Jumaat, 29 Disember 2017

I NEED A HELICOPTER, MY PATIENT IS DYING! - Dr. Afiq Rahim



Tentunya kita masih lagi mengingati dengan jelas akan kejadian bah besar yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur khususnya Kelantan pada penghujung tahun 2014 yang lalu. Kemajuan teknologi maklumat telah membolehkan kita mengetahui perkembangan bah yang berlaku dengan pantas. Gambar-gambar dan kisah penderitaan yang berlegar di alam maya telah dilihat oleh berjuta-juta umat manusia. Jelas, bah di tahun berkenaan boleh dianggap sebagai satu bencana besar yang telah melanda negeri Kelantan. Apabila gambar-gambar rumah yang hanyut, paras banjir yang melepasi tingkat tiga bangunan sekolah, hospiatl yang dinaiki air, tempat yang terputus lansung hubungan daratnya dilihat oleh para netizen, ia memberikan mesej betapa para mangsa amat memerlukan bantuan segera. justeru pada ketika itu amat banyak sekali pertubuhan serta orang perseorangan yang pergi melaksanakan misi bantuan banjir di sana. Bahkan ada kenderaan para sukarelawan sendiri yang dimasuki air sewaktu melaksanakan misi bantuan, namun ini tidak sekali-kali melemahkan semangat mereka.

Catatan-catatan dalam buku ini mungkin telah pernah dibaca oleh sebahagian kita sama ada melalui Facebook atau laman blog sewaktu kejadian tersebut berlaku. Dan ia disusun kembali dalam sebuah buku yang berwarna kesemua lamannya dengan gambar-gambar kejadian.

Penulis merupakan seorang pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Badang, Kelantan telah mencatatkan pengalaman beliau mengikut rentetan masa bermula dari 17 Disember 2014 sehinggalah 16 Januari 2015. Walau bagaimanapun bukanlah pengalaman setiap hari di antara tarikh tersebut yang dicatatkan. Bah yang berlaku telah menyebabkan kawasan Badang menjadi ground zero iaitu terputus terus perhubungan jalan darat. Ketika kejadian banjir selamam beberapa hari itulah penulis telah diberikan ujian berat oleh Allah apabila terpaksa menerima beberapa pesakit yang kritikal dengan keadaan klinik beliau yang tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi dan pesakit pula tidak dapat dibawa ke hospital.

Antaranya ialah kemalangan motosikal yang melibatkan dua orang, kanak-kanak yang mengalami sawan, kanak-kanak yang mengalami denggi berdarah, beberapa ibu yang bersalin dengan beberapa antara mereka mempunyai komplikasi yang rumit, pesakit yang terkena stroke, pesaikit yang sudah beberapa hari tidak mendapat rawatan dialisis dan banyak lagi. paling mengerikan juga adalah apabila seorang ibu yang bersalin mengalami koyakan serviks dan terpaksa dijahit tanpa menggunakan bius serta peralatan yang lengkap. Walaupun pesakit meraung kesakitan apabila jahitan dilakukan, ia terpaksa juga diteruskan untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Bahkan episod berkenaan tidak berakhir di situ apabila pesakit berkenaan masih lagi perlu diberikan perhatian rapi apabila ada pendarahan dalaman.

Apabila kawasan darat tidak dapat dihubungi dengan kenderaan, maka bantuan helikopter adalah diperlukan untuk membantu pesakit. Malangnya seluruh negeri Kelantan boleh dikatakan lumpuh ketika itu dan bantuan penerbangan ini juga diperlukan di tempat lain yang turut mengalami masalah yang kritikal. Tajuk buku ini yang juga merupakan dialog penulis adalah luahan kemarahan beliau apabila helikopter yang dijanjikan terpaksa dibatalkan penerbanyannya bagi memberi laluan kepada seorang VVIP untuk meninjau kawasan banjir (tidaklah diketahui siapa VVIP berkenaan). Namun beliau serta ramai lagi di sekelingnya tidak putus asa bagi mencari bantuan.

Penulis bertuga menjaga kliniknya selama beberapa hari secara berterusan dengan rehat yang amat minima. Itupun beliau masih terus berada di kliniknya. Apabila banjir mula surut dan klinik beliau mula menerima petugas baru, barulah beliau berkesempatan pulang bagi menemui anak dan isteri. Itupun beliau tidak tunggu lama apabila selepas sehari beliau keluar pula bersama NGO bagi membantu mangsa banjir.

Pada tahun berkenaan hamba bertugas di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, dan hamba masih ingat lagi apabila Kmenterian mengarahkan kakitangannya yang pulang bercuti di negeri Kelantan dan tersangkut di sana akibat banjir, agar melaporkan diri di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat bagi memberikan bantuan. Klini penulis nampaknya turut menerima bantuan daripada individu-individu ini.

Pengalaman penulis ini sebenarnya hanya secebis sahaja suka duka mereka yang berada dalam dunia kesihatan. Mereka adalah wira yang tak didendang. Walaupun banjir melanda dan keluarga serta rumah mereka juga turut terkena bencana, namun mereka masih mampu memberikan khidmat yang terbaik walaupun dalam masa yang sama tidak terlepas daripada cacian dan nista.

Bersamalah kita berdoa untuk Malaysia yang lebih baik!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...