Khamis, 12 Oktober 2017

KURMA DAGING ANITA - Cikli

Cikli merupakan salah seorang kartunis yang hamba minat hasil lukisannya. Lukisannya kemas, tidak berserabut. Lakarannya adalah bersifat tempatan tanpa dicemari unsur manga atau manhua. Beliau antara kartunis yang ngetop pada zamannya. Hamba percaya peminat majalah Gila-Gila sekitar 90an amat mengenali karya beliau lewat karakter Manjalong yang begitu comel dan bijak. Manjalong walaupun masih kanak-kanak tadika boleh masuk dengan bapa saudaranya Cikli yang nampak rock.

Kurma Daging Anita adalah merupakan kompilasi satu siri kartun yang pernah tersiar di majalah Gila-Gila. Walaupun menggunakan tajuk Kurma Daging Anita, watak Anita sebenarnya bukanlah tumpuan utama dalam siri kartun ini. Sebaliknya tumpuan utama adalah terhadap watak Nordin, sahabat lama Cikli yang telah enam tahun menghilangkan diri. Anita merupakan jiran baru Cikli yang baru sahaja berpindah ke rumah sebelah rumah yang beliau diami. Anita mempunyai seorang adik bernama Ayep yang tidak kurang cerdiknya berbanding Manjalong. 

Mempunyai jiran yang 'cun' membuatkan Cikli berusaha untuk mengayat Anita. Kepulangan keluarga kakaknya ke kampung bagi menziarahi Pak Long mereka yang sakit memberi sedikit lorong untuk Cikli berbaik dengan Anita. Ini apabila Anita memasakkan mereka kurma daging setelah mengetahui hanya Cikli dan Manjalong sahaja yang berada di rumah. Anita sebenarnya dalam peringkat memahirkan diri memasak juadah tersebut turut meminta pandangan Cikli apabila telah merasainya nanti.

Ketika inilah watak Nordin tiba-tiba muncul pada suatu malam di depan rumah Cikli. Nordin
telah enam tahun menghilangkan diri dari kawasan perumahan tersebut. Kepulangan semula Nordin akhirnya mengungkapkan semula sebab dan ke mana beliau menghilang selama ini. Kepulangan beliau juga amat tidak menyenangkan Sani yang sedaya upaya cuba untuk menghalaunya semula daripada kawasan tersebut. Ternyata Sani juga mempunyai kisah silam dengan Nordin.

Cikli berasa curiga apabila suatu hari beliau melihat Anita memberikan sepucuk surat kepada Nordin. Ini menaikkan rasa cemburu Cikli yang meminati Anita. Nordin kemudiannya meninggalkan rumah Cikli begitu sahaja tanpa sebarang pamit. Kejadian kecurian di rumah Cikli selepas itu membuatkan Cikli bersyakwasangka terhadap Nordin. Sani sendiri begitu mengapi-apikan lagi tuduhan tersebut. Namun para pencuri berkenaan akhirnya memulangkan sendiri barang-barang curian tersebut setelah teruk dibelasah sendiri oleh Nordin. Di kala ini nama Nordin dapat dibersihkan kembali.

Tiga bulan kemudian Nordin menghubungi semula Cikli dan meminta beliau datang ke gerai yang baru dibukanya. Ternyata surat yang dilihat Cikli dahulu sebenarnya adalah resepi kurma daging yang diberikan Anita kepada Nordin. Nordin kini mengusahakan gerai kurma hasil resepi Anita!!


7 ulasan:

  1. Nostalgia masa zaman sekolah.....bila masak kurma daging mesti sebut tajuk ni

    BalasPadam
  2. Dalam buku ni ada tak komik bila Along tu yang tiba-tiba hilang dalam kesesakan orang ramai di pasar Ramadan ramai sampai gabra Cikli dibuatnya? Tak silap sebab mak Along tu nak beli baju raya tapi Cikli yang disumbat telinganya dengan Walkman tak dengar. Sebab teringat pulak dulu pernah terbaca dari majalah Gila-gila yang dibeli mak cik yang masa tu masih muda.

    BalasPadam
  3. Buku kita hilang sebab banjir. Buku kesayangan salah satunya buku Kurma Daging Anita Cikli ni... Sedihnya tak ada lagi salinannya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya simpati dengan apa yang berlaku. Jika demikian pasti banyak lagi koleksi tuan yang turut terjejas.

      Padam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...