Ahad, 31 Disember 2023

BUDAK HOSTEL OTAKNYA SEWEL - Hasrul Rizwan


 

Bukan tajuknya yang membuatkan hamba membeli buku ini, bahkan nama penulisnya. Bermula dengan trilogi Murtad, diikuti dengan Fantastik dan seterusnya Bercakap Dengan Jun, hamba yakin dan tidak ragu-ragu dengan hasil air tangannya. Naskhah ini sebenarnya bukanlah sebuah karya beliau yang baharu, bahkan telah muncul semenjak tahun 2015 lagi. Namun ia tidak berada di dalam koleksi hamba kerana hamba lewat menyedari akan bakat besar  beliau di dalam bidang penulisan. Hanya selepas menikmati trilogi Murtad barulah hamba berkeyakinan bahawa nama Hasrul Rizwan merupakan satu jenama yang harus diberikan perhatian. Sejak itu hamba cuba lagi mencari karya-karya beliau dan karya ini malangnya telah habis di pasaran ketika itu. Sebelum ini naskhah Budak Hostel Otaknya Sewel diterbitkan oleh penerbitan Dubook. Namun Dubook telahpun kapish diterbangkan angin yang lalu. Terima kasih kepada penerbitan FIXI yang menerbitkan karya ini kembali.

Sesuai dengan tajuknya penceritaan Budak Hostel Otaknya Sewel penuh dengan jenaka yang menghiburkan. Amat jarang hamba ketawa apabila membaca novel. Tetapi buku ini telah berjaya memecahkan tawa hamba atau sekurang-kurangnya menyebabkan bibir hamba tersungging.

Khabarnya kisah buku ini telah diangkat sebagai sebuah drama bersiri di sebuah televisyen berbayar. Hamba tak tahu perkara itu memandangkan rumah hamba tidak melanggan perkhidmatan stesen berkenaan.

Kisah kehidupan remaja di asrama seperti ini banyak dipaparkan dalam bentuk kartun di majalah-majalah humor. Salah satu yang agak popular ialah siri IBC (Intelligence Blues Club) oleh Ujang. Ia penuh dengan kisah kegilaan remaja di asrama yang kadangkala sukar diterima akal. Sebagai bekas penghuni asrama sebuah SBP, kisah di dalam buku ini sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia lama. Apatah lagi latar masa kisah BHOS ini juga sama dengan zaman hamba di asrama.

Biasanya kisah kegilaan di asrama akan melibatkan sekumpulan pelajar, bukannya kisah individu. Dalam BHOS mereka diwakili oleh The Kamjat Boys yang terdiri daripada Akhil, Mat Piah, Cupin dan Widad. Tidak hanya watak-watak mereka yang menimbulkan jenaka, bahkan watak-watak lain juga demikian. Hanya beberapa watak sahaja yang dilihat agak serius seperti watak Adam yang merupakan abang kembar kepada Akhil.

Borhan sebagai crook telah mencuri diari Akhil. Untuk mendapatkannya semula, Borhan telah mensyaratkan Akhil untuk menyusup masuk ke asrama perempuan dan mengambil sehelai pakaian milik Zakiah Merican. Bermula daripada perancangan hinggalah kepada pelaksanaan, para pembaca akan terhibur dengan telatah mereka ini. Tanpa disedari, Borhan mempunyai agenda lain selain mencabar Akhil masuk ke asrama perempuan. Anda pastinya berdebar apabila membaca bahagian kumpulan ini hampir kantoi misi mereka.

Selain daripada lawak jenaka dan penggunaan bahasa yang kasar, hamba seperti biasa tetap konsisten dan tidak menyokong penggunaan bahasa atau paparan adegan juga kata-kata yang dikira lucah atau tidak sesuai kepada kanak-kanak. Hamba sebenarnya mahukan buku ini juga turut dinikmati oleh anak hamba. Tetapi dalam masa yang sama risau dengan pengaruh tidak sihat sebegini. Sukar kalau nak menjawab kalau anak bertanya kenapa ada ketua perpustakaan yang dijumpai mati dengan seluarnya terlondeh dan..............!

Ada dua nama dalam buku ini yang perlu anda cam dengan sebaiknya iaitu Akhil dan Adam. Kenapa? Kerana anda akan bertemu mereka sekali lagi dalam trilogi Murtad yang perjalanan ceritanya lebih mencabar dan lebih kronik daripada kehidupan di asrama!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...