Sabtu, 16 Mei 2015

RAHSIA SIMBOL YAHUDI 2 - Ibnu Yaacob



Hamba mengambil buku ini kerana menyangkakan ia adalah sambungan kepada buku yang pernah hamba baca daripada penulis yang sama sebelum ini. Rupa-rupanya ia adalah edisi kemaskini sahaja dan bukannya penulisan yang baru. Justeru sepatutnya penulis dan penerbit mengekalkan saja tajuk dan gambar kulit yang lama dengan menambah perkataan edisi kemaskini. Tajuk di atas seolah-olah satu sambungan dengan isi kandungan baru yang berbeza dengan buku sebelumnya. Maaflah bagi hamba teknik sebegini adalah lebih kepada untuk melariskan barangan dagangan serta mengelirukan pembaca.

Secara ringkasnya Ibnu Yaacob cuba untuk membongkar beberapa simbol, isyarat tangan ataupun lambang yang dianggap mempunyai rahsia tersendiri yang hanya difahami oleh kelompok yang memperlihatkannya. Antara banyak yang diperlihatkan di dalam buku ini adalah isyarat tangan yang menurut Ibnu Yaacob adalah isyarat rahsia dari golongan yahudi khasnya puak freemason dan illuminati. Rupabentuk isyarat tangan ini dikatakan ada terkandung di dalam buku Richardson Monitor of Freemasonry yang menjadi rujukan puak itu sendiri. Lantas Ibnu Yaacob membawakan beberapa gambar sama ada ahli politik, pemuzik, pelakon serta beberapa individu yang dikatakan ada memperagakan isyarat berkenaan. Antara isyarat berkenaan termasuklah isyarat dua jari ke atas atau peace yang biasa kita lihat di mana-mana.

Namun hamba tidak menganggap kesemua individu dalam gambar berkenaan benar-benar sengaja mempamerkan atau memang mengetahui isyarat tangan yang disampaikan. Ini kerana terdapat gambar yang nampak seperti candid dan ada juga gambar yang mendapat sentuhan jurugambar professional yang mahukan pose yang menarik. Sebagai jurugambar, hamba sendiri apabila mahu mengambil gambar individu secara candid, akan menunggu waktu yang sesuai apabila individu berkenaan melakukan gaya atau berada dalam posisi yang menarik. Sementelahan lagi gambar-gambar yang dipetik oleh Ibnu Yaacob adalah gambar yang disiarkan di media yang pastinya editor akan memilih gambar yang paling menarik. Walau bagaimanapun hamba tidak menolak pandangan beliau berkemungkinan ada gambar yang memang mahu menyampaikan maksud yang tersendiri.

Ibnu Yaacob turut menamakan dua orang tokoh Muslim sebagai ahli freemason berpangkat tinggi iaitu Sheikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al Afghani. Hamba berharap agar beliau dapat memberikan penjelasan lengkap serta rujukan mana yang beliau pakai kerana menamakan kedua tokoh ini sebagai boneka yahudi boleh menjadi satu fitnah yang besar sekiranya beliau hanya mengambil keterangan pihak yang tidak berkredibiliti apatah lagi melalui dengar cakap sahaja. Tiada penghuraian diberikan di dalam buku ini yang mana ia boleh menjadikan umat Islam lebih keliru. Walaupun perkara ini banyak berlegar melalui blog-blog namun bagi hamba blog bukanlah satu hujjah atau pegangan yang kuat. Contohnya jikalau kita merujuk kepada wikipedia tentang Abduh, lebih buruk lagi apabila beliau dikaitkan dengan ajaran bahai!! 

Begitu juga apabila Ibnu Yaacob menghuraikan mengenai simbol nazi atau apa yang kita kenali dengan nama swastika. Penerangan Ibnu Yaacob terhadap lambang ini tidak lengkap apabila lebih mengehadkan ia daripada golongan nazi - gabungan perkataan N dan Z atau juga daripada lambang petir pada ShutzStaffel. Beliau perlu sedar bahawa lambang berkenaan terdapat juga dalam agama lain seperti hindu dan buddha serta telah wujud sejak ribuan tahun lagi. 

Walaupun Ibnu Yaacob menganggap buku beliau ini sebagai pembuka jalan kepada orang lain untuk mengkaji dengan lebih mendalam lagi hamba lebih suka agar penulisan beliau dilakukan dengan lebih mendalam. Ini disebabkan bukan semua pembaca beliau akan melakukan kajian dengan lebih terperinci lagi. Justeru andaikata terdapat fakta yang mengelirukan, golongan yang tidak mengkaji ini akan terus menerima secara bulat-bulat sahaja dan sekiranya ini berlaku kecelaruan minda ummah akan bertambah parah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...