Khamis, 2 Januari 2014

HIROSHIMA DUKA SEBUAH PERANG - Salleh De Ran



Semasa tentera Amerika mengebom bandar Hiroshima pada 6 Ogos 1945, sememangnya ada rakyat Malaysia yang menjadi saksi serta mangsa keganasan tersebut. Hamba pada awalnya membayangkan bahawa buku ini cuba menyingkap kembali ataupun menulis secara terperinci tentang pengalaman mereka. Walau bagaimanapun nama-nama rakyat Malaya yang tercatat sebagai watak dalam novel ini bukanlah nama mereka justeru saya tidak pasti sama ada cerita yang dipaparkan turut mengambil inspirasi daripada kisah benar rakyat Malaya tersebut.

Tuan Haji Abdul Razak merupakan salah seorang rakyat Malaya yang terlibat dan merupakan satu-satunya warga kita yang terselamat. Hamba pernah mengikuti satu sesi ceramah beliau sebelum mengikuti satu kursus di negara Jepun dalam tahun 2003. Walaupun ketika itu beliau telah lanjut usianya namun ingatannya masih kuat dan masih boleh berbahasa Jepun dengan baik. Menurut beliau, walaupun terselamat beliau terpaksa menanggung derita akibat kesan radioaktif selepas pengeboman tersebut. Beliau terpaksa tinggal di hospital dalam satu tempoh yang lama. Beliau ada menceritakan kesengsaraan beliau sewaktu menerima rawatan, malangnya hamba telah lupa akan pengkisahan tersebut.

Berbanding dengan kisah sebenar, novel ini memaparkan bahawa daripada 4 rakyat Malaya yang sedang belajar, 2 daripadanya terselamat bahkan tidak terkesan lansung dengan bahan radioaktif. Memandangkan novel ini hanyalah sebuah fiksyen yang berdasarkan sejarah benar, hamba tidak begitu 'laju' membaca novel ini. Bahkan hamba menyedari bahawa gaya penulisannya adalah lebih sesuai buat golongan awal remaja ataupun kanak-kanak.

Teras utama buku ini pastilah peristiwa pengeboman bandar Hiroshima itu sendiri. Kisah pengeboman tersebut kurang berjaya dilukis oleh penulis dengan baik kerana hamba tidak begitu merasai kegemparan, kesedihan, penderitaan dan azab yang melanda. Hamba yakin sekiranya penulis menumpukan dengan baik pada bab ini para pembaca akan lebih menjiwai serta merasai dan dapat memvisualkan dengan baik setiap detik yang berlaku.

Apapun hamba memuji usaha penulis untuk menghasilkan karya berbentuk sejarah sebegini kerana sekurang-kurangnya ia dapat memberikan pengetahuan mengenai sejarah khususnya kepada generasi muda yang tidak pernah melalui detik-detik kesusahan dan penderitaan masa lampau bangsa kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...