Sabtu, 28 Januari 2017

DARI ALAM LAIN - Helmi Effendy

Sekiranya ketika membaca The Lost World oleh penulis ini hamba hanya terbayangkan siri filem Jurassic Park, maka membaca novel ini seolah menonton siri Supernatural! Sekiranya dalam Supernatural ia diterajui oleh pasangan adik beradik Sam dan Dean Winchester, dalam novel ini ia diterajui oleh adik beradik kembar tak seiras Citra Adra dan Badruz Zaman yang kononnya daripasa susur galur Hang Tuah. Ibu kepada adik beradik Winchester mati sewaktu mereka masih kecil kerana dibunuh kuasa jahat yang membuatkan bapa mereka melatih kedua beradik itu untuk menjadi pemburu dan membunuh 'all things that go bump in the night'. Ibu kepada kembar anak Alang Saidi ini pula mati selepas melahirkan mereka, di mana kedua kembar ini harus segera dilarikan untuk mengelakkan mereka daripada dibunuh 'kuasa jahat'. Mereka yang ketika itu berada dalam dunia bunian telah dihantar melalui 'relung' ke dunia manusia yang akhirnya ditemui sendiri oleh datuk mereka. Alang Saidi kekal di dalam dunia itu dan kesudahan dirinya tidak jelas di dalam novel ini, cuma dibayangkan telah meninggal dunia. Habis kisah kelahiran mereka novel ini terus melangkau kepada era dewasa di mana tahu-tahu saja Badruz telah sedia menjadi seorang pemburu dan kakaknya pula mempunyai mata istimewa yang boleh melihat makhluk halus. Dean Winchester memandu Chevrolet Impala manakala Badruz memandu Proton Saga lama - jelas menunjukkan unsur patriotik terhadap barangan tempatan sekaligus menunjukkan ketahanannya!!

Tidak bosan membaca novel ini. Plotnya disusun cantik sehingga setiap peristiwa itu seumpama sebuah siri tv, di mana sesebuah peristiwa itu dapat 'diselesaikan' sebelum melangkah ke kisah yang lain pula. Walau bagaimanapun kisah ini adalah berkait sehingga ke penghujungnya. Ini kali pertama rasanya dalam novel Melayu ditonjolkan kisah pemburu hantu Malaysia yang moden kerana selain membawa peralatan tradisional, mereka turut membawa senjata moden bahkan senjata api Melayu kuno seperti terakol. Mereka mempunyai kelompok mereka sendiri, tempat berkumpul khas dan keistimewaan individu yang tersendiri. Tidaklah dapat dipastikan apakah sumber pendapatan mereka kerana mereka asyik memburu hantu sahaja.

Novel ini turut menggunakan beberapa watak sebenar dalam sejarah yang telah diolah sehingga mengarut dengan jayanya. Jangan pembaca pertikaikan tentang kelainan watak-watak sejarah ini berbanding yang pernah dibaca dalam buku sejarah kerana ia hanyalah sebuah fiksyen. Cuba bayangkan sekiranya watak-watak sejarah itu adalah seperti yang ditulis dalam novel ini. Hamba rasa memang haru biru dunia!! 

Selain itu idea patung lilin yang hidup dalam Muzium Eurasia berkemungkinan dikutip daripada filem Night At The Museum oleh Ben Stiller. Penulis juga memasukkan idea berdasarkan tempat-tempat berhantu di Malaysia seperti sebuah hotel di Genting Highland, Penjara Pudu serta hospital berhantu. Dalam peristiwa di Genting, penulis dengan beraninya melakarkan pemilik Genting mempunyai kuasa jahat besar yang akan membunuh belaan yang dibawa oleh pengunjung ke tempat itu khususnya di kasino. Perkara ini sesungguhnya adalah umpama 'urban legend' yang belum lagi dapat ditentukan kebenarannya. Tetapi walau apapun ia telah digarap dengan begitu baik sekali.

Unsur-unsur makam firaun dapat dilihat daripada kisah pencarian makam Raja-Raja Melayu zaman Srivijaya yang dikatakan telahpun ditemui terlebih dahulu oleh British tatakala membina sebuah stesen keretapi bawah tanah. Ia adalah sebuah catacomb yang mempunyai jalan berselirat serta perangkap maut. Jelas penulis amat kreatif di dalam penulisannya dalam menggunakan unsur sebegini serta mengadaptasikannya mengikut suasana tempatan.

Dilihat secara keseluruhan, penulis cuba mengungkapkan kehebatan bangsa Melayu itu sendiri sama ada melalui peristiwa masa kini ataupun yang telah lalu. Ia dibuat secara bersahaja tanpa berlebih-lebihan diserap secara perlahanlahan melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku. Novel ini menghiburkan, tidak terlalu seram dan tidak terlalu mendebarkan. tetapi membacanya pasti akan mengikat kita sehingga tamat!!






3 ulasan:

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...