Mungkin sukar untuk hamba mencari kawasan ini sekiranya tidak menggunakan GPS. Ini kerana kawasan yang menempatkan rumah P.Ramlee ini bukanlah merupakan satu kawasan jalan utama. Letaknya juga agak tersorok dan dikelilingi bangunan-bangunan lama dan usang.


Pihak Arkib Negara amat berjasa apabila memulihara semula rumah ini. Hamba lebih memandang rumah ini sebagai nilai tradisi bangsa hamba sendiri berbanding hanya sebagai tempat kelahiran seorang seniman agung. Andainya rumah ini cuma tempat kelahiran orang biasa sahaja nescaya bangunan ini akan terbiar uzur sendiri ataupun telah lama menyembah bumi.
Barangkali tempat ini antara kawasan yang pelancong boleh mengunjunginya secara percuma. Kalau kawasan lawatan yang lain, kebarangkalian untuk anda mengeruk dompet adalah tinggi. Kawasan dalaman rumah ini menyajikan beberapa gambar serta tulisan berkaitan P. Ramlee. Terdapat satu lagi pameran mengenai beliau yang diadakan di bangunan bersebelahan rumah ini. Tempat sebegini adalah sesuai buat peminat sejarah seperti hamba. Ia adalah sesuatu yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Moga lebih banyak lagi kawasan bersejarah yang dapat terus dipulihara dan dijaga dengan sewajarnya (agar tidak menjadi seperti sebuah candi di Lembah Bujang baru-baru ini yang dengan mudah sahaja dijahanamkan oleh jengkaut).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan