Selasa, 13 Ogos 2013

PEMANDU VAN JENAZAH


Sekali lagi Produksi Mastika menampilkan sebuah lagi buku dalam siri Kisah Aneh Dan Iktibarnya. Sempat juga hamba menghabiskan bacaan sebelum menjelang raya minggu lalu. Kisah-kisah dalam buku ini adalah merupakan pengalaman para pemandu van jenazah sama ada ketika mereka membawa jenazah pulang ataupun ketika menguruskannya. Cuma kisah yang terakhir buku ini hamba yakin benar bukan daripada pemandu van jenazah tetapi merupakan pengalaman seorang pengurus jenazah wanita. Tidaklah hamba pasti kenapa ia turut dimasukkan dalam kompilasi ini.

Terdapat sejumlah 30 kisah yang dipaparkan. Walaupun bila disebutkan pemandu van jenazah, pastilah ceritanya tidak boleh lari daripada kisah perjalanan membawa mayat itu sendiri. Namun walaupun memaparkan pengalaman daripada profesyen yang sama, gaya penulisan setiap cerita tidaklah sama sahaja pesennya sekaligus tidak membuat pembaca berasa bosan.

Walau apapun cerita yang dipaparkan, hamba berkeyakinan tujuan penerbitan buku ini adalah untuk mengingatkan kita bahawa kematian itu ada di mana sahaja. Kesempatan kita hidup inilah yang perlu digunakan untuk menentukan tempat tingal akhir kita di sana nanti. Selain itu, walaupun profesyen ini nampak tidak ada unsur-unsur glamour, tetapi percayalah bukan semua orang mampu atau mahu melakukannya. Bahkan pihak herajaan sendiri mungkin sukar untuk mencari mereka yang mahu bertugas di bilik mayat. Sekurang-kurangnya kita perlu berterima kasih kepada golongan ini yang secara tidak lansung membantu para waris di dalam pengurusan jenazah. Oleh itu tidak perlulah rasa kedekut untuk menghulurkan sedikit saguhati kepada golongan ini.

Cerita yang dipaparkan sesungguhnya memberikan rasa keinsafan. Hayatilah beberapa kisah seperti banduan yang digantung namun jenazahnya cukup elok keadaannya serta paparan keadaan waris yang tidak menghormati jenazah, jijik dengan mayat ibu sendiri dan sebagainya.

Ya Allah matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah (kesudahan yang baik), dan janganlah dimatikan kami dalam keadaan suul khatimah (kesudahan yang buruk).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...