Rabu, 8 Disember 2021

PESTA BUKU SELANGOR 2021


 

Tiada yang lebih mengujakan bagi seorang peminat buku apabila melihat pesta buku kembali diadakan. Setelah hampir dua tahun kobid menyerang, barulah kali ini pameran sedemikian dapat diadakan. Tahniah kepada negeri Selangor kerana memulakannya.

Hamba datang dua bas kecil bersama dengan kakitangan pejabat. Terpaksa mengadakan dua buah bas berbanding sebuah bagi memenuhi tuntutan SOP semasa. Seperti biasa apabila ke pesta buku, hamba sudah bersiap sedia dengan beg sandang. Lebih mudah untuk memasukkan buku-buku yang telah dibeli ke dalam beg berbanding menjinjing beg plastik yang banyak di kiri dan kanan tangan. Ya, ulat buku pergi ke pesta buku tidak akan membeli setakat sebuah dua sahaja tetapi akan membeli selagi mereka larat membawanya. 

Seperti kebiasaannya setiap ruang di SACC ini akan digunakan dengan sepenuhnya untuk mengisi gerai-gerai pameran. Beberapa syarikat besar seperti biasa akan turut serta. Tetapi hamba agak kecewa kerana gerai mereka agak kecil berbanding biasa dan tidak membawa tajuk yang banyak. Gerai-gerai buku yang lain pula memberikan pilihan yang banyak bersama harga yang istimewa. Walaupun dikatakan orang sudah mula hilang minat kepada buku dan beralih kepada medium digital, tetapi hakikatnya peminat buku masih ramai. Satu perkara yang hamba seronok ialah apabila ada beberapa penerbit yang berani menterjemahkan beberapa buah buku berbahasa asing ke dalam bahasa Melayu. Budaya penterjemahan ini tidak harus diserahkan kepada ITBM sahaja dan perlu diperluaskan. Beberapa karya lama hasil tulisan penjajah Inggeris juga ada yang diterbitkan kembali serta ada yang diterjemahkan. Buku-buku ini jikalau dalam bentuk cetakan asalnya telah mencapai harga yang tinggi. Penerbitannya semula memberikan peluang kepada generasi hari ini untuk menilai pemikiran dan pandangan penjajah terhadap tanah air kita sewaktu penjajahan dahulu. Secara tidak lansung, sejarah tanah air (walaupun dari sudut pandangan mereka) akan dapat diketahui, dikaji dan dipelajari.

Sebagai pembeli, hamba tentunya mahukan harga dan tawaran yang terbaik. Ada tajuk-tajuk yang hamba bandingkan harganya di pameran dengan harga yang dijual laman web. Ada buku yang hamba lihat lebih menarik harganya di laman web. Lantas hamba beli di atas talian sahaja. Tetapi rata-rata pempamer memberikan diskaun yang menarik dan ada yang memberikan hadiah kepada pembeli. Seperti biasa Pesta Buku Selangor mengadakan cabutan bertuah untuk pengunjung. Jadi, sila simpan resit anda!

Ayuh kita memberikan sokongan kepada para pempamer kali ini. Tidak rugi membeli buku dan tidak rugi rajin membaca. Sokongan anda kali ini bukan sahaja bagi melestarikan budaya minat membaca di kalangan masyarakat tetapi turut sama membantu golongan penulis dan penerbit buku yang sama tejejas pendapatan mereka disebabkan kobid ini.

Selamat memburu buku!

 gambar-gambar, kredit kepada Budin dan Kesukeb ILKKM Sungai Buloh









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...