Khamis, 9 Mei 2024

BUJAL - EDISI KHAS ANNIVERSARI 51 TAHUN


 

Karakter seorang budak lelaki berambut tebal, berjerawat dan selalu mengenakan t'shirt belang ini adalah satu watak yang amat dikenali di kalangan kanak-kanak sekitar 70-80an. Bermula kemunculannya di majalah Bambino sebelum mempunyai majalah dengan namanya sendiri.

Ayah hamba selalu membelikan hamba majalah Bujal ini dahulu. Melalui majalah ini serta majalah-,ajalah lain yang ayah belikan seperti Bambino, Dewan Pelajar, Kuntum, Gila-Gila, Mingguan Pelajar dan lain-lain lagi, minat hamba dengan buku dan majalah semakin bertambah. Sehingga ke hari ini minat membaca masih lagi menebal. Sayangnya hamba tidak menyimpan sebarang koleksi Bujal di rumah apabila ia hamba tinggalkan sewaktu berpindah rumah. Maklumlah ketika itu masih remaja dan tidak terfikir majalah seperti ini akan cukup bernilai pada hari ini.

Majalah Bujal sudah lama menghilang. Secara tiba-tiba hamba terjumpa dengan satu posting di FB yang memaklumkan akan kehadiran edisi khas ini. Hamba tidak teragak-agak untuk membelinya.

Majalah keluaran khas ini tidaklah begitu tebal, sekadar 40 ,uka surat sahaja. Ia juga tidak menampilkan sebarang komik baharu cuma keluaran semula dua buah komik yang bertajuk Restoran Bujal dan Wak Segan Yang Yok. Apa yang baharu adalah pengenalan kepada watak-watak yang pernah muncul di dalam Bujal, sejarahnya serta tentang pelukis asalnya. Dah 49 tahun umur hamba, baru kali ini hamba mengetahui nama Bujal berasal daripada perkataan 'Budak Jalanan'!

Pembeli majalah ini juga akan menerima tandatangan khas Pak Rizalman, pelukis Bujal.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERJALANAN MENCARI BAHASA - Abdullah Hussain

  Hamba amat gembira apabila secara tidak sengaja bertemu buku ini untuk dijual di atas sebuah platform jualan atas talian. Sudah terlalu la...