Sabtu, 24 Mei 2014

RICH DAD'S RETIRE YOUNG RETIRE RICH - Robert T Kiyosaki


Tak tahu pula kenapa hamba memilih untuk membeli buku ini. Rasanya ini kali pertama hamba membeli buku dari jenis motivasi untuk membina kekayaan ini. Mungkin juga keinginan semulajadi untuk bersara awal daripada perkhidmatan membuatkan hamba mencapainya dari rak buku.

Buku seperti ini bukanlah yang pertama daripada Robert T.Kiyosaki. Ia adalah diantara beberapa siri di bawah Rich Dad. Dalam buku ini penulis banyak memperikan kisahnya yang berjaya untuk bersara awal dengan pendapatan yang banyak. Walaupun dikatakan bersara, namun hamba melihat beliau sebenarnya masih bekerja cuma dalam bidang yang lain dan dengan masa yang lebih lapang dan terancang.

Hamba lebih tertarik dengan beberapa pemikiran yang perlu ada untuk menjadikan seseorang itu kaya kerana pemikiran tersebut juga ada diajarkan dalam kursus-kursus pengurusan yang pernah hamba hadiri. Antaranya ialah mengubah minda atau realiti sekarang kepada realiti yang lain. Ia adalah sama seperti kata-kata yang kita jumpa dalam motovasi pengurusan - you are what you think. Kiyosaki mengatakan orang miskin kekal miskin kerana mereka kekal berada dalam realiti mereka. Untuk menjadi kaya mereka perlu mengubah realiti tersebut. Maksudnya orang miskin sentiasa merasakan kemampuan hidup mereka hanya setakat itu sahajalah. Setiap kali melihat barangan atau hartanah yang mahal mereka akan berkata bahawa saya tidak mampu untuk memilikinya. Sedangkan realiti orang kaya walaupun mereka tidak cukup wang mereka akan berkata saya akan memiliki hartanah tersebut. Jadi dalam pengurusan jikalau kita merasakan kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu yang berata maka kita akan kekal di situ sahajalah. Sedangkan jikalau kita melakukan anjakan pemikiran maka kuasa minda tersebut akan mempengaruhi kita untuk berjaya. Inilah yang dikatakan oleh Kiyosaki sebagai leverage minda yang mejadi tunjang yang utama.

Untuk mencapai hasrat tersebut Kiyosaki percaya kita perlu meletakkan target masa. Jadi dengan adanya tempoh masa tersebut manusia akan berusaha untuk mencapai apa yang dihasratkan dalam tempoh masa tersebut. Keberhasilan mencapai impian dalam tempoh masa tersebut adalah satu kejayaan. Bila ada tempoh masa manusia akan membuat perancangan dengan teliti mengikut masa yang telah dirancang. Maka segala kerja akan lebih teratur dan dilaksanakan mengikut tempoh masa yang diperuntukkan. Dalam hal ini Kiyosaki telah menetapkan 10 tahun untuk mencapai impiannya.

Bagi Kiyosaki kita tidak boleh membina kekayaan sekiranya kita bekerja sepenuh masa. Orang kaya dapat membina kekayaannya apabila mereka tidak bekerja dan mempunyai masa untuk berfikir bagaimana untuk meningkatkan kekayaannya. Kerja sepenuh masa membuatkan seseorang terpaksa menumpukan pemikiran terhadap kerjanya dan mempunyai sedikit masa untuk perkara yang lain. Hal ini dipraktikkan oleh Kiyosaki apabila beliau telah mempunyai banyak masa yang terluang. Ketika itu beliau melihat lebih banyak peluang untuk menambah kekayaan berbanding dengan semasa beliau sibuk bekerja.

Apapun yang ditulis oleh Kiyosaki, ia tidak lebih daripada sekadar satu panduan. Pokok pangkalnya adalah kita sendiri. Kiyosaki menulis daripada pengalamannya dan oarang lain mungkin berjaya dengan cara yang lain. Namun hamba cukup bersetuju dengan leverage minda seperti yang dinyatakan tadi. Minda kita adalah satu kuasa yang boleh mengubah sesuatu yang kita senditi tidak sangka. Minda yang hebat juga boleh mempengaruhi orang lain. Kerana itu hamba merasakan sudah tiba masanya hamba mengubah minda hamba sekarang. Kata Rich Dad, mentor Kiyosaki, Kejayaan kita akan datang bermula pada hari ini bukannya hari esok!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...