Jumaat, 18 Oktober 2013

GENERASI YANG HILANG - Abdul Rahim Awang




Novel ini merupakan sebuah penerbitan lama pada akhir tahun 80an. Nama Abdul Rahim Awang, penulisnya boleh dikatakan antara novelis popular pada era tersebut. Konspirasi merupakan antara novelnya yang paling mendapat sambutan. Tidaklah hamba tahu kini apakah perkembangan mutakhir penulis tersebut. Hamba pun tidak lagi mengikuti perkembangan atau buku tulisannya yang terbaru.

Novel ini sendiri telah pernah hamba baca pada awal 90an. Namun melihatnya dijual dengan hanya RM2 semasa Pesta Buku Antarabangsa KL yang lalu, hamba tidak ragu-ragu untuk membelinya. Lagipun ianya masih lagi elok berbalut plastik walaupun dicetak pada tahun 1992. Maknanya telah 21 tahun buku ini tidak laku sehinggalah hamba membelinya.

Generasi Yang Hilang adalah kisah kehancuran sebuah keluarga. En Murad, seorang ketua keluarga telah menggunakan wang syarikatnya bagi membiayai majlis pekahwinan anak gadis beliau. Walaupun berniat untuk menggantikan wang tersebut apabila mendapat bonus tahunan nanti, hasratnya tidak kesampaian apabila dimaklumkan bahawa syarikatnya akan dinilai juruaudit. Buntu untuk mendapatkan wang gantian, beliau cuba mereka suasana rompakan di pejabatnya. Ini termasuklah dengan memukul kepala pengawal keselamatan yang sedang tidur dengan cota. Walaupun berniat hanya untuk mencederakan pengawal itu sahaja, pukulan tersebut akhirnya membawa maut kepada pengawal tersebut.

Akhirnya Murad ditahan polis selepas siasatan rapi dijalankan. Perbicaraan di mahkamah mendapati beliau bersalah melakukan pembunuhan tanpa niat dijatuhi hukuman penjara selama 17 tahun. Bermulalah dari sinilah tragedi melanda seluruh anggota keluarga Murad. Anak beliau, Nordin yang berada di sebuah sekolah berasrama penuh mula rasa tertekan atas kesalahan bapanya. Beliau juga merasakan bahawa keluarganya yang lain juga tidak mengambil berat ke atas dirinya. Nordin mula terlibat dengan ganja yang diperkenalkan oleh tukang kebun sekolah beliau. Keperluan terhadap wang untuk membeli ganja memaksa Nordin mencuri wang dan barang-barang dari rakan serta sekolahnya. Akhirnya beliau dapat ditangkap dan dibuang sekolah.

Pengelibatan Nordin dalam dadah inilah punca kerosakan sebenarnya keluarga Murad. Penulis cuba menyampaikan mesej  bahawa dadah membawa kerosakan besar kepada institusi keluarga. Satu demi satu masalah menimpa dan akhirnya kebanyakan anggota keluarga Murad kepada Tuhan. Nordin pula semakin hilang arah.

Di akhir cerita diperlihatkan kisah hubungan baik yang berkekalan antara Murad (yang telah dibebaskan) dengan Husin, bekas pemandu Murad dan sahabat baiknya. Walaupun tidak lagi menjadi pemandu Murad namun Husin atas sifat setianya sebagai seorang sahabat tetap berlapang dada ketika Murad meminta ditumpangkan keretanya ke pekan. Bahkan watak Husin ini banyak membantu keluarga Murad sewaktu ketiadaan beliau.

Novel ini ditulis dengan bahasa yang mudah tanpa perlu kepada tulisan yang berbunga-bunga. Ia bukanlah novel jiwang yang mungkin digemari remaja (juga segelintir orang tua). Namun penyampaiannya amat baik dan boleh difahami tanpa memaksa otak untuk berfikir. Novel Generasi Yang Hilang memperlihatkan latar masa ketika itu di mana dadah merupakan isu yang amat besar. Kulit novel ini juga memperlihatkan seorang gadis dengan fesyen era tersebut. Hamba sendiri tidak pasti gadis di kulit novel ini merujuk kepada siapa kerana penumpuan novel ini lebih banyak kepada watak Nordin sendiri yang menjadi punca sebenar kerosakan keluarga Murad, walaupun pada mulanya Murad sendiri dilihat sebagai insan yang mendatangkan aib kepada keluarganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...