Isnin, 8 Oktober 2012

THE HIPLIST WEDDING PHOTOGRAPHERS

Semasa sekilas hamba membaca tajuk majalah ini, hamba hampir sahaja tidak memperdulikannya. Ini memandangkan hamba cuba mengelak untuk membeli bahan bacaan berkenaan fotografi buat seketika. Majalah-majalah fotografi yang hamba beli, yang dah dua tiga tahun dulu pun ada yang masih tak berbaca lagi. Namun bila lirikan mata tertancap pada kalimat seterusnya – Celebrating The Art Of Malaysia’s Wedding Photographers – hamba rasa hamba perlu memilikinya.

Semasa di kedai, buku ini berbalut rapi dengan plastik membuatkan hamba tidak dapat menyelak untuk mengetahui isi kandungannya. Namun hamba membayangkan ia dipenuhi karya-karya hebat jurugambar perkahwinan di Malaysia. Sememangnya telahan hamba ini benar. Gambar-gambar yang dilampirkan dalam edisinya yang ke-enam ini memang amat menarik perhatian. Cuma satu sahaja yang hamba perasan, rata-rata karya jurugambar yang dipaparkan adalah berbangsa cina. Hamba rasa hamba tertipu oleh tajuk majalah ini tadi. Jurugambar Perkhawinan di Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai bangsa. Tetapi tidak ditonjolkan oleh majalah ini.

Jurugambar yang terpilih adalah mereka yang mempunyai syarikat yang bergerak dalam skala yang besar. Tiada rasanya tempat untuk mereka yang bekerja secara solo. Setiap mereka meninggalkan nombor telefon untuk memudahkan pelanggan menghubungi. Sekali lagi hamba merasa yang hamba telah membuang RM15.00 untuk membeli sebuah majalah iklan. Biasanya orang membayar pada majalah agar iklan mereka tersiar tetapi hamba seolah membayar pula untuk melihat iklan para jurugambar ini.

Ekspektasi hamba untuk melihat jurugambar ‘Malaysia’ yang berbilang kaum dalam majalah ini nampaknya tidak kesampaian. Bahkan pasangan pengantin berbusana Melayu juga hanya beberapa keping sahaja boleh dilihat di majalah ini. Rata-rata di hampir di setiap muka adalah pasangan pengantin yang berbusana barat.  Kalau orang asing membaca majalah ini hamba yakin mereka akan mengatakan bahawa gambar-gambar berkenaan sama sahaja dengan pengantin di negara mereka.  Hamba rasa tiada citarasa Malaysia dalam majalah ini kecuali pada beberapa keping gambar. Entahlah hamba rasa hamba cuma membazir pitih sahaja membeli majalah tersebut. Lain kali duit itu hamba beli karipap sadin aje!

1 ulasan:

  1. Rm15 beli karipap sardin tuh boleh makan sampai muntah! hehehe

    BalasPadam

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...