Selasa, 11 September 2012

NASRUDDIN & FAZLIAH

Seingat hamba kali terakhir hamba mengambil gambar dalam satu majlis perkahwinan adalah pada akhir 2010, iaitu perkahwinan staff hamba sendiri. Selepas itu hamba macam malas nak mengusung kamera sebaliknya mengusung pinggan dan cawan sahaja untuk dibasuh (rewang). Tak dinafikan sejak hampir setahun ini hamba agak kurang bermain dengan D90. Bukanlah kerana hamba bosan menggunakannya atau mahu bertukar ke gadget yang lebih baru, tapi entah….hamba sendiri tidak mempunyai jawapannya.
Hamba kembali mengusung D90 di majlis perkahwinan sepupu isteri hamba yang berlansung di Sungai Besar semalam. Teringin nak rasa semula feel berebut-rebut dengan jurugambar yang ramai untuk mendapatkan sudut yang terbaik. Mungkin juga kerana hamba malas nak merewang agaknya.
Pihak pengantin dah mengambil dua orang jurugambar, seorang lelaki dan seorang wanita. Sekian lama hamba menyebok mengambil gambar di majlis perkahwinan, bersaing bersama official photographer, yang inilah agaknya yang sedikit menjengkelkan hamba. Apabila ada majlis sebegini, kita maklum akan ada ramai manusia yang teruja untuk merakamkan detik-detik yang berbahagia ini. Disamping itu OP juga berusaha untuk mendapatkan hasil yang terbaik buat pelanggan mereka walaupun tugas mereka kadang-kadang terhalang oleh orang ramai. Namun OP yang berpengalaman biasanya dapat menguasai suasana dan tahu detik yang betul dan tepat untuk memetik punat kameranya.
Namun OP yang ini dalam usaha untuk mendapatkan hasil terbaik mereka seolah ‘menghalang’ orang lain untuk turut merakam sama. OP yang berpengalaman biasanya akan membiarkan orang ramai merakam sebelum beliau beraksi selepas orang lain selesai dengan kamera mereka. Maka barulah beliau mudah untuk memberikan arahan kepada pengantin. Sekiranya beliau selesai merakam dari sudut tertentu, maka selepas itu peluang yang sama akan diberikan kepada orang yang lain pula. Tetapi OP yang semalam ini lain benar karekternya. Mereka duduk menguasai kawasan hadapan pengantin sehingga seolah tidak memberikan peluang kepada orang lain untuk berada di sudut yang sama. Duduk sahaja pengantin di pelamin mereka sudah sibuk mengarah itu ini meminta pengantin beraksi untuk mereka sehingga akhirnya mereka terlupa tentang adat menepung tawar atau peluang untuk pengantin bertemu saudara mara serta sahabat handai di atas pelamin. Kebiasaannya pada waktu sebegini OP lain akan menumpukan kepada suasana majlis persandingan. Pengantin beraksi di atas pelamin biasanya akan dilakukan selepas istiadat bersantap ataupun  apabila tetamu mulai berkurangan.

Maaflah andainya OP tersebut tidak bersetuju dengan tulisan hamba. Tapi hambapun bukan baru hari ini menyentuh kamera. Berilah peluang kepada orang lain juga untuk mencuba kreativiti mereka. Mungkin OP ini tidak sedar akan perilaku mereka sedikit menjengkelkan orang lain, dan mereka masih belum terlambat untuk mengubahnya….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...