Hamba bukanlah seorang yang pandai bermain bolasepak. Semasa
zaman persekolahan dulupun itu bukanlah permainan yang kerap hamba mainkan.
Kali terakhir hamba bermain permainan berkenaan adalah lebih kurang 17 ke 18
tahun yang lalu. Hamba juga tidak mengikuti perkembangan bolasepak dunia dan
tidak begitu mengenali para pemainnya.
Apabila rakan-rakan sekolah dahulu menganjurkan satu
perlawanan futsal dengan junior kami, hamba terfikir adakah hamba mampu bermain, juga berlari mengejar bola. Sudahlah tidak pandai bermain, kebarangkalian untuk
semput juga tinggi kerana stamina yang tidak seberapa. Namun keinginan untuk
bersama rakan-rakan lama menjadi tarikan kuat untuk menyertai mereka walaupun
acaranya dibuat agak jauh dari kediaman hamba.
Dari Meru hamba bertolak ke Hotel De Palma, Shah Alam untuk
berkumpul bersama kumpulan yang akan bertolak bersama-sama ke Kajang. Sewaktu
tiba hamba lihat kawasan meletak kereta telah penuh kerana satu majlis
perkahwinan sedang berlansung di sana. Melalui seorang pengawal keselamatan
hamba bertanya sekiranya ada petak yang kosong. Menyangkakan hamba salah
seorang tetamu, beliau membenarkan hamba meletakkan kereta betul-betul di
hadapan dewan majlis berkenaan. Hamba menunggu seketika sehingga pengawal
tersebut berada agak jauh sedikit daripada kereta hamba untuk mengelakkan
beliau melihat hamba dalam keadaan berpakaian sukan sekaligus membongkar
rahsia hamba bukan salah seorang tetamu majlis.
Mujur jugalah hamba tidak membawa kenderaan hamba ke sana
kerana hamba lihat kenderaan sahabat-sahabat hamba itu hebat dan besar-besar
belaka. Bangga juga hamba dengan kejayaan mereka dalam dunia pekerjaan. Ya lah
zaman sekolah dahulu tidak sangkapun mereka akan berjaya sedemikian. Tetapi hari
ini ada yang telah berjaya membina empayar perniagaan mereka sendiri.
Sahabat penganjur menyewa lapangan futsal bersaiz
antarabangsa yang agak besar daripada biasa. Masa untuk digunakan adalah dua
jam. Junior kami hanyalah muda setahun sahaja. Antara yang turut serta termasuklah Yang
Di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Terus
terang hamba kagum kerana dalam kesibukan beliau bertugas, beliau masih sempat
untuk beriadhah bersama rakan-rakannya. Ini mengingatkan hamba kepada beberapa
lagi sahabat hamba yang terkenal di negara ini tetapi belum lagi berkesempatan
untuk bersama dengan kami dalam acara sedemikian. Tak apa hamba fahami
komitmen mereka terhadap perkara yang mereka ceburi dan hamba berharap agar
mereka ini akan dapat bersama kami di lain aktiviti. Stamina Dr. Asyraf juga
amat hebat di usia 38 tahun apabila masih dapat berlari dengan pantas dan
cergas sepanjang permainan.Beliau bahkan menjadi penyerang pasukannya.
Seperti dijangka hamba tidak bermain lama. Cukuplah buat
kali pertama ini. Lagipun seumur hidup hamba inilah kali pertama hamba bermain
futsal. Bila dah keluar gelanggang tu memang hamba tak masuk bermain lagi.
Tahniah buat sahabat yang mempunyai tenaga dan kecergasan untuk bermain selama
dua jam tanpa henti.
Apa yang boleh hamba katakan daripada permainan ini ialah
ia memang satu perlawanan persahabatan yang sebenar-benarnya. Tiada pergaduhan
atau kecil hati apabila berlaku kesilapan. Sahabat yang tidak pandai bermain,
tidak cekap melorongkan bola tidak akan dipersalah atau dimarah. Kalau zaman bersekolah
dahulu hamba ingat kalau berlaku sesuatu insiden di atas padang kadang-kadang
boleh bergaduh juga. Malam ini memang semuanya ceria dan ada sahaja jenaka yang
ditimbulkan. Terima kasih kepada teknologi hari ini kerana dengannya dapat kami
manfaatkan untuk menyambung persahabatan.
Kredit buat saudara Zarin untuk semua gambar di dalam entry ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan