Sabtu, 4 Oktober 2014

DUNIA KEDUA - Mishar


Pertamanya hamba kena maklumkan pada kawan-kawan hamba bahawa ini bukan novel tulisan hamba. Hanya nama penulisnya sahaja yang dekat dengan nama hamba, cuma berbeza pada huruf 'S' sahaja. Lagipun nama ini bukan 'original' tetapi kependekan daripada Mior Shahriman Mior Hassan seorang penulis otai yang karyanya banyak tersiar melalui penerbitan oleh Creative Enterprise, terutamanya majalah Gila-gila.

Hamba tidak tahu sama ada hamba menyukai novel ini atau tidak. Pada permulaan hingga ke petengahan hamba mengikutinya dengan baik sekali. tetapi semakin sampai ke penghujung entah mengapa hamba semakin menyampah dengan ceritanya.

Kisah berlegar pada seorang gadis bernama Syuhada. Suami yang baru sahaja menikahinya pulang ke Kuala Lumpur untuk mengambil baju persandingan. Walau bagaimanapun semasa hari persandingan batang tubuh suaminya tak kunjung tiba walaupun jam telah menjangkau 2 petang. Akhirnya kelibat beliau muncul seorang diri berjalan kaki masuk ke kawasan rumah sambil menjinjing beg. Tidak kelihatan sebarang kenderaan yang membawa beliau.

Tamat majlis pada petang berkenaan, Ikram, suami Syuhada berkeras ingin membawanya berbulan madu pada petang itu juga sekaligus mengguris perasaan kedua orang tua mereka. Kedua mereka akhirnya bertolak menaiki sebuah teksi. Ketika inilah pembaca seolah telah di bawa ke alam lain dan bukan lagi dunia realiti. Sementara itu keadaan dirumah pengantin gempar apabila mendapati gambar perkahwinan yang sudah siap dicuci (maaf, ini novel 90an, kamera digital masih belum lahir ke dunia lagi) hanya kelihatan pengantin perempuan sahaja di dalamnya tanpa sebarang kelibat pengantin lelaki. Tambah mengejutkan apabila didapati bahawa pengantin lelaki telahpun maut dalam kemalangan sewaktu pulang ke Kuala Lumpur.

Jadia siapakah lelaki yang bersanding dengan Syuhada. Inilah yang terasa sekali kartunnya apabila lelaki berkenaan dapat dilihat oleh orang lain, siap boleh bersanding lagi (mungkin juga ada adegan makan nasi minyak bersama, kenyang hatu itu). Perjalanan dengan teksi, seperti yang disebutkan tadi, telahpun berada di alam lain apabila Syuhada sendiri merasa asing dengan tempat-tempat yang dibawa oleh Ikram. Selain itu mereka yang dikenali di alam lagi satu ini begitu berbeza sekali karakter mereka seperti yang dikenali. Jika di dunia realiti Syuhada mempunyai seorang kakak yang terencat akal, namun di situ beliau cukup sempurna. Kisah ini berjalan dengan panjang sehinggalah Syuhada akhirnya dijumpai di dalam hutan bersama kakaknya itu. Alangkah kartunnya apabila Syuhada yang orang ramai melihatnya meninggalkan rumah dengan teksi akhirnya ditemui tidak jauh dari situ.

Selepas episod ini bermulalah perjalanan cerita yang menyesakkan jiwa hamba membacanya. Syuhada terhumban lagi ke alam kedua. Kali ini lebih aneh lagi - terhumban ke sebuah pulau, menjadi lelaki, berlawan dengan ketam raksasa bernama yo-yo dengan kuasa sakti  dari sebentuk cincin, berkawin dengan Ratu Buruk yang mempunyai wajah yang lawa tetapi tidak berbaju dan lain-lain lagi. Jika pada kemasukan kali pertama ke alam lain Syuhada masih mempunyai kaitan dengan beberapa watak yang dikenali di alam realiti tetapi episod di pulau ini tidak lansung walaupun ada dua orang yang dikenalinya menjadi pengawal kepada Ratu Buruk. Ini kerana kedua watak itu lansung tidak memberikan impak kepada cerita.

Memandangkan ini tulisan tahun 90an, penulis turut mengambil kesempatan mempersendakan kerjasama PAS dan Semangat 46 pada era itu dengan menampilkan watak pemimpin Parti Agama Sejagat Semenanjung (PASS) dan pemimpin Semangat 69!! Hamba tidak mahu memperincikan hal ini kerana bagi hamba ia adalah suatu satira yang memualkan.

Novel ini tidak berakhir dengan happy ending buat Syuhada sebaliknya Haryati pula menjadi siuman sehingga boleh pula merawat orang selepas sembuh. Syuhada berakhir nasibnya sama seperti keadaan Haryati dahulu. Walaupun ini novel fantasi, namun fantasinya nampak mengarut dan tidak berapa meyakinkan batu jemala hamba untuk menerimanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...