Rabu, 1 November 2017

DI SEBALIK RUNDINGAN DAMAI HAT YAI - Myzara



Perjuangan pengganas komunis di Tanah Melayu berakhir pada 2 Disember apabila satu perjanjian damai ditandatangani antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dan Parti Komunis Malaya. Ia tidak berakhir begitu sahaja tanpa adanya usaha-usaha di sebalik tabir yang membawa kepada perdamaian tersebut. Apatah lagi setelah kegagalan Perjanjian Baling, pihak komunis sedar bahawa kerajaan Malaysia sememangnya sama sekali tidak akan mengiktiraf perjuangan mereka serta membenarkan mereka bergerak sebagai sebuah pertubuhan yang sah.

Rata-rata para pejuang komunis di peringkat awal adalah merupakan para pejuang kemerdekaan berhaluan kiri yang percaya penentangan terhadap British perlu dilakukan dengan kekerasan atau bersenjata. Kemerdekaan secara begitu bagi mereka adalah lebih bermaruah berbanding kemerdekaan yang diperolehi secara rundingan. Bagi mereka kemerdekaan yang diperolehi secara mudah umpama negara masih lagi dijajah secara halus oleh British ataupun diperintah secara boneka. Acuan pemerintahan juga akan berpaksikan penjajah walaupun ditadbir oleh anak bangsa sendiri.

Buku ini adalah kisah Mocktar Mahmud Baginda yang mempunya bapa serta ahli keluarga yang lain berpewatakan pejuang kemerdekaan tetapi berhaluan kiri. Kakaknya Siti Nurkiah dan Zainab lari ke hutan dan akhirnya menjadi komunis. Tetapi Zainab akhirnya pulang ke tanah air sekitar 80an, menyerah bersama suaminya Musa Ahmad yang juga bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya. Mereka menyerah kerana tidak yakin lagi dengan perjuangan komunis dan merasakan bahawa orang Melayu hanya dipergunakan sebagai alat semata-mata.

Hasrat untuk bertemu semula dengan kakaknya Siti Nurkiah yang telah terpisah selama lebih 40 tahun akhirnya membawa kepada agenda yang lebih besar. Mocktar akhirnya menjadi umpama orang tengah ataupun lebih tepat lagi mastermind yang berjaya membawa komunis ke meja perundingan. Kisah-kisah kemajuan dan perkembangan tanahair yang dibawa Mocktar dalam beberapa siri lawatan telah mengetuk hati para komunis ini untuk kembali semua kepada masyarakat. Mocktar juga diberi layanan yang baik sepanjang berada di kem mereka bahkan diberikan penghormatan untuk memeriksa barisan kawalan keselamatan. Pihak komunis memberikan mandat kepada Mocktar untuk menjadi wakil mereka menyampaikan hasrat dan harapan kepada kerajaan. Mocktar terlibat dalam beberapa siri rundingan namun pada rundingan yang terakhir, entah di mana silapnya, beliau tidak dilibatkan dan hanya mengetahui tentang beritanya melalui akhbar sahaja. Hamba percaya tentu beliau sedikit kecewa. Hamba sendiri berpandangan adalah tidak wajar beliau diketepikan kerana usaha beliaulah maka anggota komunis bersedia ke meja rundingan dan akhirnya bersetuju untuk meletakkan senjata. Tidak dinafikan bahawa usaha ini sebenarnya melibatkan banyak pihak terutamanya anggota keselamatan serta barisan pemimpin, tetapi harus diingat usaha Mocktar inilah yang menjadi pencetus serta katalis kepada perdamaian.

Keadaan di kem-kem mereka sebenarnya amatlah daif. Uniform mereka lusuh serta senjata mereka adalah lama. Mereka tidak keluar dari hutan berpuluh-puluh tahun serta tidak tahu tentang pembangunan yang pesat di luar. Walaupun mungkin ada kemudahan radio serta akhbar yang di bawa masuk ke kem, hakikatnya mereka memang terasing dari dunia luar. Kerana itu apabila perwakilan awal yang mewakili komunis di bawa keluar dan berpeluang ke beberapa tempat di Hat Yai dan Pulau Pinang, mereka berasa amat takjub dengan kemajuan yang ada. Hinggakan tandas duduk yang ada di bilik hotel pada mulanya dianggap sebagai sinki, malah sempat membasuh muka di dalamnya!!

Namun di sebalik semua kisah ini, ia juga menunjukkan akan kasih sayang antara keluarga yang amat kuat sekali. Apatah lagi Mocktar sendiri dipelihara oleh Nurkiah semenjak bayi lagi. Jadi tidak hairanlah kasih sayang antara mereka amat kuat sekali. Permulaan buku ini sebenarnya dimulakan dengan kisah Mocktar semasa kecil. Kisah hidup beliau sebenarnya amat mengharukan. Hidup dalam zaman perang, dilayan oleh ibu tiri yang kuat menyiksa, merasakan disisihkan bapanya yang mengutamakan perjuangan apatah lagi apabila kegagalannya memasuki Special Malay Class 1 hanya kerana tidak berkemampuan membayar yuran. Untuk makluman kelas tersebut hanya diperuntukkan untuk pelajar yang bijak sahaja.

Buku ini disampaikan dalam bentuk novel. Hamba merasakan sepatutnya Dato' Mocktar sendiri yang menulis pengalamannya ini, apatah lagi dengan pengalamannya sebagai orang surat khabar serta setiausaha akhbar kepada beberapa orang politik, tentunya tulisan beliau akan lebih baik lagi. Penyampaian dalam bentuk novel ini kadangkala terpaksa mewujudkan dialog-dialog yang belum tentu tepat dengan keadaan asal kerana mahu menyedapkan jalan cerita.

Walau apapun, naskhah ini adalah naskhah wajib baca terutamanya buat pencinta sejarah tanah air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KITAB TAMADUN ROM - Hafizul Adnen

  Tebal sungguh buku ini. Berminggu juga hamba ambil masa nak menyudahkannya. Hafizul Adnen menghidangkan kepada pembaca perkara yang jarang...