Sabtu, 4 Oktober 2014

KONSPIRASI - Abdul Rahim Awang



Barangkali Abdul Rahim Awang merupakan penulis/novelis thriller no.1 Tanah Melayu sebelum kemunculan Ramlee Awang Murshid.(Gelaran novelis no.1 yang selalu tertulis di kulit buku Ramlee itu tidaklah hamba tahu siapa yang memberikannya. Tiada pertandingan antara penulis thriller rasanya. Ramlee cuma beruntung kerana penulis lain tidak aktif seperti beliau yang begitu giat melahirkan karya saban tahun, terutamanya semenjak menjadikan kerja penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa). Novel tahun 90an ini cukup hamba minati sewaktu di zaman persekolahan dahulu dan hamba ulang baca beberapa hari yang lalu.

Seorang wartawan bernama Harun telah dibebaskan dari penjara. Kebebasan itu bagaikan tidak bererti apabila beliau sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Peluang bekerja semula dalam bidang penulisan seolah-olah tertutup apabila tiada siapa yang berminat mengambilnya bekerja. Walaupun beliau berada dalam keadaan emosi yang terganggu, Harun mendapat sokongan penuh isterinya Nina yang hamba lihat amat bersabar semenjak Harun dipenjarakan sehinggalah Harun mendapat kesusahan.

Kehidupannya yang tidak tentu arah ketika itu digunakan sepenuhnya oleh Datin Fadila Kang, isteri kepada Datuk Saiful Kang yang merancang satu penculikan bagi mendapatkan harta tebusan. Mangsa yang akan diculik adalah anak tiri beliau, Linda yang turut sama bersubahat dalam perkara ini. Penculikan yang dirancang dengan baik itu, menemui pelbagai cabaran di dalam perjalanannya bahkan lebih buruk lagi apabila Linda ditemui mati dibunuh.

Maka bermulalah episod mendebarkan dalam hidup Harun. Sudahlah Linda mati, duit tebusan yang ditinggalkan dalam sebuah beg juga rupanya hanya mengandungi gumpalan akhbar. Harun dalam keadaan terdesak untuk menghapuskan mayat Linda memandangkan bukti kematian hanya akan memerangkap beliau. Kebetulan ketika itu Harun telahpun mendapat peluang bekerja di Majalah Detektif Romantika, sebuah majalah yang memaparkan kisah kepolisian - hasil bantuan sahabat polisnya yang bernama Musa. Harun dilibatkan dalam usaha polis mengesan pembunuh Linda. Tenaga beliau diperlukan bagi menulis laporan terutamanya untuk siaran media massa. Peluang itu diambil oleh Harun untuk mengetahui setiap aktiviti polis, membolehkan beliau dapat mengelak daripada terjebak dalam cerita pembunuhan tersebut dan dalam masa yang sama cuba mengesan pembunuh yang sebenar.

Cerita ini cukup mendebarkan tetapi penamatnya terasa amat pantas sebaik sahaja Musa mengetahui bahawa Harun terlibat sama di dalam kes ini. Walaupun permainan Abdul Rahim Awang tidak seperti penulis novel thriller pada masa ini, namun beliau adalah penulis genre ini yang hebat pada zamannya. Tidaklah hamba tahu di mana dan apa aktiviti beliau sekarang, namun sekiranya beliau masih lagi sihat walafiat, hamba mengharapkan beliau dapat melahirkan buah tangan yang terbaru.





2 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Saya berminat untuk membeli novel ini. Saudara mahu menjualnya?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Maaf saudara saya cuma ada satu naskhah sahaja untuk koleksi sendiri.

      Padam

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...