Sabtu, 13 Julai 2013

ANAK MAT LELA GILA – Ishak Haji Muhammad (Pak Sako)

Terima kasih hamba ucapkan buat Institut Terjemahan & Buku Malaysia kerana mencetak semula buku ini. Agak sukar untuk mencari dan membaca buku-buku sastera klasik hasil tulisan penulis lama Malaysia. Buku di Malaysia tidak seperti di Negara Arab. Tajuk yang dah lama terbitpun masih lagi boleh dicari di kedai buku. Tetapi di sini kalau anda dah berkenan dengan sesebuah buku, segeralah membelinya kerana dikhuatiri ia tidak akan anda temui lagi di pasaran. Satu ketika hamba singgah di sebuah blog kepunyaan seorang penulis novel, beliau mencatatkan bahawa syarikat penerbitan bertanyakan sekiranya beliau ingin membeli baki stok buku tulisan beliau. Sekiranya beliau tidak berminant maka syarikat penerbitan akan melupuskan novel tersebut. Tulisan beliau tersebut telah menjawab mengapa sebuah novel beliau yang hamba cari tidak pernah hamba jumpa di pasaran.

Membaca Anak Mat Lela Gila membuatkan imaginasi dan khayalan hamba terpaksa dibawa ke zaman lampau sekitar tahun 50an ke 60an sesuai dengan zaman penceritaan. Tidaklah boleh hamba membayangkan Cameron Highland dan Singapura yang disebut dalam novel ini sama seperti ianya hari ini. Walaupun menggunakan gaya bahasa lama, hamba dapat mengikutinya dengan baik tanpa rasa bosan. Bahkan hamba amat gembira apabila bertemu beberapa perkataan lama yang sudah amat jarang digunakan. Hamba bahkan tertarik dengan terjemahan perkataan ‘trem’ oleh Pak Sako kepada ‘kereta berjuran’ (Mungkin kerana trem mempunyai penyangkuk seperti joran yang menyambungkan badannya dengan wayar elektrik).

Mat Lela Gila yang namanya tercatat pada tajuk novel ini tidaklah panjang penceritaannya. Beberapa perlakuan gila oleh Mat Lela sebenarnya jika diteliti tidaklah boleh dianggap gila. Cuma pada masa itu perlakuan tersebut dianggap ganjil dan tidak dilakukan orang. Contohnya beliau suka membersihkan persekitaran masjid dan membuat blok-blok batu bata dari lumpur. Kerana masyarakat kampong ketika itu yang rata-ratanya berumah papan maka pembuatan batu bata dilihat sebagai sesuatu yang tidak penting. Namun hasrat Mat Lela ialah mahu melihat anak bangsanya boleh duduk di dalam rumah batu yang selesa sama seperti orang di bandar boleh dilihat sebagai satu wawasan yang baik. Mat Lela dalam gilanya itu juga seorang pengukir yang baik, pandai membuat taman, pondok istirehat dan bangku untuk duduk.

Anak Mat Lela bukan anaknya yang sebenar, namun adalah seorang bayi yang ditinggalkan oleh seseorang di dalam pondok yang dibinanya di dalam hutan. Bayi itu telah dibela oleh Mat Lela sehinggalah usianya 12 bulan apabila bayi tersebut diambil oleh sepasang suami isteri tanpa Mat Lela sedari. Budak yang diberi nama Bulat tersebut selepas itu bermulalah perjalanan hidupnya yang panjang dan penuh dengan penderitaan sehinggalah beliau telah dewasa dan berusaha mencari ibu bapanya yang sebenar.

Walaupun merupakan sebuah novel lama, namun jikalau diteliti terdapat beberapa isu masyarakat yang dipaparkan masih relevan dengan kehidupan hari ini. Kesemuanya disampaikan dengan penuh berhemah dengan ayat-ayat cukup baik. Walaupun Pak Sako juga dikenali sebagai pejuang politik kiri, namun hamba rasa novel ini tidak menunjukkan lansung pemikiran beliau ke arah itu. Novel ini merupakan satu kritikan halus buat masyarakat. Ia masih relevan untuk dibaca dan permasalahan tersebut entah bilakan sudahnya.




8 ulasan:

  1. tuan, silalah mencari buku perjalan hidup pak sako yang dikarangnya sendiri. tajuknya "Putera Gunung Tahan". Menarik dibaca. Saya telah baca lebih dari dua kali. buku tersebut ayah belikan tapi sudah hilang. nampaknya perlu cari gantinya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Buku tersebut telah lama saya beli namun masih belum berkesempatan membacanya.

      Padam
  2. assalam...cmne nk dapatkan buku anak mat lela gila dgn putera gunung tahan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Anda boleh melayari laman web Institut Buku Dan Terjemahan Negara untuk mendapatkan buku tersebut.

      Padam
  3. Assalamualaikum. Dalam buku ini ada disebut tentang air terjun Puteri Taman Sedia. Saya ingin tahu bilakah buku ini mula ditulis? Saya sendiri anak kelahiran Cameron Highlands dan di rezekikan ada memiliki sebuah Homestay di Kg. Taman Sedia,yabg air terjunnya disebut dalam buku ini tadi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Anak Mat lela Gila diterbitkan buat pertama kalinya sekitar tahun 1960.

      Padam
  4. Assalamualaikum. Dalam buku ini ada disebut tentang air terjun Puteri Taman Sedia. Saya ingin tahu bilakah buku ini mula ditulis? Saya sendiri anak kelahiran Cameron Highlands dan di rezekikan ada memiliki sebuah Homestay di Kg. Taman Sedia,yabg air terjunnya disebut dalam buku ini tadi.

    BalasPadam

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...