Isnin, 11 Mac 2024

NYAWA DI-HUJONG PEDANG - Ahmad Murad


Melihat ada seseorang mahu menjual buku ini di laman sosial FB dan harganya pula agak mampu milik, hamba tidak berlengah memesannya dengan penjual. Tajuk buku lama ini selalu hamba temui di laman internet tetapi tentunya buku ini tiada lagi di mana-mana kedai buku ataupun perpustakaan. Justeru hamba merasa beruntung kerana dapat memilikinya.

Versi di tangan hamba adalah cetakan yang ke tujuh tahun 1967. Cerita Nyawa Di-Hujong Pedang ini telah memenangi tempat pertama dalam peraduan mengarang cerita-cerita yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1946. Novel ini pada mulanya dicetak oleh Jabatan Penerangan di dalam tulisan Rumi sebelum dicetak dengan tulisan Jawi. Apabila kesemua cetakan oleh Jabatan Penerangan ini telah habis di pasaran dan masih ada lagi permintaan terhadapnya, maka penulis telah mencetaknya semula. Dan versi cetakan yang inilah yang ada pada hamba. Memandangkan hamba memperolehi buku cetakan yang ke tujuh, jelas menunjukkan buku ini merupakan sebuah buku yang amat laris pada zamannya!

Pengarang mendedikasikan buku ini buat sahabat beliau Encik Yazid bin Ahmad yang telah menjadi korban Jepun kerana mempertahankan tanah air. Mungkin kerana itu hero bagi buku ini dinamakan dengan nama beliau. Bezanya hero buku ini kekal bernyawa sehingga ke akhir kisah.

Kisah yang dipaparkan di dalam buku ini adalah ringkas dan mudah difahami. Membacanya seperti kita mengikuti kisah-kisah yang ditayangkan di dalam filem Melayu lama.  Ia adalah kisah seorang pemuda bernama Yazid yang sedang bercinta dengan Juriah. Percintaan mereka yang berlaku secara terang-terangan tidak disenangi segelintir orang kampung kerana dilihat seperti meniru budaya asing. Ya, zaman itu tentunya pergaulan remaja amat dipelihara demi menjaga nama agama dan keluarga. Namun hari ini percintaan seperti Yazid dan Juriah adalah biasa bahkan ada yang melampau lagi.

Mereka sedang merancang untuk berkahwin. Dalam pada itu seorang pemuda bernama Said yang bekerja sebagai informer Jepun tidak senang dengan mereka. Walaupun Yazid adalah teman dan rakan sepermainan said sejak kecil, beliau tidak rela Juriah menjadi milik Yazid.

Said tekad untuk memisahkan mereka. Pada hari berlansungnya perkahwinan Yazid dan Juriah, Yazid telah ditangkap dan dibawa serta ditahan di rumah MP (Military Police). Ini gara-gara fitnah Said yang mendakwa Yazid menyokong kumpulan yang menentang Jepun.

Sepanjang tahanan, Yazid telah disiksa oleh Sarjan Yoshimura yang amat ganas sekali siksaannya. Beberapa tahanan  lain turut disiksa. Mereka akan disiksa sehingga lembik dan kemudiannya dibiarkan untuk sembuh selamam beberapa hari sebelum disiksa semula.

Hanya apabila Jepun menyerah kalahlah baru Yazid dibebaskan. Dalam pada itu Said telah ditangkap oleh kumpulan yang menetang Jepun dan dibawa ke hutan. Said kemudiannya dibunuh. Yoshimura pula dibicarakan di mahkamah tentera British dan akhirnya dijatuhkan hukuman mati.

Naskhah milik hamba ini masih menggunakan gaya ejaan bahasa Melayu lama. Namun tiada istilah lama yang susah untuk difahami. Naskhah hamba ini juga penuh dengan catatan pensel oleh pemiliknya yang dahulu. Antaranya catatan tentang perkataan yang seerti ataupun maksud kepada peribahasa yang dituliskan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...