Sabtu, 28 Ogos 2021

PEI PAN - Ramlee Awang Murshid


Novel ini memenangi tempat kedua Hadiah Sako 2. Hamba membelinya satu set beserta dengan 5 lagi buah novel yang terbit bersama dengannya sekitar 2002. Ketika itu gaji masih kecil dan harga satu set yang mengandungi enam buah buku memang terasa membebankan. Tetapi kerana minat dengan buku hamba pejamkan juga mata untuk membelinya. Ketika ini hamba baru kali pertama mengenali nama Ramlee Awang Murshid. Nama beliau ketika itu pun belum segah sekarang.

Novel ini antara yang dicari oleh pengumpul buku dan boleh dijual dengan harga yang mahal berbanding dengan harga asalnya. Tambahan pula syarikat yang menerbitkannya, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. telahpun pupus dari muka bumi ini. Justeru pastinya tidak akan ada lagi cetakan baru daripada syarikat ini melainkan ia dicetak oleh syarikat yang baharu.

Latar masa kisah Pei pan adalah sekitar lebih kurang 20 tahun yang lalu, ketika Malaysia giat mempromosikan penggunaan teknologi maklumat dan negara baru beberapa tahun mempunyai motosikal nasionalnya sendiri. Walaupun Pei Pan tidak semantap novel-novel RAM yang lahir selepas itu, namun pada ketika zaman itu di mana novel-novel berbentuk sebegini adalah agak asing dalam dunia penulisan bahasa Melayu, ia adalah yang terbaik dalam kelasnya. RAM sudah mula menampakkan taringnya membawa pembaca berteka teki tentang masalah atau pelaku sebenar jenayah di dalam penulisan. Dalam hal ini pembaca akan berteka teki tentang watak 'abang besar' yang bagi diri hamba sendiri agak mudah untuk menekanya.

Pei Pan sebagaimana namanya adalah kisah pengkhianatan. Ia bukan sahaja pengkhianatan dalam dunia perniagaan tetapi juga adalah pengkhianatan kepada sebuah persahabatan. Dato' Karim, seorang usahawan terperangkap dalam kes pembunuhan yang melibatkan isterinya Mimi dan pembantu serta orang kepercayaannya Johnny. Dato' Karim masuk penjara, syarikatnya tumbang dan beralih tangan. Satu bukti penting tentang watak-watak di sebalik jenayah yang terancang telah terakam di dalam sebuah pita video. Keberadaan pita tersebut dicari bagi dimusnahkan. Dalam pada itu beberapa watak mati satu demi satu, tambah menghangatkan lagi penceritaan.

Apabila ditimpa musibah, kita akan dapat mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Watak Pak Seman  dan anaknya Mira masih setia menunggui rumah kecil di sebelah banglo Dato Karim, menjaga dan merawat lamannya dengan baik. Keluarga Dato' Karim yang tinggal, ibu dan bapa mertuanya serta tiga anaknya sentiasa melawat beliau di penjara dan menyokong beliau. Hanya anak Dato' Karim yang sulung mula menjauhi bapanya kerana berasa malu kerana berbapakan seorang banduan. Di dalam penjara Dato' Karim mula membina perhubungan yang baik dengan rakan sesel dan seorang wadar bernama Sarjan Hassan. Rakan sesel beliau, Mail sanggup menumbuk Derus yang sering mengugut Dato' Karim. Pada mulanya hamba menjangkakan watak-watak rakan beliau di penjara ini akan berguna serta akan membantu beliau kemudian nanti, namun itu semua tidak berlaku. 

Setelah bebas, Dato' Karim berusaha untuk memperbaiki keadaan. Beliau cuba membaiki hubungan dengan keluarga terutamanya dengan anak sulung beliau, Mustapha. Selain itu Dato' Karim berusaha untuk membangunkan semula perniagannya. Dalam pada itu bukti utama perancangan jenayah 15 tahun sebelum itu muncul semula. Namun Dato' Karim dilihat tidak mahu berdendam. Culprit utama si 'abang besar' masih tidak berpuas hati dan mahu menghapuskan Dato' Karim. Walaupun di akhir cerita si penjahat akhirnya menerima balasannnya, namun berlkau tragedi terhadap keluarga Dato' Karim yang menjadikan kisah ini berakhir dengan kepiluan.

Sekiranya anda tidak berpeluang untuk membaca novel ini, jangan bimbang. Anda boleh sahaja mencari Pei Pan 2.0, novel baharu yang akan menceritakan semula kisah novel ini.

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...