Selasa, 5 Disember 2017

ROH RUMAH SEWA - Naim Tamdjis



Kisah dalam novel ini cuba dikaitkan dengan sejarah yang pernah berlaku di Pasir Salak iaitu tentang pembunuhan Birch. Walau bagaimanapun nama-nama watak sebenar telahpun ditukar seperti Datuk Maharajalela menjadi Datuk Mahar, Siputum menjadi Sekuntum (apa daa sekuntum....) dan Sultan Abdullah menjadi Sultan Amirul Rashid. Dalam usaha untuk menghapuskan Birch, pelbagai usaha telah digunakan termasuk menggunakan ilmu hitam.

Mereka yang terlibat di dalam penentangan British tersebut menjadi buruan penjajah sehingga melarikan diri ke sebuah tempat yang dinamakan Kampung Pulau Manis. Menggunakan ilmu hitam kampung tersebut menggunakan pendamping bagi mengaburkan mata penjajah daripada terjumpa kampung tersebut. Sehinggalah apabila seorang bernama Sheikh Maulana datang ke kampung tersebut dan berjaya menyampaikan dakwah kepada penduduk kampung tersebut di atas terpesongnya amalan bersahabat dengan makhluk halus. Para pendamping yang ada telah dipasung oleh Sheikh Maulana.

Sehinggalah apabila seorang guru muda bernama Rafael menyewa rumah tersebut telah menyebabkan makhluk halus yang terpasung akhirnya terbebas dengan sendirinya. Ini dikatakan kerana Rafael adalah waris daripada Sultan Amirul Rashid. Bermula dari sinilah sedikit demi sedikit penulis membina cerita mengenai misteri yang ada di rumah tersebut. Dua pendamping yang ada dinamakan sebagai Buragas dan juga Panglima Endai. Walaupun makhluk halus ini mahu bertuankan Rafael, namun beliau digambarkan sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan agama yang baik dan menolak permintaan tersebut. Beliau berusaha untuk memutuskan hubungan dengan makhluk tersebut. Panglima Endai menyatakan bahawa pertalian mereka hanya boleh terputus sekiranya Rafael menjalankan upacara putus khadam. Sekali lagi Rafael menolak kerana sekiranya beliau menjalankan upacara itu seolah beliau mengakui bahawa Endai adalah khadamnya dan khuatir terjerumus dalam perkara syirik.

Selain daripada watak Rafael, terdapat beberapa watak lagi yang dominan seperti mail Keding dan Osman yang menjadi sahabat rapat Rafael di perkampungan tersebut. Selain itu beberapa watak lain seperti penghulu, Pak Mat penjual mi dan isterinya serta beberapa rakan yang mengajar di sekolah. Selain daripada kisah tentang misteri rumah tersebut, diselitkan juga sedikit kisah jiwang antara Rafael engan seorang gadis orang asli bernama Cempaka yang akhirnya memeluk Islam dan menjadi tunangan Rafael. Namun pertunanagna mereka hanya berlansung selama sehari sebelum Cempaka mengalami kecederaan parah dalam kemalangan, koma dan akhirnya meninggal dunia. (kenapa cerita Melayu gemar sangan menggunakan unsur kemalangan dalam cerita. Sebelum Cempaka meninggal juga penulis memasukkan kisah kemalangan kapalterbang yang melibatkan abang rafael yang bertugas sebagai juruterbang. Kisah kemalangan mereka berdua ataupun kisah keseluruhan mereka berdua - Cempaka dan abang Rafael- sesungguhnya tidak menjejaskan cerita lansung)

Kisah misteri rumah sewa itu sebenarnya telahpun selesai selepas Buragas dan Endai ditewaskan oleh Ustaz Zahir. Namun selepas itu muncul pula watak pontianak yang menganggu kampung kerana membalas dendam di atas tewasnya Buragas dan Endai yang bertanggungjawab membebaskan pontianak tersebut daripada pasungan di Hutan Belum. dan selepas pontianak tersebut tewas juga novel ini masih belum tamat. ia dilanjutkan pula dengan kisah jiwa-jiwa Rafael tadi - bertunang dengan Cempaka, Cempaka meninggal, Rafael kuciwa sekejap, keluarga rekemenkan pula dengan Shamsidar, mereka kahwin dan barulah tamat!!

Dalam novel ini antara perkataan yang sering digunakan oleh penulis adalah pasung. Pada mukasurat 288 penulis mencatat; '.....dia melihat Demah dipasung di tengah tiang dengan menggunakan tali'. Hamba berasa seperti tidak tepat pula penggunaan perkataan pasung dengan tali. Serasanya lebih tepat 'diikat dengan tali'. Perkataan pasung apabila hamba merujuk kepada kamus online DBP menyatakan;

[pa.sung] | ڤاسوڠ

Definisi : alat daripada kayu yg diberi berlubang dan dipasangkan pada kaki atau pada leher orang yang dihukum atau pada orang gila supaya tidak lari dll: rumah ~ penjara. memasung memasang pasung pada; mengenakan pasung pada: Beberapa kali mereka mencuba ~ orang gila itu tetapi tidak berjaya. memasungkan memasukkan ke dlm rumah pasung; memenjarakan.

Justeru dari segi alat, ia lebih kepada sesuatu struktur berlubang yang boleh dimasukkan tangan atau kaki dan apabila digandingkan dengan bangunan ia akan menjadi penjara.


Rasanya penulis juga suka kepada nama Soot. Dalam novel ini Soot menjadi seorang pawang orang asli. Manakala dalam novel beliau Kakak Kemboja pula nama Soot adalah milik seorang ustaz yang bersifat material, mengubat orang hanya kerana mahu mendapatkan keuntungan.


Secara keseluruhannya kisah dalam novel ini tidaklah terlalu seram sehingga anda akan takut ke bilik air pada waktu malam. Tapi tetap menarik untuk dibaca kerana penceritaan yang baik dan lancar.

1 ulasan:

  1. Saya suka novel ini sebab gabungan seram, sejarah dan komedi.. Memang menarik..

    BalasPadam

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...