Isnin, 4 Mei 2015

PESONA SANDORA - Ruhani Mat Darin



Sekiranya anda merupakan peminat bahan bacan ala-ala X-Files, maka buku ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk dibaca. Walaupun ia tidaklah seberat pengkisahan dalam siri X-Files itu sendiri tetapi hamba suka akan jalan cerita dan persembahannya. Ia adalah lebih baik daripada novel kisah kisah suami (Suamiku tiang telefon, Lebai kampung itu suamiku, Suami perut six pack....bla bla bla). Walaupun pada permulaan pembacaan hamba kadang-kadang rasa hilang dan keliru, namun sedikit-demi sedikit hamba dapat memahaminya dengan baik.                                                                                       

Sukar juga hendak memahami pada mulanya tentang makhluk dari Garisan Masa yang terperangkap di bumi setelah tempat asal mereka mengalami bencana. Misi mereka di bumi adalah untuk menyatukan kembali kesemua wilayah masa tersebut. Tetapi para makhluk tersebut tidak berapa diketemui dalam novel ini. Hanya tiga nama yang dapat hamba kenalpasti iaitu Ketua Akil, Yasundra dan Putra Lah (yang menjadi watak villain). Justeru penyelesaian masalah mereka ini lebih banyak dilibatkan dengan manusia.

Penulis memilih sebuah provinsi terpencil bernama Sandora (di belah mana dalam Malaysia inipun hamba tidak tahu) sebagai latar tempat penceritaan. Kedatangan dua tenaga pengajar - Dalila dan Saniah, yang sedang dalam latihan industri (latihan praktikal perguruan???) seolah merupakan kemuncak yang ditunggu-tunggu oleh Ketua Akil bagi membantu mencapai hasrat mereka untuk kembali ke Garisan Masa. Kebetulan pada awal kehadiran mereka berdua berlaku kehilangan beberapa orang remaja perempuan. 'Orang luar' yang sememangnya tidak disenangi oleh segelintir penduduk menyebabkan kehadiran mereka berdua juga dianggap sebagai pembawa masalah serta penyumbang saham kepada masalah tersebut).

Maka selepas itu pembaca akan mula dibawa melihat kepada kuasa-kuasa pelik yang berlaku di tempat tersebut. Kanak-kanak berkenaan sebenarnya tidak hilang, cuma mereka dilindungi 'hijab' yang tidak dapat dilihat oleh orang ramai kecuali Dalila dan Saniah. Dalila dan Saniah juga tiba-tiba mendapat super power tanpa mereka sedari memandangkan Ketua Akil berpandangan kedua mereka boleh membantu. 

Watak Putra Lah sebagai villain sebenarnya tidak begitu kelihatan. Kejahatannya di provinsi berkenaan dijalankan oleh sebuah pertubuhan yang dinamakan Swastika. Mereka begitu berkuasa di kampung berkenaan sehinggakan ketua kampung juga berada di bawah kawalan mereka - tak ubah umpama pertubuhan zionis yang menguasai dunia!! Kerja mereka adalah untuk menggagalkan rancangan Ketua Akil. Di penghujung novel ada dinyatakan bahawa Swastika asalnya adalah nama pertubuhan pengamal-pengamal perubatan tradisonal yang kemudiannya bertukar menjadi pertubuhan ajaran sesat selepas Putra Lah merasuk pengetua Sandora. Entahlah hamba rasa kelakar pun ada apabila nama berkenaan asalnya untuk pertubuhan para bomoh sedangkan kita tahu swastika adalah lambang yang sering dikaitkan dengan Nazi Jerman serta beberapa agama bukan Islam.

Ada tiga tanda yang ditakuti oleh swastika/Putra Akil akan berlaku kerana ia adalah tanda kegagalan mereka iaitu turunnya salji, tumbuhnya bunga-bunga yang mekar dan keluar 8 pelangi serentak. Semua kejadian berkenaan yang pada asalnya hanyalah khayalan Dalila/Saniah membawa kepada kejadian yang benar-benar berlaku. Kelakar juga pada hamba kerana Ketua Akil menunggu selama ribuan tahun hanya untuk perkara ini. Dah begitu lama baru ada idea hendak memberikan power kepada Dalila dan Saniah sehingga mencetuskan tiga peristiwa tersebut. Maka dengan terjadinya tiga peristiwa tersebut di katakan bahawa Wilayah Masa telah bersatu semula.

Walaupun kisah dalam novel ini banyak karutannya tetapi yang nyata hamba suka akan karutan tersebut memandangkan ia lebih bersifat sains dan bukannya hantu jembalang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...