Rabu, 8 November 2017

TOMBIRUO PENUNGGU RIMBA (Edisi Terhad) - Ramlee Awang Murshid



Novel ini dicetak semula buat sekian kalinya dengan menampilkan sampul baru yang berupa poster wayang filem dengan tajuk yang serupa. Isi kandungannya tetap serupa dengan yang lama tetapi diberikan penambahan beberapa gambar di sebalik tebir pembikinan filem Tombiruo. Walaupun hamba telah sedia memiliki novel ini tapi hamba membelinya juga bagi memberikan kepada penulisnya walaupun RAM sendiri atau RAMFC tidak pernahpun memberikan sokongan kepada blog ini yang sering memberikan ulasan kepada karya-karya karangan beliau (dan sekaligus menjadi promosi percuma yang boleh melariskan jualan karya beliau).

Tombiruo bagi hamba merupakan salah satu karya terbaik RAM, malah ia boleh hamba katakan lebih baik daripada beberapa novel RAM yang mutakhir. Novel ini lahir sekitar pertengahan tahun 90an. Justeru bagi yang baru pertama kali membacanya, khususnya generasi muda, tentu akan bertemu dengan satu dua perkara yang mungkin ganjil atau baru bagi mereka. antaranya ialah;

#     Akhbar Bacaria tempat Wan Suraya bertugas merupakan sebuah akhbar tabloid yang agak popular satu ketika dahulu. Sepertimana lazimnya sifat akhbar tabloid, ia banyak memuatkan kisah-kisah sensasi ataupun hanya kisah biasa tetapi disampaikan dengan gaya sensasi bagi menarik perhatian pembaca. Akhbar berkenaan tidak lagi wujud.

#     Wan Suraya membayar dengan duit syiling RM1 bagi membeli setin kola. Syiling emas 1 Ringgit tidak lagi sah diperlakukan sehingga 6 Disember 2005, ianya ditarik balik oleh Bank Negara Malaysia didalam masa 3 bulan bermula daripada 7 September sehingga 6 Disember 2005.

#    Teknologi wifi masih belum ada sekitar tahun berkenaan. Kerana itu Wan Suraya sewaktu mahu menghantar berita ke Kuala Lumpur menggunakan sambungan kabel ke wayar telefon.

#     Jangan bayangkan telefon bimbit ketika itu adalah seperti smartphone sekarang. Bentuknya mungkin sebesar botol air, atau kalau kecil sedikitpun masih dianggap besar dan tebal berbanding hari ini. Telefon bimbit di awal pengeluarannya juga tiada kemudahan sms. Apabila kemudahan tersebut wujud, pada peringkat awalnya mesej hanya boleh dihantar kepada sesama pengguna yang menggunakan perkhidmatan syarikat yang sama sebelum boleh dihantar kepada penyedia talian perkhidmatan yang lain beberapa tahun kemudiannya.
Untuk entry ini tidaklah hamba berhasrat untuk mengulas tentang novel ini. Hamba akan menumpukan kepada perbandingan dengan filem. Seperti yang pernah hamba tulis pada entry TOMBIRUO : PENUNGGU RIMBA the movieMenonton filem ini seharusnya tidak boleh dibandingkan dengan naskhah asalnya yang berbentuk novel. Dalam novel penceritaannya lebih rencam, plotnya lebih kompleks, terlalu banyak persoalan dan penuh dengan elemen kejutan. Perbandingan yang akan hamba nukilkan bukanlah satu kritikan sama ada pada novel ataupun filem. Ianya lebih kepada untuk menambahkan keseronokan bagi sesiapa yang belum pernah membaca atau menonton karya ini. Antara yang sempat hamba catatkan ialah;

NOVEL
FILEM
Rambut Ejim berwarna kekuning-kuningan
Rambut Ejim berwarna hitam
Pondolou mati kerana sakit tua
Pondolou Nampak gagah walaupun berusia dan mati dalam satu pertarungan.
Ejim mengenakan kelubung hitam.
Tiada sebarang kelubung.
Tiada kampung yang diserang
Sebuah kampung diserang
Salina dan Tuan Berham mati dalam satu kemalangan apabila kereta mereka ditimpa kayu balak. Pemandu mereka terselamat tetapi koma.
Salina dan Tuan Berham mati dalam satu kemalangan apabila kereta mereka terbabas ke dalam gaung. Kesemua mereka mati. Kematian Salina selepas kemalangan adalah kerana dicekik oleh Juslan.
Salina tidak memakai tudung.
Salina telah sedia bertudung.
Wan Suraya merupakan wartawan akhbar Bacaria.
Wan Suraya merupakan wartawan penyiaran TV Sinar.
Tauke wong merupakan seorang pembalak dan digambarkan mempunyai susuk yang besar.
Wong merupakan seorang ketua keselamatan dan mempunyai susuk yang tegap
Sepupu Tuan Berham yang juga merupakan crook utama bernama Omar.
Crooknya bernama Juslan
Wan Suraya hanya datang ke Sabah apabila ditugaskan untuk membuat liputan sukan.
Wan Suraya telah sedia ada di Sabah.
Nenek Monsiroi tinggal di kawasan kampung di perbukitan, turut bercucuk tanam.
Monsiroi tinggal di dalam hutan dan kelihatan seperti seorang tukang sihir.
Amiruddin mengetahui bahawa beliau bersaudara dengan Ejim melalui kisah nenek Monsiroi dan kedua mereka mempunyai tanda lahir berbentuk kutil di belakang cuping telinga.
Amiruddin merasakan beliau ada kaitan dengan Ejim dalam satu pertarungan apabila melihat Ejim mempunyai satu tanda di lengan yang sama dengan beliau.
Omar juga merupakan seorang pembunuh dan perogol.
Tidak dinyatakan.
Ejim tinggal di pondok di atas tanah.
Ejim tinggal di atas ran.
Wan Suraya pernah tinggal dengan keluarga Amiruddin.
Tidak dinyatakan, bahkan dalam satu jamuan di rumah tersebut Wan Suraya hadir tanpa undangan.
Kesedihan Amiruddin kerana kematian isterinya sering ditampilkan.
Tidak terlalu focus kepada persoalan tersebut.
Baizura dan Wan Suraya pernah diculik untuk tebusan.
Tiada.
Tidak diperincikan pertarungan dengan Omar.
Pertarungan dengan Juslan menjadi kemuncak filem.


Banyak lagi sebenarnya perbezaan di antara novel dengan filem, bahkan tidak keterlaluan hamba katakan bahawa perbezaannya begitu besar. Seolah filem hanya mengambil premis watak watak dalam novel sahaja untuk menghasilkan kisah baharu. Ia seumpama kisah Superman yang mempunyai banyak versi dan amat berbeza dengan versi asal. Versi kemudian hanya mengambil premis watak Superman sahaja untuk menghasilkan kisah yang baharu.

Dalam novel juga walaupun menggunakan tajuk Tombiruo, watak Ejim/Tombiruo tidaklah begitu menyerlah berbanding Amiruddin dan Wan Suraya. Watak Ejim lebih menyerlah dalam sambungan novel ini. Berbanding dengan filem, watak Ejim menjadi tumpuan utama dan kerap tampil berbanding dua watak utama tadi. Novel juga turut disulami dengan sedikit dakwah bilhal dengan menampilkan watak Amiruddin yang taat beragama, bertahajjud, mendidik anaknya mengaji serta watak Ejim apabila ingin mengetahui lebih lanjut tentang Allah. Perkara ini ditinggalkan lansung di dalam filem.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

UJANG & APO? BUMPER NEW-STALGIA SANTET

  Fuhhh lain macam edisi kali ini, macam kitab khas sihir pula. Ujang & Apo? bumper new-stalgia kali ini hadir dengan kulit depan yang l...