Ahad, 21 April 2024

NONI - Abdullah Hussain


 

Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di atas talian. Walaupun buruk, ia adalah karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Yang penting bagi hamba ialah karya ini masih dapat dibaca tanpa ada muka surat yang hilang atau terlindung tulisannya.

Membaca Noni mengingatkan hamba kepada cerita atau tayangan filem lama sekitar 60an dan 70an yang banyak memaparkan kisah cinta antara dua darjat. Dalam hal ini watak Ramli mewakili golongan miskin yang berasal dari kampung manakala watak Syarifah Aini aka Noni mewakili golongan kaya dan berkedudukan. Selain itu keturunan Syed yang ada dalam darah Noni turut menjadi satu status yang dipandang mulia.

Hamba percaya latar masa Noni adalah tahun-tahun sebelum 70an di mana wang sejumlah RM200 sudah cukup besar dan amat susah untuk disediakan. Hari ini dengan RM200 seorang anak muda yang membeli kasut mungkin merasakan harga berkenaan amat murah bagi sebuah kasut berjenama.

Kehidupan di kampung juga dilihat agak susah dengan pencarian rezeki umpama kais pagi akan pagi, kais petang makan petang. Air dan elektrik masih lagi dua kemudahan yang dianggap mewah. Pencahayaan hanya datang daripada lampu minyak tanah manakala sumber air daripada telaga. Di bandar pula kemiskinan dapat dilihat daripada pencerobohan tanah kerajaan untuk didirikan rumah kediaman atau setinggan. Penduduk di setinggan juga tidak mempunyai kemudahan elektrik dan berkongsi air daripada paip umum.

Ramli adalah harapan kampungnya. Kemajuan beliau dalam pelajaran membanggakan seluruh kampung. Ramli hampir putus asa untuk ke universiti kerana tidak mampu untuk menyediakan biaya awal untuk mendaftar. Namun penduduk kampung yang semuanya miskin telah berjaya mengumpul sebanyak RM250 untuk  Ramli memulakan langkahnya sebagai seorang mahasiswa di menara gading. Ramli merasa amat terhutang budi dengan penduduk kampungnya. Penduduk kampung pula tidak mengharapkan sebarang balasan. Mereka hanya mahu melihat Ramli berjaya.

Di peringkat awal Ramli di universiti, kita diperlihatkan dengan budaya ragging yang kelihatan lumrah ketika itu.Tidaklah hamba tahu jika ketika ini budaya berkenaan masih lagi ada. Yang kerap membulinya pula adalah seorang mahasiswi senior bernama Syarifah Aini. Namun satu peristiwa yang berlaku di antara mereka lama kemudian telah membuatkan keduanya menjadi rapat.

Keluarga Noni tentunya tidak dapat menerima seorang pemuda miskin menjadi sebahagian keluarga mereka. Apatah lagi Noni sebenarnya sudah bertunang dengan Syed Hood. Keluarga Ramli juga bahkan orang kampung juga tidak dapat menerima hubungan kedua pasangan ini kerana kedudukan mereka yang berbeza. Lebih daripada itu penduduk kampung sebenarnya tidak mahu Noni menjadi penghalang kepada Ramli di dalam pelajarannya.

Tapi ya lah, seperti di dalam filem-filem lama, pasangan ini bernikah juga akhirnya. Namun kehidupan mereka tetap dalam kesusahan. Ramli akhirnya mati kerana sakit, sesuatu yang membuatkan keluarganya serta orang kampung kecewa. Noni juga akhirnya menemui kematian akibat kemalangan dalam perjalanan pulang ke kampung arwah suaminya.

Namun kematian Noni telah memberikan rahmat kepada penduduk kampung yang kemudiannya menyesal terhadap sikap mereka kepada Noni. Ayah Noni juga berubah sikap dan mula mengerti apa ertinya sebuah kebahagiaan. 




1 ulasan:

  1. kagum saya dengan tuan.. sempat lagi tuan baca buku tajuk Noni ni.. Saya sekarang hobi membeli buku..tapi membacanya tidak..Ada yang belum bukak plastik pun ada..sekarang ada smartphone.. lebih byk tgk phone berbanding buku..tu antara halangan terbesar. .. boleh ke kongsikan satu artikel tips untuk rajin beli dan rajin baca buku tuan..

    BalasPadam

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...