Selasa, 5 Mei 2015

DAMPING - Zulkifli Ahmad Idrus



Hamba telahpun keluar daripada bangunan PWTC setelah membeli beberapa buah buku. Buku-buku pada Pameran Buku Antarabangsa KL 2015 ini tidaklah murah sangat. Beratus yang habis tetapi yang dapat tak sampai pun 10 buah buku. Berbeza dengan pameran Big Bad Wolf, jumlah yang sama tetapi satu troli pegi pasar boleh dipenuhi. Meninggalkan keluarga sekeltika di luar, hamba masuk semula ke dalam untuk membeli buku Dato' Lat yang tadinya bercadang hanya akan dibeli sekiranya mempunyai lebihan duit. Dalam perjalanan hamba terlihat gambar kulit buku seperti di atas dari jauh. Membaca nama penulis yang terpapar, hamba melencong seketika ke gerai berkenaan.

Mungkin tuah hamba pagi itu apabila penulisnya sendiri yang berada di gerai mempromosikan buku berkenaan. Sememangnya hamba tidak sedar mengenai keberadaan buku ini di pasaran walaupun ia telahpun diterbitkan pada tahun 2014. Atau mungkin juga kerana hamba sendiri sudah lama tidak ke kedai buku lantas tidak menyedari akan kehadirannya di rak-rak pameran.

Menghidangkan sebuah cerita fiksyen yang digaul bersama pengalaman peribadi penulis, novel ini seperti tajuknya menghidangkan kisah seorang lelaki bernama Zaki yang dikatakan didampingi oleh beberapa makhluk halus. Lantas selepas itu bermulalah usaha beliau untuk menyingkirkan makhluk-makhluk tersebut.

Cerita ini berjalan sungguh pantas, berlaku dalam beberapa hari dan boleh hamba katakan ia straight to the point sahaja. Maksud hamba ialah biasanya sesebuah novel akan memperkenalkan perihal watak-wataknya - peribadi, kerjaya - sambil lalu merentasi perjalanan sesebuah cerita.  Namun novel ini sebaik watak utamanya - Zaki - mengetahui dia mempunyai pendamping (masih ragu-ragu pada awalnya), malamnya beliau diganggu, esoknya terus mencari bantuan sehinggalah masalahnya selesai beberapa hari kemudian. Cara sebegini mungkin lebih sesuai di layar perak.

Memandangkan gangguan yang berlaku mempunyai hubungan dengan peristiwa 40 tahun dahulu, penulis banyak menggunakan teknik penulisan imbas kembali sama ada secara teringat akan kenangan ataupun melalui kembara di bawah sedar. Cuma agak menarik awalaupun kembara bawah sedar ke masa lalu, makhluk yang terlibat boleh mengesan kehadiran manusia pengembara tersebut. Melalui penggunaan teknik ini juga banyak persoalan yang bersarang di minda akan dijawab.

Dalam wayang ada watak yang dipanggil cameo. Dalam novel ini watak penulis sendiri ada muncul sewaktu Zaki cuba mencari bantuan. Bukan itu sahaja, sempat lagi penulisan ini mempromosi buku Mata Tak Berhijab 3 (he he he). Cuma dalam novel ini nampaknya ramai pula yang ada kebolehan seperti Encilk Zul ini. walaupun peranan masing-masing adalah jelas, hamba berpandangan cukuplah seorang sahaja agar lebih banyak cabaran yang boleh ditampilkan.

Secara keseluruhannya kisah di dalam Damping adalah menarik, cuma tak puas aje sebab terlalu pendek. Itupun saja baca lambat-lambat sebab tak mahu cepat habis, tapi cepat juga sudahnya. Satu permulaan yang baik untuk penulis. Rasanya yang akan datang mungkin bakal menyusul kalau tak silap hamba berdasarkan gambar pada baju yang dipakai. Bro zul, gua tunggu!!


p/s saja tak mau tanya kut ada yang beliau nampak haritu, malas nak serabut kepala kalau benda tu ada dekat kita....




2 ulasan:

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...