Hamba seperti juga ramai di luar sana suka mendengar irama bunyi-bunyian. Perjalanan hamba ke tempat kerja yang mengambil masa lebih sejam biasanya ditemani siaran daripada radio buruk kereta. Hamba rasa kalau tiada radio di kereta mungkin bosan juga apabila memandu berseorangan. Dengan banyaknya siaran radio yang ada di Malaysia sekarang, hamba rasa hamba tidak perlu membeli sebarang keset (ada lagi ke dijual?) atau cd untuk dimainkan. Memadai dengan lagu-lagu yang diputarkan oleh stesen radio. Nak lagu klasik ada stesennya, begitu juga kalau nak dengar lagu retro, moden dan sebagainya. Jadi kepada yang cari makan dengan jual lagu janganlah marah kalau hamba tak beli cd mereka. Lagipun lagu tuan hamba biasanya hanya seketul dua sahaja yang sedap didengar, yang lain tu nampak macam nak bagi pelengkap album sahaja.

Tapi bagaimana pula dengan nasyid yang dimetal atau diberi nafas rock. Dulu Rabbani pernah memasukkan unsur muzik hip hop atau rancak dalam beberapa lagu mereka seperti Intifadah. Apa yang hamba tahu bila mendengar lagu tersebut, kaki hamba rasa macam nak menari saja. Begitu juga apabila mendengarnya dalam acuan rock, rasa nak head banging pun ada. Tidak hamba nafikan bahawa mesej yang dibawa tetap kepada kebaikan, namun sesuaikah ia dimasukkan irama yang keras.

Meneliti beberapa lagunya, hamba dapati ia menggunakan lirik daripada nasyid kumpulan Nada Murni seperti lagu Simfoni Evolusi (asal Islam Yang Telah Berkembang), Radiasi 1400 (asal Seruan Jihad) dan beberapa lagu lagi. Ia tak ubah seperti kumpulan Kristal yang memetalkan lagu-lagu 60’an. Hamba tak pasti kenapa lagu-lagu Nada Murni yang mereka pilih. Adakah mereka legasi dari jemaah Darul Arqam dahulu atau Nada Murni memang geng mereka, wallahuaa’lam.
Apapun hamba serahkan kepada halwa telinga anda. Hamba tidak pandai untuk memberikan penilaian. Tapi muzik mereka memang layan…..
Nasyid juga telah berevolusi...
BalasPadam