Selasa, 18 Februari 2014

SEBUAH ALAT BERNAMA WALKMAN




Apabila disebut perkataan walkman, generasi hari ini pastinya terbayangkan satu alat pemain muzik digital yang boleh memuatkan beribu buah lagu dalam format mp3. Bukan sahaja lagu, bagi walkman yang mempunyai skrin, ia boleh juga menjadi alat pemain video serta menayangkan gambar. ia juga sekaligus menjadi penyimpan fail-fail digital. Namun bagi orang seperti hamba, kadang-kadang masih lagi terbayang alat pemain muzik yang menggunakan kaset, kadang-kadang mempunyai fungsi radio dan ada juga yang mempunyai pembesar suara terbina dalam.

Badannya agak besar tatkala kemunculannya. Hanya satu sahaja kaset yang boleh dimainkan setiap kali menggunakannya. Sekiranya ingin mendengar lagu lain maka terpaksalah ditukar kepada kaset yang baru. Berbeza dengan pemain mp3 sekarang yang tidak perlu lagi menggunakan sebarang kaset, bahkan beratus album lagu boleh dimuatkan mengikut kapasiti kad memori masing-masing.

Walaupun nama walkman adalah nama ekslusif bagi Sony, namun bagi orang kita ketika itu istilah walkman turut juga digunakan bagi pemain kaset lain-lain jenama. Orang ada walkman ketika berjalan akan menyangkutkannya di bahagian tali pinggang. Ada juga yang membawanya dengan beg. Bagi yang mempunyai walkman dengan saiz yang besar mungkin terasa segan juga kerana dengan saiz itu orang boleh tahu bahawa ia adalah jenis yang berharga murah. Walkman semakin lama semakin mengecil dan menipis sehingga hampir menyamai saiz kaset itu sendiri. Pada mulanya saiz alat pendengar (earphone/headphone) juga adalah besar sehinggalah muncul yang kecil. Mereka yang membeli alat pemain yang standard akan mendapat alat pendengar yang besar ini, maka terpaksalah dikeluarkan sedikit modal lagi jika ingin menggunakan yang kecil. Tapi hamba kelakar juga hari ini apabila melihat alat pemain mp3 yang sudah semakin kecil namun penggunanya pula suka menggunakan alat mendengar yang besar sama seperti saiz yang digunakan pilot kapalterbang!!

Walkman adalah benda mewah semasa zaman kanak-kanak dan remaja hamba. Hamba sendiri tidak tergamak untuk meminta ayah membelikannya kerana tahu ia mahal. Apabila kawan-kawan di sekolah sudi memberikan hamba pinjam maka merasalah hamba menggunakannya. Tetapi tidaklah selalu hamba merasa untuk meminjamnya memandangkan walkman menggunakan bateri biasa bukannya yang boleh dicas seperti hari ini. Tuan punyapun tentunya ambilkira modal untuk membeli bateri, maklumlah masing-masing masih bersekolah.

Lebih kurang beginilah rupanya walkman
pertama hamba
Hamba hanya memperolehi walkman hamba yang pertama apabila berjaya dalam peperiksaan SPM. Walkaman berjenama Sharp itu saiznya agak besar dan boleh memainkan keset serta radio. Memanglah gembira dan hamba anggap ia sebagai sesuatu yang mahal. Dapatlah hamba gunakan ia untuk mendengar kaset-kaset yang ada di dalam simpanan.

Apabila hamba mengikuti kursus bahasa Arab di KUSZA sebelum ke luar negara, walkman itu hamba bawa bersama. Rakan-rakan yang lain turut mempunyai walkman mereka sendiri bahkan lebih canggih lagi. Ketika ini hamba merasakan pentingnya untuk mempunyai walkman yang mempunyai ciri-ciri rakaman bagi membolehkan hamba merakam pengajaran guru di kuliah. Tambahan pula kuliah dijalankan dalam bahasa Arab dan hamba tidak mampu untuk mengikutinya di kelas tanpa mendengar kembali. Namun walkman berkenaan hanya dapat hamba beli sebelum hamba bertolak ke luar negara.

Di luar negara sememangnya walkman berjenama Panasonic itu amat besar gunanya. Tambahan pula zaman hamba belajar dahulu teknologi internet masih belum berkembang, maka walkman itu adalah peneman di kala kesunyian. Malangnya ia telah dicuri apabila rumah hamba diceroboh masuk pada siang hari. Turut hilang bersama ialah sehelai jeket kulit yang hamba gemari.

Apabila muncul cakera padat, kaset mula ditinggalkan begitulah juga dengan walkman. Muncul pula discman yang bersaiz besar, seolah menyangkut sebuah tayar di pinggang seluar. dan begitulah seterusnya sehingga apa yang ada pada hari ini. Setelah berbelas tahun, hamba membeli sebuah walkman, seperti gambar di atas, untuk digunakan ketika berjogging. Entah bagaimana pula rupanya walkaman di tahun-tahun yang mendatang. Mungkin orang akan tanam cip di tengkuk pula tanpa perlu bersusah payah membawa sebarang gajet untuk mendengar muzik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...