Khamis, 9 Jun 2016

OBSES - Syasya Bellyna



Melihat kepada paparan sampul novel, ia membayangkan bahawa ini merupakan sebuah novel seram ataupun thriller ditambah dengan sinopsis di kulit belakang yang seolah memberikan gambaran yang sama. Pengalaman membaca tulisan Syasya Bellyna sebelum ini mengisyaratkan bahawa novel beliau boleh hamba baca dan tidak akan mengecewakan.

Membawakan tema obses melalui minat berlebihan peminat kepada seorang penyanyi, novel ini secara ringkasnya memaparkan seorang penyanyi bernama Emily yang berada pada usia yang agak lewat dan masih belum bertemu jodoh. Atas desakan kuat ibunya serta faktor sekeliling, beliau bersetuju menyertai satu rancangan realiti pencarian jodoh di mana beberapa orang jejaka akan bersaing untuk menawan hati beliau dan seterusnya menjadi pasangan hidup.

Hal ini mengingatkan hamba bahawa beberapa belas tahun yang lalu rancangan seperti ini pernah ada di televisyen kita. Beberapa orang jejaka bersaing untuk merebut hati seorang gadis. Akhirnya seorang pemenang telah dipilih. Namun apa yang terjadi akhirnya mereka tidak juga sampai ke jinjang pelamin. Masyarakat ketika itu lebih banyak yang mengkritik akan ketidaksesuaian program ini dengan budaya timur. Hanya itu sahajalah sekali program berkenaan bersiaran dan tidak dilanjutkan kepada musim-musim yang seterusnya. Jadi apa yang dipaparkan di dalam obses tidak ubah seperti rancangan berkenaan, cuma diubahsuai mengikut kesesuaian tema sahaja.

Boleh hamba katakan pembacaaan hamba sekadar mendatar sahaja. Walaupun ia berketebalan melebihi 500 muka surat, hanya pada 30 muka surat yang terakhir sahaja baru hamab merasai debarnya, itupun tidaklah begitu ketara. Novel ini mempunyai watak yang begitu ramai. Penulis dilihat cuba untuk memberikan pertimbangan sama rata untuk setiap watak tetapi ia tetap tidak kelihatan seimbang. Penceritaan juga kadang-kadang dilihat untuk menambahkan lagi ketebalan novel sehingga penceritaan yang sepatutnya diberatkan telah tenggelam.

Ada dua perkara besar yang hamba lihat penting untuk ditonjolkan iaitu misteri kematian bapa Emily serta asbab yang membawa kepada kemurungan beliau serta siapa lelaki misteri yang begitu obses dengan Emily. Tetapi misteri kematian bapa Emily sepanjang penceritaan hamba lihat seolah satu 'cerita selitan' sahaja sehinggalah kepada penghujung novel baru diberi penekanan yang sebenarnya. Watak lelaki yang obses kepada Emily - Nash juga dapat hamba teka dengan mudah. Walau bagaimanapun bagi hamba kegilaan Nash itu tidaklah nampak gila sepanjang perjalanan novel sehinggalah apabila dia menawan Emily di dalam bilik herba. Lain-lain calon pencarian Soulmate walaupun mempunyai agenda yang tersendiri tetap tidak menimbulkan rasa teruja dan suspen hamba. 

Hamba mencadangkan agar skop penceritaan boleh dikecilkan agar penyampaian penulis akan menjadi lebih mantap serta penceritaan setiap watak akan menjadi lebih fokus dan terperinci. Apa lagi hamba nak tulis.....ahhh tak larat hamba, bila perut kosong berpuasa segala idea hilang entah ke mana....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...