Selasa, 24 Oktober 2017

ANARKIS : BANGKIT - Khairul Nizam Khairani



Biasanya filem bercorak aksi akan dimulakan dengan adegan yang mendebarkan serta menaikkan adrenalin. Maka novel ini berjalan seumpama filem-filem aksi tersebut. Bahkan debarannya berpanjangan sejak permulaan kisah hinggalah ke akhirnya. Sekiranya anda peminat novel-novel aksi dan amat menyampah dengan novel cinta yang meloyakan, maka Anarkis : Bangkit amatlah sesuai dengan jiwa anda.

Anarkis : Bangkit sebenarnya merupakan sambungan daripada novel Anarkis. Justeru bagi pembaca yang tidak pernah membaca naskhah pertamanya mungkin akan terasa sedikit keliru serta mungkin tertanya-tanya dengan beberapa nama yang tiba-tiba muncul tanpa pembaca mengetahui latar belakangnya. Lebih-lebih lagi penulis tidak banyak memuatkan babak imbas semula bagi membolehkan pembaca baru untuk mengetahui hujung pangkal kisah. Justeru hamba mencadangkan agar dikhatamkan Anarkis terlebih dahulu sebelum membaca Anarkis : Bangkit. Walau bagaimanapun Anarkis : Bangkit masih boleh diikuti dengan baik walaupun tanpa membaca naskhah permulaannya.

Pada bahagian kedua ini Sarjan Awai anak Gamung seumpama berjuang untuk dirinya sendiri.Diburu oleh beberapa pihak dari dalam dan luar negara, Awai dilihat sebagai seorang penjenayah berbahaya di kacamata pihak berkuasa negara. Namun beliau amat percaya dengan jalan yang diambilnya, memutuskan untuk tidak menyerah diperingkat awal sambil bertekad untuk membersihkan namanya sendiri daripada tuduhan melakukan beberapa pembunuhan.

Amat jarang sesebuah novel Melayu mengangkat watak seorang Iban sebagai hero cerita. Namun Anarkis : bangkit umpama sebuah novel yang melibatkan pelbagai kamum yang ada di Malaysia. Ia mengungkapkan keberanian anak tempatan dan dalam masa yang sama menunjukkan pihak luar negara (perisik ataupun tentera) tidaklah begitu hebat mana. Penulisnya bagi hamba mempunyai pengetahuan yang memadai tentang dunia ketenteraan dan perisikan untuk menghasilkan novel hebat ini. Sarjan Awai dari awal lagi digambarkan sebagai seorang yang keras hati, berprinsip, berani, mampu berfikir dengan waras di saat genting, berperikemanusiaan walaupun tindakannya kadang-kadang agak brutal serta bertanggungjawab. Kebahagiaan hidup yang dirasanya direnggut daripadanya apabila isteri dan anaknya tidak lagi bersamanya. Justeru beliau tidak mahu menerima rawatan daripada Dr Jason yang merupakan suami baru kepada isterinya yang seumpama akan mencabut maruah dirinya. Kata-kata Arman Ghanni kepada Dr Jason berikut amat menarik sekali; "Doktor, Sarjan Awai merasakan yang doktor dah mengambil semua benda berharga dalam hidupnya. Isterinya, anaknya, keluarganya, kebahagiaan yang dirindu dan didambakannya sewaktu dia masih di Croatia. Dia dah kehilangan segala-galanya di tangan doktor. Apa yang tinggal hanyalah maruah dirinya. Tapi kalau doktor menjadi orang yang menyelamatkan nyawanya, maka maruahnya juga telah diambil oleh doktor....."

Walaupun kelihatan umpama Awai berjuang seorang diri, tetapi dalam masa yang sama sebenarnya terdapat juga beberapa individu yang membantunya dari belakang. Mereka ini sama ada terhutang nyawa denagn Sarjan Awai ataupun merasakan itu tanggungjawab mereka untuk membantu kerana merasakan Awai tidak bersalah serta menjadi mangsa keadaan.

Novel ini seakan ada sambungannya lagi apabila Awai memutuskan untuk menyertai French Foreign Legion. Pasti akan terhidang lebih banyak aksi lagi!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...