Ahad, 13 Julai 2014

TANGISAN BANGSAKU - Arifin Ngah



Pengalaman membaca tulisan daripada seorang yang benar-benar merupakan penggiat sastera dengan seorang penulis yang muncul entah dari mana memang berbeza. Tulisan seorang sasterawan adalah begitu teratur bahasanya. Pemilihan perkataan dibuat dengan teliti dan berada pada tempatnya. Tiada perkataan slanga mahupun bahasa kutu jalanan yang digunakan. Begitulah yang dirasakan apabila membaca novel ini. Tentunya ramai pembaca yang tidak pernah mengenali buku ini mahupun penulisnya. Maklumlah buku ini bukan kategori jiwang karat atau cintan hingus meleleh. Ia adalah sebuah kisah berdasarkan sejarah karangan seorang penulis hebat yang mencintai bangsanya. Novel ini juga merupakan pemenang Anugerah Sastera Darul Iman IV.

Novel ini berkisar mengenai perjuangan seorang ulama' Melayu di Terengganu bernama Tuan Guru Abdul Rahman Limbong bersama penduduk Alor Limbat yang menentang penjajahan Inggeris di Terengganu. Semasa sekolah rendah hamba ada belajar mengenai Abdul Rahman Limbong. Namun sangat sedikit fakta yang diberikan. Apa yang hamba masih ingat lagi ialah akibat penentangan tersebut beliau telah dibuang negeri ke Mekah.

Kampung-kampung di Terengganu, khususnya di Alor Limbat, sama sahaja dengan lain-lain kampung di serata Tanah Melayu. Penduduknya kebanyakannya mengusahakan pertanian dan penternakan. Tanah-tanah dibuka dengan secara bersendirian atau bergotong royong. Segala hasil mahsul bumi digunakan sebaiknya sama ada untuk pembangunan rumah dan masjid atau pencarian hasil untuk dijual.

Cara hidup sebegitu yang menjadi amalan sejak zaman nenek moyang sejak sekian lama tergugat apabila penjajah Inggeris mahu mempekenalkan cukai tanah serta larangan untuk membuka tanah tanpa keizinan kerajaan. Akibatnya rakyat bangun menentang Inggeris. Tuan Guru Abdul Rahman Limbong yang terkenal dengan ketokohannya telah menjadi tempat rakyat untuk bersandar kepada kepemimpinannya.

Namun kita tahu melalui bacaan buku-buku sejarah betapa semua pejuang kemerdekaan negara tidak senang hidup mereka. Perjuangan mereka mendapat tentangan yang begitu hebat sama ada oleh penjajah atau oleh orang tempatan sendiri. Perjuangan mereka ini akhirnya telah dipatahkan oleh Inggeris. Tuan guru ditangkap, dibicarakan di Istana Maziah dan dihukum buang negeri. Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah.

Membaca kisah-kisah pejuang lampau hamba cuba membandingkannya dengan kehidupan kita hari ini. Apabila pejuang dahulu bangun menentang, mereka dianggap penderhaka, dibenci penjajah, para pembesar negeri serta segelintir anak bangsa yang lupa diri. Namun setelah mereka pergi dan zaman beredar, perjuangan mereka disedari dan diberi penghargaan. Cuma semua itu sudah agak terlambat. Begitu juga pada hari ini ada segolongan yang cuba memperjuangkan sesuatu. Mereka juga dianggap sebagai penderhaka kadang kala. Mereka juga dibenci segelintir manusia. Apakah suatu hari nanti perjuangan mereka ini akan dikenang semula.

Sejarah itu bagaikan roda. Ia akan berpusing semula ke tempat asalnya!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...