Jumaat, 15 Januari 2016

TOK GURU; SEBUAH BIOGRAFI AWAL - Habibul Izzah Ahmad




Tokoh yang disebutkan di dalam buku ini sesungguhnya tidak perlu diperkenalkan lagi kepada khalayak. Beliau amat dikenali, masyhur tidak kira sebagai seorang alim ataupun sebagai seorang ahli politik. Sebagai salah seorang yang mengagumi beliau, hamba mengharapkan buku ini akan memberikan maklumat yang lebih banyak tentang beliau melebihi buku-buku mengenai Nik Aziz yang pernah diterbitkan sebelum ini. Lebih-lebih lagi apabila buku ini diterbitkan oleh Institut Pemikiran Tok Guru dan ia dilabel sebagai biografi rasmi Tok Guru dibahagian hadapan kulitnya. Apabila ia dilabel sedemikian sudah semestinya pada pemikiran hamba ia akan menghidangkan segala-galanya tentang Nik Aziz, terutamanya perkara baharu yang tidak pernah diketahui oleh khalayak sebelum ini. Tambahan pula buku ini hamba anggap mempunyai nilai tersendiri apabila turut disemak dan disahkan oleh Tuan Guru sendiri.

Namun jika dibaca secara keseluruhannya buku ini sebenarnya apa yang disebut tentang Tuan Guru tidaklah sebanyak mana penerangannya. Buku ini jadi tebal apabila penulis memberi penerangan lanjut atau ulasan terhadap personaliti atau tempat yang dikaitkan dengan Tok Guru di dalam buku ini. Misalnya apabila sampai kepada perkara berkenaan guru-guru Nik Aziz, penulis akan berbicara tentang personaliti insan berkenaan, apabila di kisah Tok Guru belajar di India akan dimasukkan kisah perjuangan orang di sana menentang penjajah dan sebagainya. Hamba menjadi sedikit kecewa. Memanglah tidak salah untuk penulis menghuraikan tentang perkara-perkara tersebut, tapi perlu diingat bahawa inti perbincangan adalah mengenai diri Tuan Guru sendiri. Hamba rasa tidak puas membaca mengenai diri Tuan Guru mengaji di luar negara. Tahu-tahu sudah berada di India - Cerita tentang Tok Guru lebih kurang dan lebih banyak kepada yang disekelilingnya, tahu-tahu sudah kisah di Mesir. Cerita di Mesir lebih kurang, tahu-tahu sudah pulang dan berkhidmat kepada masyarakat. Cerita yang dikatakan biografi awal ini boleh dikatakan berakhir dengan pencalonan beliau sebagai wakil rakyat PAS pada Pilihanraya Kecil Kelantan Hilir tahun 1967 ketika beliau berusia 36 tahun.

Begitu juga pada penutup buku ini, ia adalah lebih kepada ulasan penulis sendiri serta pemikirannya terhadap tuan guru. bahkan penulis juga turut menulis dengan panjang lebar akan faktor keciciran beliau dalam dakwah yang hamba rasakan tidak perlu disebutkan lansung di dalam buku ini kerana pembaca ingin mengenali Tuan Guru dan bukannya penulis buku. Mengenai pemilihan gambar pula, majoriti gambar yang tersiar adalah gambar yang boleh dikatakan terkini. Sewajarnya gambar yang lebih banyak dipamerkan adalah gambar-gambar semasa beliau remaja, semasa melanjutkan pelajaran dan sebagainya - kena dengan tajuk buku ini sendiri. Penulis bagi hamba boleh menulis dengan lebih terperinci lagi mengenai Tuan Guru memandangkan beliau mempunyai akses kepada Tuan Guru semasa menghasilkan buku ini. Sebagai pembaca, secara peribadi hamba kecewa dengan kandungan buku ini. Pernah hamba membaca sebuah buku mengenai tuan guru juga berbelas tahun yang lalu (yang hamba sudah lupa tajuknya) yang hamba rasa lebih menarik dan kena dengan tajuknya. Dan hamba masih ingat salah satu gambar dalam buku itu yang memaparkan Tuan Guru semasa berada di Mesir bersama-sama dengan temannya dengan beliau memegang sebuah radio. Juga mengenai teguran bapa beliau kepada pakaian Tok Guru ketika pulang dari Mesir yang nampak moden.

Habibul Izzah boleh menulis dengan baik, tetapi hamba suka mengesyorkan agar beliau rajin membaca buku biografi yang ditulis oleh orang lain agar dapat melihat gaya penulisan mereka. Buku ini sewajarnya dinamakan Kepimpinan Awal Tuan Guru dan bukannya sebuah biografi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...