Isnin, 8 Julai 2013

RENTASAN - Sharifah Mazlina


Barangkali buku ini sukar untuk dilihat di mana-mana kedai buku lagi. Hamba memperolehi buku ini sewaktu penulis menyampaikan ceramah di INTAN Executive Talk pada bulan lalu. Sayangnya hamba tak sempat meminta tandatangan beliau apabila beliau beredar untuk ke jamuan minum. Walaupun beliau ada meminta pembeli untuk ke tempat beliau minum namun hamba rasa tak elok pula untuk mengganggu masa beliau menikmati makanan.

Buku ini memaparkan kisah hidup Dr Hajah Sharifah Mazlina sejak beliau kecil sehinggalah berjaya menjalani ekspedisi solo merentasi Kutub Selatan. Walau bagaimanapun kehidupan beliau dari kecil sehingga bekerja disentuh serba ringkas sahaja dan intipati buku ini lebih kepada usaha beliau untuk menawan Kutub Selatan, bermula dari impian, latihan, rintangan sehinggalah cabaran semasa menjalani ekspedisi tersebut.

Bukan semua orang boleh atau mampu melakukan apa yang telah beliau lakukan. Tambahan pula diri beliau hanyalah seorang wanita Asia bahkan dari negara yang lansung tidak pernah merasai kesejukan salji. Sudahlah begitu tempat yang beliau pergi itu pula hanya berapa kerat manusia sahaja yang telah berjaya menempuhnya. Sesungguhnya catatan beliau bermula dari persiapan sehingglah berakhirnya ekspedisi ini memberikan semangat kepada orang lain agar tidak mudah untuk menyerah kalah. Melalui buku ini dapatlah hamba fahami bahawa kesukaran yang beliau tempuhi bukan setakat di Kutub Selatan, bahkan untuk memulakannya di dalam negara sendiri sahaja sudah cukup untuk membuatkan sesiapa yang lemah semangat akan segera menyerah kalah.

Satu bab mengenai penganugerahan pingat kepada beliau oleh Almarhum Sultan Johor (pingat tersebut telahpun ditarik semula oleh anakanda baginda selepas menaiki takhta) turut menarik perhatian hamba. Tulis beliau, "Tetapi kini, saya rasa seperti dalam mimpi. Masyarakat bercakap dengan saya begitu hormat dan bersopan santun lebih dari kebiasaan. Kalau membuat panggilan telefon kepada saya, pastinya akan meminta maaf terlebih dahulu kalau-kalau panggilan tersebut mengganggu Datin Paduka. Bunyi percakapan juga amat lemah lembut ibarat tarian Makyong. Hairan ada, nak tergelak pun ada....."

Hamba cuba melihat catatan beliau tersebut dengan alam nyata atau lebih tepat lagi interaksi orang-orang di pejabat hamba dengan orang-orang bergelar ini. Benarlah kata beliau, bila kita berhadapan dengan golongan ini kadangkala gigi kita lebih lembut daripada lidah. Padahal dengan orang lain yang setara jawatannya dengan mereka ini tetapi tidak mempunyai gelaran boleh pula kita berbicara dengan cara yang biasa. Bukanlah maksud hamba kita perlu biadap dengan golongan ini, tetapi maaflah hamba rasa kadangkala kita seperti merendahkan darjat kita di hadapan mereka. Bukannya mereka berak bertahikan emas, busuknya perat seperti najis kita juga.

Bagi yang ingin melihat gambar-gambar beliau semasa menjalani ekspedisi buku ini mungkin tidak memberikan banyak kepuasan kepada anda. Anda perlu membeli buku lain yang telah dihasilkan dalam format coffee table. Dan pastinya harganya juga bukan lagi puluh ringgit bahkan telah menjadi tiga angka. Hamba sendiri tidak dapat membelinya ketika itu kerana kekurangan vitamin 'W'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...