Ahad, 13 Mei 2018

PERJUANGAN HARIMAU MALAYA MENENTANG JEPUN - Mohd. Zamberi A. Malek



Sekiranya mendengar kisah tentang zaman pendudukan Jepun di Malaya, sama ada daripada mulut orang-orang tua ataupun daripada mana-mana buku, jarang rasanya bertemu dengan kenangan yang manis-manis. Biasanya yang dinyatakan adalah kekejaman mereka sewaktu memerintah. Pelbagai jenis siksaan yang dijalankan serta pelbagai bentuk penderitaan dan kesusahan yang terpaksa dilalui. Jepun benar-benar menyekat kebebasan rakyat Malaya hinggakan memiliki radiopun merupakan satu bentuk kesalahan. (Namun hari ini radio Jepun jugalah yang kita beli kerana meyakini akan kualitinya). Cuma dalam satu hal, berbeza dengan British, Jepun mahu anak tempatan belajar untuk mentadbir negara sendiri. Jepun telah mendirikan Koa Kurenjo untuk melatih anak tempatan dalam urusan pentadbiran. 

Kemasukan Jepun serta pengunduran British telah memberikan pengajaran besar kepada rakyat tempatan bahawa British atau kuasa barat rupanya tidaklah sekuat mana. Apabila mereka tewas kepada Jepun yang merupakan satu bangsa dari Asia, ia memberikan gambaran bahawa bangsa Asia juga mampu untuk berkuasa. Dengan membawa slogan Asia untuk Asia, kemasukan Jepun pada awalnya memberikan harapan kepada rakyat Tanah Melayu bahawa hidup mereka akan berubah. Perubahan itu memang berlaku - tetapi perubahan yang membawa kepada penderitaan.

Buku ini adalah kisah perjuangan sebuah pasukan kecil yang bernama Force 136 yang turut digelar Harimau Malaya. Harimau Malaya juga adalah merupakan gelaran salah seorang pengasasnya iaitu Tengku Mahmood Mahyiddeen yang juga merupakan waris akhir Raja Pattani. Ternyata gelaran sebegini adalah untuk seorang yang berani. Maka apabila pasukan bolasepak kita asyik menghadapi kekalahan sahaja maka mereka patut malu untuk menggunakan gelaran begini.

Buku ini bermula dengan kisah perjalanan Jepun itu sendiri dalam meluaskan kuasanya khususnya di tanah air kita. Bagaimana mereka mendarat (kita boleh anggap Th*****d sebuah negara yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan tanah mereka digunakan Jepun untuk memudahkan mereka menakluki Malaya), seterusnya menawan negeri-negeri yang ada di semenanjung sehinggalah kepada kemuncaknya kejatuhan Singapura (sila rujuk kisah perjuangan Leftenan Adnan yang berjuang di Bukit Chandu).

Maka siri kekejaman Jepun inilah antara sebab yang membawa kepada penubuhan Force 136 di India (selain untuk membantu British kembali menguasai Tanah Melayu). Sebelum pasukan ini memasuki semula Tanah Melayu mereka telah menjalani latihan di India. Ironinya latihan mereka itu banyak melibatkan pendaratan di lautan. Namun kerana sebab tertentu mereka terpaksa mendarat di hutan belantara Gerik di Hulu Perak. Ternyata latihan pendaratan berkenaan lansung tidak memberikan faedah kepada mereka. Pendaratan kali pertama ini bolehlah dianggap merbahaya memandangkan mereka masih belum mempunyai kawasan pendaratan apatahlagi kem latihan untuk menudahkan mereka mendarat. Maka mereka yang digugurkan dengan payung terjun itu jatuh ditempat yang berasingan dan terpaksa berusaha untuk berkumpul semula.

Bermula dari situ sedikit demi sedikit mereka membina sebuah kem dan tempat latihan dengan bantuan masyarakat tempatan termasuk orang asli yang mahir membina pondok menggunakan bahan-bahan semulajadi. Anak-anak tempatan ramai yang datang menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan walaupun tidak mendapat sebarang bayaran. Ini kerana kesedaran yang ada pada mereka untuk membebaskan semula tanahair.

Pasukan ini pernah menghadapi pertempuran termasuk yang memusnahkan terus kem latihan mereka. Walaupun kegiatan mereka banyak tertumpu di bahagian utara semenanjung, pasukan kecil ini sedikit sebanyak telah berjaya memberikan kebimbangan kepada Jepun terhadap penentangan anak tempatan.

Force 136 telah dibubarkan apabila Britis telah memasuki semua tanahair setelah kekalahan Jepun. Terdapat kekecewaan di kalangan anggota pasukan ini apabila khidmat mereka seolah tidak dihargai. Beberapa janji British seperti pengurniaan tanah tidak direalisasikan. Mereka turut kecewa dengan sikap pimpinan pasukan daripada pegawai British seperti Peter Dobree yang seolah tidak 'memberi muka' kepada pejuang Melayu apabila turut menahan mereka setelah British berkuasa semula.

Dan yang seperti kita maklum, kedatangan British kali kedua ini tidaklah mudah seperti sebelumnya. Anak bangsa telah berani bangun membuat penentangan bermula dengan perjuangan menghalang penubuhan Malayan Union sehinggalah usaha-usaha ke arah kemerdekaan pada tahun 1957. Apapun, kita perlu mengucapkan terima kasih kepada para pejuang Melayu dalam Force 136 yang telah membuka mata tentang keberanian anak tempatan serta sedikit sebanyak membantu mengekang kezaliman tentera Jepun semasa perang. Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas budi baik tuan-tuan semua.


2 ulasan:

  1. Bagaimana saya nak dapatkan buku ini?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya tak ada jawapan. Saya pun secara kebetulan terjumpa sewaktu berkunjung ke Taiping.

      Padam

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...