Rabu, 2 Januari 2013

LEGASI PEJUANG - Arman Jazee



Dapat juga hamba menghabiskan bacaan sebuah novel dalam masa hamba bercuti ini. Itupun memakan masa lima hari juga untuk menghabiskannya. Manakan tidak, dalam kita membaca pastinya ada urusan lain yang perlu diselesaikan. Maka terpaksalah berdikit-dikit menelaahnya sehingga habis.

Di Malaysia tidak banyak penulis yang berani menghasilkan novel bernada thriller dan aksi. Kebanyakan yang ada lebih kepada jiwang-jiwang yang kadangkala menghanyutkan. Hamba tidak kenal dengan penulis ini dan hamba tidak tahu apakah ini novelnya yang pertama atau tidak. Namun hamba mencapainya dari rak buku kerana hamba dahagakan bahan bacaan yang bertemakan aksi seperti ini.

Kisah bermula dengan satu rompakan bank di Kuala Lumpur oleh sekumpulan warga asing berketurunan Arab. Seorang lelaki bernama Syed Kairi Syed Fahim, seorang penghantar cepat yang menghantar bungkusan bank tersebut akhirnya menjadi tawanan kepada ketua perompak dan dibawa sama untuk melarikan diri. Kisah penawanan beliau diceritakan begitu ringkas sehinga tiba-tiba sahaja telah berlalu tiga tahun dan beliau kini berada di Algeria. Dalam tempoh tersebut dapat difahamkan bahawa beliau telah diberi latihan sebagai seorang pejuang. Secara tiba-tiba juga nama beliau telah bertukar kepada Muaz tanpa diketahui hujung pangkalnya. Tentu agak menarik sekiranya penulis memanjangkan sedikit kisah penawanan beliau sehingga membawa kepada penyertaan beliau dalam Gerakan Jihad Ulislam.

Penceritaan dilanjutkan dengan kisah perjuangan beliau di Somalia, Bosnia, Lubnan sehingga kepada pencerobohan Ibupejabat CIA di Amerika untuk membebaskan tawanan. Watak Muaz walaupun digambarkan sebagai pejuang Islam, namun kadangkala beberapa tindakannya nampak amat ganas sehingga tidak nampak Islamik tersebut. Sebagai contoh, ketua perompak yang menawan beliau tersebut sebenarnya adalah ketua gerakan Jihad Ulislam. Sewaktu melarikan diri dari bank, beliau telah membunuh polis yang menyerbu masuk. Tindakan membunuh sewenang-wenangnya ini boleh memberikan mesej keganasan kepada pembaca. Begitu juga sewaktu beliau dan sahabatnya Khaleb mahu memasuki sempadan Somalia, habis kesemua pengawal sempadan tersebut dibunuh mereka.

Walau apapun hamba menerima cerita ini seadanya memandangkan ia hanya sebuah fiksyen yang turut mengaitkan latar tempat dan masa seolah ia benar-benar berlaku. Peristiwa Black Hawk Down di Somalia serta askar pengaman PBB yang terdiri daripada tentera Malaysia dan Pakistan yang menyelamatkan tentera Amerika yang merupakan satu peristiwa benar turut dijadikan latar cerita seolah-olah Muaz turut sama berjuang. Beberapa watak turut menggunakan nama yang diubahsuai daripada tokoh yang wujud seperti Hassan Nasrallah menjadi Hassan Hasalla dan Yitzak Rabin menjadi Yizhak Rabene. Kadang-kadang hamba merasakan kekuatan watak utamanya juga terlalu bombastik seolah seorang superhero.

Sambil mata hamba membaca, otak hamba pula menterjemahkannya dalam bentuk visual. Andainya novel ini difilemkan ianya pasti penuh dengan pertumpahan darah yang tidak memungkinkan ia dilabel sebagai 'U'. Namun yang pasti ia memang menarik untuk divisualkan. Tahniah buat penulis, hamba menunggu kelahiran karyanya yang akan datang!!


2 ulasan:

  1. Menarik, kini saya sedang membaca novel "Life of Pi" which is also out in a movie right now. My boss recommended me the book years back, and yes, I highly recommend it as well! :D Happy new year untuk Kenitra dan family :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya ada membaca review movie tersebut. Kalau tak silap pengarahnya Ang Lee. dikatakan beliau berjaya membawakan adaptasi novel tersebut ke film memandangkan kisahnya yg penuh fantasi. tapi tunggulah ia keluar dalam BM, saya tak pandai BI nih....

      Padam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...