Sabtu, 21 Oktober 2023

CEBISAN SEJARAH, EDISI 2/2023 - 131 TAHUN PERKHIDMATAN KESIHATAN & PERUBATAN DAERAH KLANG


 

Buku ini diterbitkan sempena ulang tahun ke 38 Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) pada tahun 2023. Justeru walaupun menggunakan tajuk 131 tahun perkhidmatan kesihatan & perubatan daerah Klang, buku ini sebenarnya lebih memfokuskan tentang perihal HTAR. Ini kerana jika kita bercerita tentang perkhidmatan kesihatan di daerah Klang ini, tentunya banyak lagi kisah termasuk klinik-klinik yang ada serta kisah-kisah yang berlaku di fasiliti berkenaan.

Buku ini bersifat nipis sahaja fizikalnya. Penceritaan banyak diselang selikan dengan gambar. Hamba suka melihat gambar-gambar lama yang dipamerkan. Cuma kurangnya adalah resolusinya adalah rendah dan gambarnya kelihatan pecah, seolah-olah ia bukan diambil daripada salinan asalnya tetapi hanya muat turun daripada internet sahaja. 

Buku ini dimulakan dengan sejarah awal Klang secara ringkas sebelum masuk kepada cerita mengenai tajuk seperti di muka depan buku. Hospital pertama di Klang dibina di kaki anak bukit antara Jalan Kota (Fort Road) dan Jalan Istana (Sultan Street) berhampiran sebuah gereja roman katolik dan Sekolah Rendah Convent Klang. Kedua-dua banguna berkenaan masih lagi ada sehingga kini manakala tapak hospital berkenaan pada hari ini telah menjadi Taman Bandar di Raja Klang.

Pada awal penubuhannya, kes penyakit beri-beri, pernafasan dan penyakit berkaitan kanak-kanak adalah kes utama yang ditangani hospital, diikuti kes lumpuh, penyakit mata dan radang sendi. 

HTAR mula dibina pada tahun 1981 dan siap dibina serta beroperasi pada tahun 1985. Pada hari ini kompleks HTAR telah mempunyai banyak bangunan tambahan baharu seperti kompleks rawatan harian, kompleks rawatan ibu dan bayi, kuarters integrasi dan sebagainya. 

Secara peribadi hamba mempunyai kenangan bersama HTAR kerana pernah dua kali menghuni wad di sini. Lebih manis lagi kesemua lima orang anak hamba dilahirkan di hospital ini juga!

Buku ini berkemungkinan tiada di pasaran dan hanya menjadi bacaan terhad yang diedarkan kepada jabatan kerajaan ataupun fasiliti-fasiliti kesihatan di bawah KKM sahaja.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...