Sabtu, 28 Julai 2012

APABILA NASYID DIMETALKAN

Hamba seperti juga ramai di luar sana suka mendengar irama bunyi-bunyian. Perjalanan hamba ke tempat kerja yang mengambil masa lebih sejam biasanya ditemani siaran daripada radio buruk kereta. Hamba rasa kalau tiada radio di kereta  mungkin bosan juga apabila memandu berseorangan. Dengan banyaknya siaran radio yang ada di Malaysia sekarang, hamba rasa hamba tidak perlu membeli sebarang keset (ada lagi ke dijual?) atau cd untuk dimainkan. Memadai dengan lagu-lagu yang diputarkan oleh stesen radio. Nak lagu klasik ada stesennya, begitu juga kalau nak dengar lagu retro, moden dan sebagainya. Jadi kepada yang cari makan dengan jual lagu janganlah marah kalau hamba tak beli cd mereka. Lagipun lagu tuan hamba biasanya hanya seketul dua sahaja yang sedap didengar, yang lain tu nampak macam nak bagi pelengkap album sahaja.
Hamba juga suka mendengar nasyid. Dulu hamba suka dengar Nada Murni, sekarang hamba dah tak kenal lagi sesiapa yang bernasyid. Nasyid sendiripun dari zaman tiada alat muzik, kemudian mula dimasukkan gendang dan perkusi, sekarang dan macam muzik moden. Kumpulan nasyid sendiripun banyak yang telah lari daripada irama padang pasir kepada irama yang lebih moden mengikut citarasa hari ini.
Tapi bagaimana pula dengan nasyid yang dimetal atau diberi nafas rock. Dulu Rabbani pernah memasukkan unsur muzik hip hop atau rancak dalam beberapa lagu mereka seperti Intifadah. Apa yang hamba tahu bila mendengar lagu tersebut, kaki hamba rasa macam nak menari saja. Begitu juga apabila mendengarnya dalam acuan rock, rasa nak head banging pun ada. Tidak hamba nafikan bahawa mesej yang dibawa tetap kepada kebaikan, namun sesuaikah ia dimasukkan irama yang keras.
Hamba terjumpa di internet dengan satu kumpulan yang menamakan diri mereka Al-Farabi Band yang membawakan lagu dakwah dalam irama rock. Permainan muzik mereka bagus, umpama rock zaman rock kapak. Cuma suara vokalisnya sahaja dalam satu dua lagu yang hamba rasa tak berapa masuk. Penampilan band ini juga berlainan. Yang lelaki berpakaian sama sahaja seperti rockers remaja, cuma mereka mengenakan serban  di kepala. Ada juga sekuntum bunga di dalam band ini yang lengkap berhijab berfungsi sebagai pemain bass. Gaya ambil gambar pun ala-ala bintang rock, yang memang gayanya tak nampak nak berapa tawadhu’.
Meneliti beberapa lagunya, hamba dapati ia menggunakan lirik daripada nasyid kumpulan Nada Murni seperti lagu Simfoni Evolusi (asal Islam Yang Telah Berkembang), Radiasi 1400 (asal Seruan Jihad) dan beberapa lagu lagi. Ia tak ubah seperti kumpulan Kristal yang memetalkan lagu-lagu 60’an. Hamba tak pasti kenapa lagu-lagu Nada Murni yang mereka pilih. Adakah mereka legasi dari jemaah Darul Arqam dahulu atau Nada Murni memang geng mereka, wallahuaa’lam.
Apapun hamba serahkan kepada halwa telinga anda. Hamba tidak pandai untuk memberikan penilaian. Tapi muzik mereka memang layan…..




1 ulasan:

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...