Ahad, 20 April 2014

PUTERA GUNUNG TAHAN - Pak Sako


"Saya menulis Putera Gunung Tahan khusus sebagai alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah."


Ishak Haji Muhammad
dalam rancangan 'Komentar', TV Malaysia
pada 27 Jun 1973


Kata pepatah, mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Kerana itu ramai para nasionalis sebelum kemerdekaan yang menggunakan medium penulisan sebagai alat menentang penjajah. Ternyata tulisan-tulisan ini ketika itu menyemarakkan lagi semangat rakyat tanah air untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajahan British. Akhbar Utusan Melayu contohnya adalah merupakan wadah terpenting pejuang kemerdekaan. Tulisan-tulisan yang disiarkan menaikkan semangat orang Melayu dan mempunyai pengaruh yang besar di dalam masyarakat.

Suka hamba menukilkan kembali kata-kata Pak Sako di dalam prakata buku ini di bawah tajuk 'Ingatan Pengarangnya'.

BAHWA inilah buku yang pertama daripada buah kalam saya. Maka telah dikarangkan dia bagi bacaan orang yang telah tahu berfikir dan bukanlah dimaksudkan bagi bacaan budak-budak sekolah.
Buku ini bukanlah suatu cerita asyik-mahsyuk yang biasa tuan-tuan lihat di kedai-kedai buku ataupun yang telah tuan baca, kerana isinya penuh dengan sindiran-sindiran dan kias ibarat yang dalam.
Seorang yang telah membaca buku ini sekali lalu tentulah sedar akan apa dia kewajipan-kewajipannya terhadap kepada tanahair, bangsa dan adat resamnya dan daripada hari itu mudah-mudahan tertariklah hatinya kepada mempertahankan ugama, adat istiadat dan tanahairnya supaya jangan terbinasa, tetapi sedap atau tidaknya isi sesebuah buku itu terpulanglah kepada pembacanya.
(Temerloh, Pahang, pada 14 Februari 1937 yaani 20 tahun sebelum Persekutuan Negeri-Negeri Melayu merdeka).

Buku ini menggunakan watak dua orang putih yang ditugaskan untuk menyelidiki puncak Gunung Tahan sekiranya sesuai untuk dijadikan tempat berehat bagi kaum mereka sepertimana yang telah mereka lakukan pada beberapa kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highland, Bukit Fraser dan Bukit Larut. Dalam ekspedisi mereka itu keduanya telah terpisah apabila salah seorang telah ditangkap oleh orang asli tatkala berjalan bersendirian, manakala seorang lagi membawa haluan mencari rakannya yang hilang itu. 

Lelaki yang ditahan oleh orang asli tersebut bernama Robert manakala seorang lagi bernama William. Melalui kedua watak ini Pak Sako cuba menunjukkan keperibadian sebenar orang putih dan sikap mereka hendak memerintah Tanah Melayu. Ia disampaikan secara sindiran serta melalui perlakuan dan interaksi watak kedua orang putih ini bersama watak-watak lain.

Pak Sako cuba memperlihatkan sifat tamak orang putih melalui watak Robert yang cuba memiliki belulang harimau putih yang disimpan oleh seorang perempuan Melayu yang telah tinggal lama bersama masyarakat orang asli tersebut. Bahkan beliau berhasrat hendak membawanya pulang ke England, menunjukkan kepada orang ramai bahawa beliau sendirilah yang menembak mati harimau berkenaan. Lebih dari itu beliau berhasrat untuk menjualkannya bagi mendapat keuntungan beribu-ribu pound. Tulis Pak Sako; 'Tiap-tiap orang kulit putih yang datang ke Malaya ini ialah dengan tujuan hendak mencari wang dan keuntungan dan bukannya semata-mata hendak memimpin atau menaungkan bumiputera negeri ini. Seorang yang kurang ilmunya daripadanya pun boleh mendapat dengan senangnya suatu jawatan yang bergaji beratus-ratus ringgit bahkan beribu-ribu ringgit sebulan'. Robert yang merendah-rendahkan ilmu masyarakat asli akhirnya telah dikenakan cenuai sehingga gila bayang kepada seorang perempuan asli. Namun untuk memiliki gadis tersebut beliau perlu melalui ujian yang akhirnya membawa maut kepada dirinya sendiri.

Manakala William di dalam pencarian sahabatnya telah berjumpa seorang lelaki bernama Kursina yang akhirnya telah membawa William ke puncak Gunung Tahan mengadap Ratu Bongsu yang merupakan pemerintah di tempat itu. Dalam pengkisahan William dan Ratu Bongsu ini Pak Sako memasukkan beberapa elemen ajaib seperti teropong terus mata yang boleh melihat objek-objek yang sangat jauh walaupun di negara lain serta burung pesuruh jaya yang boleh menghantar surat ke kawasan yang begitu jauh.(hamba teringat kisah harry Potter yang menggunakan khidmat burung hantu bagi menghantar pesanan).

William yang diberikan peluang untuk mengutus surat kepada isteri beliau melalui burung pesuruh jaya telah berlaku khianat apabila menghantar surat kepada kerajaan Inggeris memaklumkan mengenai letak duduk Gunung Tahan bagi memudahkan orang putih merampas tempat tersebut. Walau bagaimanapun serangan dengan kapal terbang itu akhirnya menemui kegagalan.

Pak Sako bukan sahaja membuat sindiran terhadap orang putih bahkan terhadap sikap bangsanya sendiri. Salah satu contohnya ialah apabila seorang perempuan yang sedang sarat mengandung ditinggalkan sendirian di dalam hutan sewaktu mereka semua sedang lari daripada musuh. Ia seolah menunjukkan segelintir orang kita ini tidak sanggup hendak susah bersama.

Novel tulisan Pak sako ini tidaklah begitu tebal dan tidak puas hamba membacanya. Hamba percaya andainya ketika Pak Sako mengarang novel ini dan mempunyai kemudahan komputer yang lengkap pastinya novel ini akan menjadi lebih tebal dengan garapan yang lebih menarik. Ini kerana plotnya kadang-kadang dirasakan longgar dan banyak lagi konflik yang boleh diwujud serta dikembangkan. Dan hamba percaya novel ini andainya difilemkan pastinya amat menarik sekali.

Novel yang hamba baca adalah merupakan naskhah cetakan Utusan Publications pada tahun 2000. Tak silap hamba ada edisi baru yang dicetak oleh Institut Terjemahan Dan Buku Malaysia. Buku klasik ini adalah warisan berharga sastera tanah air. Ia adalah lambang perjuangan nasionalis dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan. Anda wajar memilikinya!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...