Khamis, 2 Julai 2020

KLIBF 2020 @ SHOPEE



Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlansung hanya sembilan hari sebelum bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 (KLIBF 2020) pastinya menghampakan jutaan peminat buku di Malaysia. Pesta buku yang menarik lebih dua juta pelawat setiap tahun itu terpaksa dibatalkan gara-gara wabak Covid-19. Pastinya para pempamer telahpun membuat persediaan rapi serta mengadakan stok yang banyak untuk tujuan tersebut. Namun untuk mengadakan juga pesta ini dalam masa terdekat nampaknya tidak ada jalan untuk ia menjadi kenyataan.

Justeru pihak berkenaan dengan kerjasama Shopee telah mengambil inisiatif untuk mengadakan juga KLIBF 2020 secara atas talian. Pesta ini telahpun bermula pada 25 Jun yang lalu dan akan berakhir pada 8 Julai. Hamba pasti tidak ramai yang tahu mengenai perkembangan ini terutama jika anda jarang membuka Shopee atau iklan KLIBF ini tidak lalu di laman sosial anda.

Sebagai peminat buku, hamba mencuri-curi masa untuk melihat buku-buku yang diiklankan serta ada membuat sedikit pembelian. Pembelian di atas talian tidaklah begitu menyeronokkan hamba sebenarnya. Hamba rindu akan bauan buku yang baru. Tidak berpeluang untuk melihat timbunan jutaan buku baharu serta ruai-ruai pameran yang mempunyai ciri dan keunikan masing-masing. Menelusuri laman Shopee kadangkala agak terganggu apabila talian tidak berapa baik. Apabila masa menunggu terlalu lama untuk melihat sesuatu laman muncul, hamba terus tutup sahaja telefon atau web berkenaan. Walaupun diwar-warkan ada tarikan diskaun, hamba lihat ia tidak seperti di pameran fizikal. Paling hebatpun cuma 20%. Lebih daripada itu tidak banyak. Bahkan buku yang hamba beli dengan harga sekitar RM5 pada pameran yang lalu dijual di Shopee dengan harga sebenar. Inilah antara kekurangannya berbanding pameran fizikal. Di pameran fizikal kita dengan mudah boleh menemui harga yang amat murah pada buku-buku yang lelah lama penerbitannya. Kadangkala ia diberikan percuma apabila kita membuat pembelian yang banyak. Ia tidak berlaku di atas talian. Selain itu hamba percaya para pembeli akan mengambil kira sekali harga bagi kos pengeposan. Tidak semua pempamer memberikan tawaran pengeposan percuma. Bagi yang memberikan kos pengeposan percuma, akan mensyaratkan pembelian pada kadar tertentu seperti melebihi RM19, RM50 atau RM100. Bahkan yang memberikan tawaran seperti itupun masih ada kekangannya. Kadangkala ia hanya dapat dinikmati sekiranya pelanggan membayar menggunakan Shopee Pay sahaja dan tidak pada cara yang lain.

Kerana itu kali ini hamba hanya dapat membeli beberapa buah buku sahaja. Sedangkan pada pameran yang lalu biasanya beg yang hamba bawa akan penuh dan ditambah lagi dengan beg-beg yang lain. Pendek kata bukan dua tangan sahaja yang penuh, bahkan di belakang pundak pun penuh beg dengan buku.

Jadi pembeli perlulah memilih dengan bijak. Hamba turut membuat perbandingan dengan laman web penerbit sendiri. Ada juga penerbit buku yang mengadakan tawaran istimewa di laman mereka dan tiada dalam Shopee. Banyak buku yang hamba ingin beli tetapi terpaksa hamba pendamkan dulu dan bercita-cita untuk membelinya pada masa yang akan datang. Mungkin pada hari-hari akhir KLIBF 2020 nanti akan ada tawaran lagi. Jadi boleh simpan dahulu dan lihat pada hari tersebut.

Walau apapun, marilah kembali tanamkan minat membaca. Tidak rugi melabur wang untuk buku.

Ini sahaja hasil tuaian di Shopee. Itu pun tiga buah dari ini hamba beli terus dengan penerbit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...