Selasa, 8 Mei 2018

GILA-GILA 40 TAHUN, EDISI KHAS BUMPER



Tanggal 1 April 2018 yang lalu, majalah ini genap umurnya 40 tahun. 40 tahun bolehlah dianggap sebagai satu usia yang matang. Dan kehadiran Gila-Gila sepanjang 40 tahun secara terus menerus di persada tanah air membayangkan kegagahannya mengharungi perit maung dunia penerbitan majalah kartun walaupun satu demi satu pesaingnya jatuh tersungkur. Gila-gila terus maju menghadapi cabaran walaupun dalam keadaan merangkak kelihatannya.

Kehadiran isu bumper ini pastinya dirindui oleh peminat tegar majalah ini memandangkan telah begitu lama GG tidak mengeluarkan naskhah tebal. Kalau dahulu isu bumper pasti dicetak sempena musim tertentu seperti Hari Raya, cuti sekolah, hari merdeka dan sebagainya. Isu bumper GG menampilkan cover yang agak menarik dengan ramai personaliti antarabangsa yang cukup dikenali sedang menatap GG isu istimewa ini. Walau bagaimanapun kehadiran isu ini agak lambat sedikit bahkan ramai peminat yang mengadu tidak menemukannya di kedai. Hamba agak beruntung kerana dapat memperolehinya melalui kartunis Ujang sewaktu PBAKL baru-baru ini. Dapatlah juga contengan beliau di belakang mukasurat poster dalam majalah ini sebagai satu momento.

Sempena isu istimewa ini terdapat beberapa ruangan khas yang disediakan seperti; The Making Of Gila-Gila oleh Mizhar, Aku dan Penghulu Kartun oleh Aloy, Dari Gobok Editor oleh Ronasina dan 40 Tahun Membina Budaya oleh Prof. Dr. Muliyadi Mahamood. Sewajarnya kartun dan tulisan khas bersempena ulangtahun kelahiran GG ini dimuatkan lebih banyak lagi, barulah naskhah ini akan menjadi lebih istimewa. Tulisan The Making Of Gila-Gila amat menarik untuk dibaca dan hamba merasakan banyak lagi perkara yang tidak dapat ditulis oleh Mishar di ruangan yang terhad tersebut. Besarlah harapan hamba Mishar dan kawan-kawan dapat menerbitkan sebuah buku khas tentang Gila-Gila. Kesempatan ini harus dilakukan segera lebih-lebih lagi kesemua founding fathers of Gila-Gila masih lagi hidup dan aktif. Biarlah buku ini menjadi kenangan terindah buat para peminat GG dan seterusnya sebagai sebuah catatan sejarah yang amat berharga terus daripada hati mereka yang menubuhkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...