Ahad, 14 Disember 2014

MEMOIR SEORANG GURU - Azizi Abdullah



Sewaktu memilih novel ini hamba menjangkakan ia merupakan memoir Allahyarham Azizi sendiri. Rupanya ia adalah sebuah kisah fiksyen berkenaan seorang guru pencen. Namun hamba merasakan apa yang terkandung di dalam novel ini tidak dapat tidak turut menceritakan tentang diri penulis sendiri yang pernah berkhidmat sebagai seorang guru.

Novel ini berkisar mengenai watak 'Aku' seorang guru/ustaz pencen yang menentang keras hasrat anaknya, Kamariah untuk menjadi seorang guru. Penentangan itu tentunya membingungkan Kamariah memandangkan bapanya sendiri adalah bekas guru. 'Aku' sedaya upaya mahu Kamariah mencari kerja yang lain selain daripada guru kerana merasakan sepanjang usianya menjadi guru tiada keberkatan di dalam kerjayanya bahkan 'Aku' merasakan beliau gagal untuk menjadi seorang murabbi.

'Aku' mempunyai alasan tersendiri terhadap penolakan tersebut. Ia berasaskan kepada beberapa pengalaman beliau semasa menjadi guru. Kesemua cerita ini disampaikan dalam bentuk monolog. Bahkan hamba merasakan 70% penceritaan di dalam novel ini adalah dalam bentuk monolong seorang 'Aku'. Walau bagaimanapun penceritaan sebegini sekali-kali tidak mencacatkan perjalanan cerita atau menyebabkan pembaca merasa jemu. Dapat hamba simpulkan bahawa segala kisah yang diceritakan melalui monolong itu berkisarkan rasa 'benci' seorang guru kepada murid-muridnya. Bukanlah perasaan benci itu dalam erti kata yang sebenarnya, dapat hamba rasakan perasaan itu timbul kerana kasih sayang guru itu sendiri kepada anak muridnya.

Ditimpa kemalangan ketika berkereta ke Johor kerana mahu bertemu Kamariah yang 'melarikan' diri ke rumah pakciknya, 'Aku' dirawat oleh beberapa orang yang pernah menjadi muridnya, secara kebetulan juga adalah mereka yang diceritakan di dalam monolognya. Pengalaman dirawat itu akhirnya mengubah rasa protes terhadap pilihan Kamariah dan 'Aku' merasakan beliau telah menghampiri tahap murabbi. Hati 'Aku' cukup tersentuh melihat layanan yang diberikan oleh murid-murid yang pernah menjadi kebenciannya dahulu. 

Melalui novel ini secara tidak lansung penulis turut mengkritik beberapa perkara seperti kekurangan latihan perguruan yang diperolehi oleh 'Aku' yang hanya menjalani beberapa kursus sahaja. Beliau turut mengkritik cara masyarakat kampung di pedalaman yang menyelesaikan masalah mereka dengan tidak berfikir panjang seperti kisah monolog pertamanya berkenaan seorang bapa yang membunuh anaknya dengan senapang kerana tidak tahan melihat anaknya tersiksa apabila duburnya tertusuk batang pinang yang patah.  Hamba tidak pasti apakah kisah ini satu kisah yang benar hasil pengalaman penulis sendiri. Andainya ia benar maka hamba anggap ia satu kisah yang memilukan.

Bukan kisah ini sahaja bahkan hamba merasakan semua kisah 'Aku' dengan anak murid yang di'bencinya itu adalah amat memilukan juga. Ia diceritakan dengan baik sekali dengan setiap kisah mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Hamba merasakan semua para guru patut membaca novel ini untuk dijadikan iktibar terutamanya semasa menjalankan tugas. Apa yang dihadapi oleh 'Aku' adalah sesuatu yang mencabar memandnagkan latar tempat beliau bertugas tidaklah seselesa mereka yang bertugas di kawasan bandar.

Membaca tulisan seorang sasterawan tulen tidak sama seperti membaca tulisan penulis novel yang lain walaupun buku mereka termasuk dalam kategori popular. Tulisan Allahyarham Azizi mungkin tidak begitu dikenali di kalangan generasi muda hari ini, tetapi percayalah gaya penulisan beliau berpuluh kali ganda lebih baik berbanding penulis novel-novel cinta meleleh yang berlambak di pasaran. Andai pembaca tidak pernah membaca apa-apa tulisan Azizi, maka hamba sarankan agar pergi mencarinya, sementelahan tiada lagi karya beliau yang boleh kita nikmati memandnagkan beliau telah tiada lagi di dunia ini.

Al-Fatihah buat beliau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...