
Namun bulan lepas hamba beroleh peluang untuk keluar agak jauh – Sarawak, dan lebih istimewa lagi ke kawasan pedalaman. Bagi hamba ini merupakan peluang baik untuk hamba meninjau kampung halaman orang. Bukannya mudah untuk ke kawasan pedalaman Sarawak kalau sekadar pergi untuk saja-saja. Lagipun kawasan pedalaman Sarawak kebanyakannya agak sukar perjalannya serta mengambil tempoh yang lama. Kebanyakannya juga tidak mempunyai akses jalan raya atau jalan darat untuk sampai.
Kerja luar hamba ini sebenarnya adalah untuk meninjau keadaan klinik kesihatan dan klinik desa di sana serta menjalankan naziran untuk pemberian elaun. Pada hari pertama, sebaik sahaja selesai urusan kemasukan hotel serta menunaikan solat Zuhur, maka hamba dan kumpulan dibawa ke KK Kuala Tatau. Dari Bintulu mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai ke jeti Kampung Kuala Tatau. Jalan rayanya tidak begitu baik serta tidak rata. Dari jeti tersebut perlu pula menaiki bot selama lima minit untuk menyeberang sungai yang luas sebelum tiba ke destinasi.
Klinik ini amat hampir dengan sungai. Justeru ia sering terdedah kepada banjir. Kerana itulah binaan klinik dan kuartersnya dibuat agak tinggi dari tanah. Klinik ini tidak mempunyai bekalan air bersih. Ia cuma menggunakan sumber tadahan air hujan. Merasalah kami petang itu dijamu dengan teh o air hujan. Sekitar klinik terletak sebuah kampung yang pada pandangan saya amat terjaga kebersihannya. Kebanyakan rumah dicat dengan warna menarik. Berkemungkinan juga ia baru dicat kerana sebelum itu dimaklumkan ada lawatan VIP ke kampung tersebut bagi sumbangan tong tadahan air 1Malaysia.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan