Ahad, 24 Mac 2013

BUJAL


Andai anda merupakan generasi yang sama dengan hamba, lahir dan membesar sekitar tahun 70an, tentunya pernah bertemu atau kenal dengan majalah kanak-kanak ini. Majalah ini bertajuk Bujal keluaran RAZ Studio. Majalah yang hamba paparkan ini bertarikh Januari 1984. Bermakna ia telah berusia 29 tahun, bukan lagi usia seorang kanak-kanak. Majalah Bujal telah lama tiada di pasaran. Hamba sendiri tidak ingat bilakah tarikh berkuburnya majalah ini. Syukur majalah ini masih elok tersimpan di rumah ayah hamba. Maka hamba ambil dan bawa pulang ke rumah untuk disimpan sebagai sebahagian koleksi hamba.
Majalah ini merupakan antara majalah yang sering dibeli oleh ayah hamba ketika kecil. Antara majalah lain yang pernah mengisi zaman kanak-kanak hamba ialah Kuntum, Bambino, Dewan Pelajar dan Mingguan Kanak-Kanak. Mingguan Kanak-Kanak tidak hadir dalam bentuk majalah tapi dalam bentuk akhbar tabloid. Kesemua ini ayah hamba belikan untuk menanam sifat suka membaca ke dalam diri hamba.
Majalah kanak-kanak ketika itu tidaklah begitu cantik paparannya seperti majalah pada hari ini. Ketika itu penggunaan komputer tidaklah seperti hari ini yang begitu canggih sehingga kita sendiri boleh melakukan rekaletak dari rumah sahaja. Paparannya lebih banyak hitam putih dari warna. Kotak-kotak dialognya juga menggunakan tulisan tangan. Pendek kata lebih banyak menggunakan kemahiran tangan berbanding jentera.
Majalah Bujal ini harganya Cuma RM1.00, satu harga majalah yang payah untuk dijumpai ketika ini. Kalau adapun mungkin ia hanya majalah lama yang dijual murah. Ada satu komik yang agak ke hadapan dalam majalah ini iaitu ‘Kisah Trajis Di Rara Avis’ oleh S.Zain yang bertemakan angkasa lepas. Hamba katakan agak kehadapan kerana tidak ramai pelukis ketika itu yang memilih sesuatu yang bertemakan sains dan angkasa lepas ketika itu (rasanya hari inipun lebih kurang juga). Juga ada satu komik jawi yang bertajuk Bujil, terkenal kerana pusatnya yang terjojol keluar. Kerana itu kalau anda hari ini ada terdengar orang menyebut pusat bujul, ia sebenarnya merujuk kepada watak utama komik ini – dan tentunya orang itu satu generasi dengan saya!

4 ulasan:

  1. Bujal, Salina & Wak Dojer...sumber bacaan masa kecik2 heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada simpan lg ke bro? Klasik wak dojer tu

      Padam
    2. macamana cara nak dapatkan majalah bujal, salina n wak dojer? best tu...majalah paling glamor zaman kecik2...hehe...

      Padam
    3. kat kedai confirm memang takkan jumpa. kena rajin la cari dalam internet, terutama kat fb atau web buku terpakai. cuma harganya pun mahal la sikit...

      Padam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...