Jumaat, 29 Januari 2016

THE MALAYAN EMERGENCY REVISITED 1948-1960, A Pictorial History - Lt. Col (R) Mohd Azzam Mohd Hanif Ghows



Semasa buku ini mula berada di pasaran sekitar tahun 2006, hamba teringin sangat hendak memilikinya. Namun harganya ketika itu bagi hamba agak mahal (sekitar RM120) dan gaji hamba pada ketika itu pula agak kecil. Namun hamba berharap agar buku ini masih lagi berada di kedai-kedai buku apabila suatu hari nanti hamba telah bersedia untuk membelinya. Malangnya seperti kebanyakan buku-buku bermutu yang diterbitkan di Malaysia, walaupun buku ini mempunyai nilai yang tinggi untuk bacaan ia akhirnya tidak lagi hamba temui di rak-rak buku kedai. Terasa agak kecewa hamba. Hamba terus berdoa dan berharap agar diberi peluang untuk sekurang-kurangnya membaca buku ini.

Pata tahun lepas seorang rakan pejabat bertanya di mana beliau boleh meletakkan buku-buku lama di rumahnya. Hamba jelaskan bahawa di pejabat tidak ada ruang mahupun perpustakaan untuk tujuan tersebut. Namun hamba jelaskan bahawa hamba sendiri berminat dengan buku dan mungkin ia boleh hamba lihat untuk bacaan sendiri. Beliau bersetuju dan kemudiannya hadir dengan buku ini. Alhamdulillah, rasa macam tak percaya apabila melihat buku yang diterbitkan kira-kira 9 tahun dahulu kini berada di hadapan mata. Lebih istimewa lagi buku yang beliau bawakan ini adalah naskhah daripada penulis buku itu sendiri yang dihadiahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan ketika itu, YBhg. Dato' Haji Ahmad Latffi bin Hashim (merendah diri betul sahabat hamba ini sehinggakan hamba tak tahu bahawa bapa beliau adalah seorang VIP). Terus hamba menyatakan hasrat untuk membeli buku ini daripada beliau. Namun beliau tidak memberikan sebarang jawapan sehingga ke hari ini dan meminta hamba membaca dan menjaganya dengan baik.

Buku ini merupakan satu khazanah berharga kepada negara yang menceritakan keadaan zaman darurat yang berlaku antara tahun 1948 sehingga 1960 dan berterusan sehinggalah kepada zaman merdeka. Buku ini bermula dengan ledakan Perang Dunia Kedua dengan secara khususnya memfokuskan kepada pendudukan Jepun di Tanah Melayu, kerjasama komunis dengan British bagi menentang Jepun dan selanjutnya. Belang komunis mula menyerlah apabila Jepun menyerah dan Tanah Melayu berada dalam tempoh peralihan sebelum British kembali ke Tanah Melayu. Ketika itu Bintang Tiga bermaharajalela membunuh sesiapa sahaja yang dianggap sebagai pengkhianat mereka sewaktu pendudukan Jepun sebelum itu. 

Buku ini amat menarik kerana penerangan yang diberikan adalah ringkas tetapi padat. Yang paling mahal adalah gambar-gambar yang ditampilkan kerana pictures speaks louder than words. Banyak gambar-gambar yang ada di dalam buku ini tidak pernah hamba lihat di mana-mana buku sejarah atau di internet. Selain daripada keganasan komunis, ia juga menceritakan tentang usaha-usaha serta perancangan kerajaan ketika itu untuk menjaga keselamatan rakyat serta mengekang kegiatan komunis itu sendiri. Usaha ini bolehlah dikatakan mencapai kemuncaknya di zaman Sir Gerald Templer sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu bermula pada tahun 1952. Pelbagai usaha telah dilaksanakan beliau terutamanya untuk menambat hati rakyat agar tidak terpengaruh dengan komunis. Walaupun tempoh beliau hanya sehingga 1954 sahaja (kira-kira dua tahun), usaha beliau meninggalkan banyak kesan kepada rakyat serta menyaksikan pengaruh komunis kian merosot. Banyak kawasan telah mula dibersihkan di diisyhtiharkan sebagai putih. Kesukaran mendapatkan sokongan, bekalan makanan dan ubatan, pengikut yang terbunuh atau menyerah diri, menyebabkan komunis kian tersepit sehingga memindahkan kegiatan mereka ke sempadan Thailand.

Membaca segala fakta serta gambar yang terhidang membuatkan hamba kabur apabila terdapat satu dua manusia yang dikatakan pemimpin dalam masyarakat menganggap komunis itu sebagai pejuang tanahair. Komunis yang bukan sahaja membunuh rakyat bahkan sanggup membunuh orang mereka sendiri - dan contoh paling baik adalah apabila mereka membunuh Setiausaha mereka yang pertama iaitu Lai Teck. Ramai pada ketika itu, isteri yang kehilangan suami, anak-anak menjadi yatim piatu, orang kampung yang tidak bersalah dibunuh hanya kerana tidak mahu memberi bantuan kepada komunis. Dalam pada itu juga banyak wira-wira negara yang lahir terutama sekali para wira yang tidak didendang - berjuang namun dilupakan massa. Keberanian orang Melayu dalam mempertahankan tanah air ketika itu walau terpakasa mengorbankan diri sewajarnya dihargai oleh generasi yang ada pada hari ini. Justeru setelah orang terdahulu berkorban kerana mahu memberikan kedamaian kepada kita, tidakkah kita pula mahu berkorban untuk mempertahankannya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...