Rabu, 11 Julai 2012

SITORA HARIMAU JADIAN - P. Ramlee

Bila menyebut tentang P.Ramlee, rasanya tidak perlu ditulis dengan panjang lebar kerana rata-rata masyarakat Malaysia mengenali beliau. Walaupun jasadnya telah lama bersemadi, namun generasi hari ini mengenai Allahyarham lewat filem serta lagunya.

Antara semua filem beliau, terdapat satu filem yang telah hilang tanpa dapat dikesan jejaknya – SITORA HARIMAU JADIAN. Ia merupakan filem pertama beliau setelah berpindah dari Singapura ke Studio Merdeka Kuala Lumpur. P.Ramlee agak kecewa dengan kemudahan yang ada di studio tersebut memandangkan ia jauh lebih ketinggalan berbanding dengan Studio Jalan Ampas. Tambahan pula kedudukan studio tersebut di Ulu Kelang yang berhampiran dengan zoo. Maklum sahajalah ketika era itu kedudukan Ulu Kelang sememangnya ulu benarlah.

Memandangkan hamba antara generasi yang tidak berkesempatan menontonnya, maka sering juga tertanya-tanya tentang jalan cerita filem tersebut memandangkan tajuknya sendiri berbeza dengan lain-lain filem yang pernah dihasilkan beliau. Kalau adapun mungkin Sumpah Orang Minyak boleh dimasukkan dalam kumpulan yang sama.

Justeru bertemu dengan naskhah SITORA HARIMAU JADIAN yang diterbitkan semula daripada novel asal tahun 1965 mendatangkan sedikit keterujaan untuk membacanya. Secara ringkasnya ia mengisahkan sebuah kampung yang diganggu oleh makhluk jadian yang berupa harimau. Apabila gangguan berlaku penduduk akan merujuk hal berkenaan kepada seorang dukun. Pihak berkuasa yang menjaga keamanan berpandangan hal tersebut merupakan sesuatu yang tahyul. Lantas mereka mendatangkan seorang doktor untuk bertugas di kampung tersebut. Seterusnya anda sendirilah yang kena mendapatkan sambungannya. Hilanglah suspen kalau hamba menceritakan segalanya.

Sambil membaca hamba cuba membayangkan adengan sebenar dalam filem tersebut. Hamba yakin berdasarkan kemudahan di Studio Merdeka, hasil filem tersebut tentunya tidak sebaik filem Allahyarham sebelum itu. Walau bagaimanapun sekurang-kurangnya hamba berpuas hati mendapat gambaran cerita filem berkenaan walaupun sekadar hanya membaca dalam bentuk tulisan.

Biodata:
(Seperti ditulis dalam cetakan pertama novel ini pada 1965):

P. Ramlee terkenal sebagai pengarah, bintang filem, penyanyi, penggubah lagu, pelawak dan pemain sepak raga yang handal.

Ia dilahirkan di Pulau Pinang, bersekolah Melayu di Kampung Jawa, kemudian bersekolah Inggeris di Francis Light School dan Penang Free School.

Sejak kecil lagi ia sudah tertarik kepada muzik, sehingga pelajarannya di sekolah menjadi terganggu. Ia telah ikut berbagai-bagai pasukan pancaragam dan namanya mulai terkenal ketika ia dalam zaman Jepun menyanyikan beberapa lagu Jepun dan Melayu.

Dalam satu pertunjukan tanaman di Bukit Mertajam ia telah ditawarkan datang ke Singapura oleh BS Rajhans yang menjadi pengarah filem Melayu di Malay Film Productions.

Mula-mula P. Ramlee menjadi penyanyi playback di samping menjadi pelakon tambahan dalam berbagai-bagai filem, kemudian ia menjadi penolong pengarah dan akhirnya menjadi antara pengarah Melayu pertama yang mendapat kesempatan penuh. Ia menjadi perintis jalan bagi pemuda-pemuda Melayu yang lain untuk menjadi pengarah filem di studio-studio tempatan.

Boleh dikatakan sebahagian besar cita-cita P. Ramlee sudah tercapai: ia menjadi pelakon Asia yang terbaik dalam filem Anakku Sazali, penggubah muzik Asia terbaik dalam filem Hang Tuah, pengarah filem kelakar yang terbaik dalam Pendekar Bujang Lapok, dalam filemnya Sumpah Orang Minyak pula telah mendapat hadiah filem hitam putih yang terbaik. Kemuncak daripada semua kejayaan ini ialah anugerah bintang A.M.N oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 dalam tahun 1963.

Dalam buku kecil ini kami hidangkan semula cerita Sitora Harimau Jadian yang sudah disusun kembali dalam bentuk prosa. Walaupun orang sudah menyaksikan filemnya, tetapi banyak lagi perkara-perkara yang barangkali tidak dapat ditangkap di dalam filem itu akan terdapat dalam buku ini.

Orang jadi-jadian seperti diceritakan oleh P. Ramlee di dalam buku ini, ialah suatu dongeng yang pernah kita dengar dari datuk nenek kita pada suatu masa dahulu.

Agaknya cerita Sitora Harimau Jadian ini pun berpunca dari cerita dongeng itulah. P. Ramlee mencuba menggabungkan dengan ilmu sains seperti yang pernah dicuba oleh pembuat filem-filem Barat dengan Werewolf of London misalnya.

Kami akan berusaha untuk menerbitkan kembali cerita-cerita filem yang serupa ini dari satu masa ke satu masa, tidak sahaja untuk menambahkan bahan-bahan bacaan yang ringan tetapi juga untuk mengekalkan bahan-bahan filem yang pernah diusahakan oleh pengarah-pengarah Melayu sebagai bahan sastera pula

bab 1 novel tersebut boleh dilihat di http://fixi.com.my/wp-content/uploads/Sitora_chap1.pdf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...