di planet berkenaan. Lari daripada buruan tentera di abwah pimpinan Borga, lari pula daripada Kubra pemimpin kaum Zabran, konflik dengan Ben yang mula mempunyai perasaan iri setelah Joe berjaya menyelamatkan Sarah - kali pertama makhluk klon melihat rupa wanita, sehinggalah usaha beliau untuk lari dari planet berkenaan menggunakan mesin masa. Semua kisah petualangan Joe itu nantilah yang akan membawa kepada kesedaran beliau bahawa semua yang berlaku itu adalah di atas keizinan Allah.

Apa pula kaitan kisah petualang Joe ini dengan Adam dan Akhil. Memang tiada kaitan. Tetapi kembalinya Joe yang kini berwajah baru mengaitkan kembali beliau dengan kedua beradik ini apabila Adan dan Akhil telah dibunuh. Menggunakan mesin masa, beliau kembali ke belakang - ke tempat dan masa pembunuhan dan seterusnya merakam perbuatan tersebut. Beliau kembara masa ke belakang lagi bagi menyampaikan rakaman tersebut kepada kedua beradik berkenaan. Ya cerita Joe buat hamba tak syok mana. Hamba menantikan kisah kedua beradik kembar ini yang lebih berpijak di dunia sebenar berbanding kisah Joe yang lebih banyak unsur fiksyen masa depan.


TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...