Gambar kulit mukanya sudah membayangkan ia adalah sebuah novel seram. Satu imej lembaga berkelubung yang gelap, dalam ruang letak kereta bawah tanah yang kelam dan suram seolah menarik diri untuk meneroka dengan lebih lanjut isi kandungan novel ini. Namun menelusurinya dari satu muka ke satu muka, keseraman novel ini tidaklah mencapai ke tahap yang maksimum. Ia belum lagi boleh menandingi keseraman tulisan Tamar Jalis atau Tok Awang Ngah yang jika membacanya di tengah malam boleh menimbulkan rasa takut untuk ke bilik air!
Tetapi nanti dulu! Tidak berapa seram bukan
bermakna novel ini tidak menarik. Penulisnya, Murni Aqila bukanlah satu nama
baharu dalam dunia penulisan. Beliau telah menghasilkan banyak novel termasuk
satu yang mempunyai unsur seram bertajuk Jampi. Justeru, novel ini sebenarnya
boleh membuatkan anda terus duduk untuk menghabiskan bacaan sehingga tamat.
Secara ringkasnya novel ini mengutarakan watak
utamanya yang bernama Nizam, seorang pengidap bipolar. Merasakan dirinya telah
sihat, Nizam memohon keizinan ibunya, Fauziah untuk bekerja di Kuala Lumpur, di
tempat sepupunya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Walaupun berat untuk
membenarkan, Fauziah akhirnya melepaskan juga anak lelaki kesayangannya itu.
Nizam sebenarnya mempunyai misinya yang tersendiri. Beliau bukan sahaja mahu
bekerja mengumpulkan wang, tetapi juga mahu mencari adiknya Hajar yang telah
diambil oleh sebuah keluarga menjadi anak angkat 17 tahun yang lalu. Sejak
diambil oleh keluarga angkat, hanya sekali mereka berkesempatan untuk bertemu
beliau. Selepas itu tiada lagi berita tentang Hajar yang sampai kepada mereka.
Sebaik berada di Kuala Lumpur, bermulalah beberapa episod misteri yang
menghantui Nizam. Beliau kerap diganggu oleh satu bayangan hitam. Walaupun
sekadar ‘bayangan’, namun Nizam diperlakukan dengan ganas sekali. Badannya
dipeluk erat, mulutnya ditekup, lehernya dicekik sehingga terasa seperti
sakarat, tubuhnya dipukul, wajahnya ditampar-tampar dengan kuat, rambutnya
dicengkam dan pelbagai lagi penderaan. Siksaan-siksaan ini meninggalkan kesan
hitam di tubuh beliau namun ia bukanlah satu kesan lebam. Perkara ini turut
menimbulkan doktor, ibu dan sepupu Nizam.
Dalam masa yang sama, Nizam bertemu dengan
seorang gadis di tempat beliau bertugas sebagai pengawal keselamatan bernama
Hajar. Beberapa persamaan yang ada pada Hajar dengan adiknya menyebabkan Nizam
merasakan itulah Hajar adiknya yang telah hilang. Tetapi beliau merasa agak
pelik kerana Hajar seperti tidak ingat kepada dirinya. Justeru dua perkara
besar yang akan mengheret pembaca untuk sama–sama menyelesaikan teka teki ini
ialah apa sebenarnya yang telah mengganggu Nizam dan adakah Hajar ini adik
Nizam yang sebenar. Bersama dua teka teki besar ini akan tiba kepada soalan
bonus – apa sebenarnya yang terjadi kepada Hajar adik Nizam?
Semua plot disusun dengan baik dan tidak
mengelirukan pembaca. Penulisannya tidak nampak terburu-buru seperti mahu
segera menamatkan cerita. Segala persoalan yang berlegar di minda pembaca akan
dijawab oleh penulis lewat tulisannya. Konflik-konflik yang berlaku ditangani
oleh penulis dengan sebaiknya, termasuk konflik yang dihadapi oleh fauziah, ibu
Nizam, di tempat kerja. Hamba rasa teruja pula apabila membaca babak Fauziah ‘membelasah’
rakan sekerjanya yang bermulut lancang sehingga menyebabkan beliau digantung
kerja. Terasa bagai Fauziah sedang berada di gelanggang gusti!
Walaupun watak Nizam adalah merupakan seorang
pengidap bipolar, tetapi sebenarnya dalam perjalanan kisah ini boleh hamba katakan
bahawa Nizam lansung tidak berhadapan dengan penyakitnya sepanjang penceritaan.
Cuma gangguan yang dialaminya itu sahajalah yang menyebabkan beliau berfikir
bahawa penyakit beliau ini sedang melanda. Ia juga akan membawa pembaca berfikir
sama ada Nizam ketika ini sedang berhalusinansi akibat penyakitnya itu atau dia
benar-benar sedang menghadapi gangguan.
Kemuncak novel ini adalah kisah yang berlaku
terhadap Hajar. Hamba tidak mahu menulisnya berlebihan memandangkan penulis
sendiri di hujung novel telah meminta jasa baik pembaca untuk tidak memberikan
sebarang spoiler. Cukuplah hamba coretkan bahawa Hajar telah mengalami
penderitaan yang amat sangat, cukup sukar untuk dibayangkan apatah lagi untuk
dilalui.
Walaupun bergenre seram, penulis sebenarnya
mengheret emosi pembaca untuk sama-sama menyelami perasaan seorang pemuda yang
mempunyai penyakit, seorang ibu yang cukup menderita akibat kehilangan anak
perempuan serta anak lelaki yang mempunyai cabaran yang tersendiri. Ia adalah
kisah penderitaan akibat kemiskinan sehingga terpaksa berpisah dengan orang
tersayang. Ia adalah kisah getir kehidupan seorang yang berpendapatan rendah di
tengah kota Kuala Lumpur dan ia juga adalah keteguhan ikatan keluarga di dalam
menghadapi cabaran.
Seperti yang hamba katakan di awal tadi – anda tidak
perlu gentar untuk ke bilk air apabila membaca novel ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan